Oleh Nafsiah Jani

Khasiat dan manfaat bijirin barli tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sememangnya barli sangat baik untuk kesihatan. Ia mampu mencegah dan merawat penyakit kerana kini pelbagai penyakit mudah berjangkit berada di persekitaran kita.

Barli yang dikenali dengan nama botaninya sebagai Hordeum vulgare mempunyai banyak manfaat kesihatan. Amalan pemakanan yang sihat juga amat penting bagi memberikan tenaga untuk tubuh badan aktif sihat sentiasa.

Barli dan air barli begitu enak jika dinikmati kerana ia bukan sekadar melegakan tekak pada cuaca panas, namun ianya mempunyai kandungan nutrisi yang baik untuk tubuh badan.

Bijirin barli merupakan sumber terbaik serat pemakanan kerana mengandungi protein, karbohidrat kompleks, vitamin dan galian. Ia juga kaya dengan fiber, vitamin B3, vitamin B1, beta-glucan, lemak, thiamin, riboflavin, niacin dan lain-lain lagi.

Mulai hari ini, marilah kita mulakan hidup sihat dan bertenaga dengan mengambil barli dan air rebusannya setiap hari kerana mencegah penyakit itu lebih baik dari mengubatinya. Berikut adalah antara 10 kebaikan, khasiat dan manfaat air barli kepada kesihatan kita semua.

1. Kajian klinikal di Australia, Kanada dan Amerika Syarikat melaporkan bahawa serat daripada barli berkesan merendahkan kolesterol dalam darah. Serat yang tidak mudah larut dalam barli tinggi dengan kandungan beta-glucan yang mana boleh mengelakkan penyerapan kolesterol dari makanan ke perut dan usus.

2. Barli juga berkesan sebagai ubat penyejuk badan. Bila badan terasa panas dan demam eloklah amalkan air rebusan barli yang sejuk lagi menyegarkan tubuh badan.

3. Air barli juga bagus kerana ia dapat melawaskan kencing dan meningkatkan kesihatan buah pinggang serta membantu sistem penghadaman.

4. Barli kaya dengan Niacin yang boleh membantu mencegah radikal bebas. Dengan kelebihannya, air barli dapat membantu mengurangkan kolesterol tidak baik dan sekali gus berpotensi untuk menstabilkan tekanan darah serta mengelakkan seseorang daripada terkena serangan jantung.

5. Kandungan serat yang terdapat pada barli juga dapat membantu memperlahankan penyerapan gula di dalam saluran pencernaan dan mengurangkan peningkatan glukosa dan insulin dalam badan. Kandungan barli dapat menstabilkan kadar gula dalam darah dan mengurangkan risiko mendapat penyakit kencing manis. Air barli ini sesuai diminum panas atau suam sebelum atau selepas makan.

6. Barli juga bagus sebagai bahan untuk menyihatkan dan mencantikan kulit. Barli juga bersifat antioksida dan dapat membersihkan toksin dan radikal bebas dari dalam badan yang boleh menyebabkan kulit kusam, berjerawat, berkedut dan berminyak. Asid azelaic yang terdapat dalam barli juga dapat merawat jerawat, mengurangkan keradangan pada kulit dan mengelakkan liang pori kulit tersumbat serta melambatkan proses penuaan.
Ambil barli yang dikisar dan campurkan bersama sedikit air untuk dijadikan mask muka. Biarkan selama 10 minit dan kemudian bilas muka dengan air yang bersih. Amalkan beberapa kali seminggu, Insya Allah kulit bertambah bersih, cantik dan tegang.

7. Air barli mengandungi protein, vitamin dan mineral yang baik untuk rambut. Silika yang terdapat dalam air barli juga membantu menguatkan akar rambut dan mencegah rambut daripada putus dan ‘berbuah’. Ia juga dapat membantu menyuburkan rambut dengan cara meningkatkan pertumbuhan rambut dan mengurangkan keguguran rambut. Air barli suam ini sesuai diamalkan sebelum makan.

8. Air rebusan barli juga membantu menurunkan berat badan kerana ia bertindak sebagai penahan selera makan. Air barli kaya dengan pelbagai jenis asid amino penting selain serat dan vitamin B6 yang dapat meningkatkan metabolisme dan menggalakkan pembakaran lemak serta membantu mengubah makanan menjadi tenaga.

9. Air barli dapat melembapkan badan dan meningkatkan penghasilan cecair untuk membantu meningkatkan kadar penghasilan susu badan ibu-ibu yang menyusukan bayi. Untuk mendapat susu badan yang banyak, hanya campurkan air barli yang panas dengan satu sudu teh jintan manis, biarkannya selama lima ke 10 minit dan kemudian minumnya.

10. Barli mengandungi zat kalsium yang boleh membantu peningkatan struktur serta kekuatan tulang bagi mengelakkan risiko osteoporosis.

Previous articleMencari Kebahagiaan Yang Entah Di mana (Bahagian 1)
Next articleBahaya Tiroid bagi kaum wanita! (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here