Oleh : Syed Wafa
Sejak Ziarah Seni Madani FINAS di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS dilancarkan pastinya memberi harapan dan semangat kepada insan seni yang menghadapi pelbagai dugaan malah mereka meluahkan rasa syukur kerana tidak dipinggirkan atau terus dilupakan.
Terbaru Ziarah Seni Madani FINAS tiada noktah untuk terus melakukan kerja murni ini menjejaki insan-insan seni yang memerlukan perhatian dan bantuan. Inilah antara harapan kerajaan MADANI dalam membantu semua lapisan masyarakat supaya kebajikan mereka dijaga.
Pelakon dan pengarah era 1990-an, Din Glamour atau nama sebenarnya Sallehuddin Ridzuan,63 yang berdepan masalah kewangan disebabkan tiada pekerjaan memohon bantuan kerajaan untuk mendapatkan perumahan mampu milik, Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Terus terang saya katakan, saya sudah tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi berikutan tidak lagi bekerja sekian lama.
“Sejak kesihatan saya tidak mengizinkan, hidup saya sekeluarga sangat susah kerana saya tidak dapat tawaran kerja lebih tiga tahun lalu, saya hanya bergantung dengan bantuan dan belas ihsan dari orang sekeliling,” kata Din sebak.
Din juga bersyukur kini Pusat Zakat membantu membayar separuh wang sewa rumah beliau dan kini rumah sewa sudah tertungak lebih enam bulan. Dengan itu Din amat berharap dapat bantuan memperoleh rumah PPR bagi mengurangkan beban untuk meneruskan hidup.
Sebelum ini Din pernah cuba memohon rumah PPR melalui kuota Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) sebanyak dua kali dan turut ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membuat permohonan secara terus tetapi semuanya gagal.
Bercerita perkembangan kesihatan Din terkini, beliau diagnosis masalah paru-paru berharap semoga diberi peluang pekerjaan. Kini beliau sudah hampir sihat sepenuhnya dan berharap ada pihak di luar sana yang menawarkan beliau pekerjaaan.
Pastinya program Ziarah Seni Madani FINAS itu menyaksikan keprihatinan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersama Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS (CEO FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Muttalib menyantuni Din serta insan seni yang lain menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan di bulan Ramadan yang mulia dan Syawal bakal tiba.
“Saya amat bersyukur YB Fahmi bersama FINAS berjanji mahu bantu mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan saya. Minda dan ingatan saya masih kuat dan saya mampu untuk berlakon lagi,” kata Din bersungguh-sungguh.
Pada hari yang sama Fahmi turut meluangkan masa menyantuni penyanyi legenda serta menyerahkan sumbangan kepada Zaiton Sameon.
Zaiton Sameon, 68, tidak menyangka kepayahan hidup dan masalah kesihatan dialami sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian dan paling istimewa kunjungan Menteri Komunikasi.
Penyanyi lagu Menaruh Harapan itu berkata, dia bersyukur apabila Fahmi bersama FINAS sanggup meluangkan masa menziarahinya di rumah.
“Paling saya tak sangka apabila menteri sendiri datang ke rumah menyantuni dan menghulurkan bantuan. Saya amat kagum dengan sikap prihatin beliau dan ternyata dari wajahnya yang bersih, dia ikhlas bantu kami.
” Bagi saya, menteri datang hendak berjumpa, ia satu penghormatan kepada saya,” katanya penuh sebak ketika ditemui di kediamannya di Apartmen Sri Baiduri, Ampang.
Zaiton juga meluahkan kepada Fahmi agar beliau diberi peluang untuk dijemput untuk mengadakan persembahan di stesen televisyen (TV) kerana dia masih boleh menyanyi dengan baik.
“Saya amat terharu YB Fahmi berjanji bantu saya dan ini memberi sinar baru dan semangat untuk saya terus bangkit sebagai penyanyi dan jasa baik beliau hanya Allah dapat membalasnya,” kata Zaiton dengan linangan air mata.
Zaiton mula mengalami keperitan hidup susulan kemalangan ngeri yang menimpanya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.
Zaiton dilaporkan parah pada bahagian kepala hingga menyebabkan hilang ingatan sementara dan kini beliau sudah hampir pulih sepenuhnya.
Pada hari berikutnya, program Ziarah Seni Madani FINAS bersama menteri yang begitu menghargai insan seni menziarahi pengarah dan pelakon, M Jamil, 59 di rumahnya di Puchong.
M.Jamil yang mengaku mengalami tekanan emosi dan kewangan selepas tidak mampu bekerja akibat diserang angin ahmar, sejak enam tahun lalu.
Jamil atau nama sebenar, Mohamad Jamil Zulkifli berkata, sepanjang tempoh itu, dia terpaksa berkerusi roda sehingga membataskan dirinya bergiat aktif dalam industri seni.
Harapan M. Jamil jika tawaran kerja yang sesuai beliau tidak tolak sebab ingatannya masih kuat, cuma fizikal yang agak terbatas.
Jamil yang juga anak primadona legenda, Datuk Dr. Sarimah Ahmad memberitahu, dia bergantung kepada bantuan badan kebajikan untuk meneruskan hidup dan membesarkan dua anaknya yang masih bersekolah.
“Selepas hilang punca pendapatan, saya ada buat kerja sambilan secara dalam talian selain mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat.
“Walaupun jumlah diterima tak besar, tapi sedikit sebanyak membantu untuk kelangsungan hidup. Apa yang perlu diberi perhatian adalah membesarkan kedua anak saya,” katanya sebak.
Kini hampir lima tahun Jamil ulang-alik ke hospital dan tidak pernah putus ikhtiar untuk menjalani rawatan serta beliau berharap akan sembuh seperti biasa.
Jamil juga mempunyai penyakit lain seperti kolestrol dan kencing manis. Anggaran kos ubat-ubatan bulanan antara RM400 hingga RM500, tapi pernah juga mencecah RM1,000.
Jamil begitu terharu dengan kehadiran Fahmi dan pengurusan tertinggi FINAS ke kediamannya, beliau bersyukur masih ada pihak yang sudi mengambil berat mengenai kesihatannya.
“Saya terharu dan amat bersyukur apabila YB Fahmi sudi meluangkan masa bertemu saya, sebenarnya saya akan seronok kalau ada orang datang melawat sebab boleh berikan semangat.
“YB Fahmi ada maklumkan untuk bantu saya daripada segi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), jasa baik beliau saya amat hargai hargai,” katanya sambil tersenyum penuh harapan.
Fahmi juga berharap pihak swasta peka dan prihatin bersama-sama membantu kementerian menghulurkan bantuan penajaan dari segi kewangan atau berbentuk produk kepada insan seni yang amat memerlukan bantuan ini.
“Buat masa ini penajaan begitu terhad, saya kecewa mereka lebih berminat menaja kepada insan seni yang terkenal dan masih mampu bekerja berbanding dengan mereka yang betul-betul memerlukan bantuan,” kata Fahmi kesal.
Menurut CEO FINAS, Azmir Saifuddin Mutalib program Ziarah Seni Madani FINAS adalah bukti sikap prihatin kementerian bersama FINAS dalam terus membantu insan seni yang memerlukan perhatian dan sumbangan.
” Kami harap kerja murni ini akan berterusan dan menjadi contoh kepada masyarakat di luar sana bahawa insan-insan seni yang pernah menghiburkan kita ini perlu dihargai, ketika mereka pula memerlukan perhatian dan penghargaan dari kita, inilah masanya untuk kita membantu,” kata Azmir bersungguh-sungguh.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.