Oleh Wawa Najwa
Foto Ehsan Amelina/Koleksi Syed Wafa

Kalau sebut nama Amelina, peminat muzik tempatan akan tahu bahawa dia adalah penyanyi dangdut yang popular pada era 1990-an.

Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin, 50, yang mula aktif dalam bidang seni pada 1994 cukup sinonim dengan lagu hitnya, Rindu, Asyik, Anak Dara, Katanya Nyatanya dan Memori Daun Pisang.

Sewaktu berada di puncak, Amelina sempat merakam tiga buah album iaitu Amelina (1994), Asyik (1995) dan Cinta Oh Cinta (1997). Album pertama Amelina berjaya terjual melebihi 200,000 unit dalam tempoh setahuan dan berjaya terjual di Indonesia juga.

Album pertama Amelina bergelar penyanyi.

Bagaimanapun kerjaya seni Amelina mula menjadi kucar-kacir pada 1999 sebelum menghilangkan diri daripada dunia seni hiburan. Namun selepas lebih sedekad menghilangkan diri, pada 20 November 2014, dia mengumumkan akan kembali aktif dalam dunia seni suara.

“Saya banyak terlepas kebahagiaan dalam kehidupan sebelum ini. Sepatutnya dalam tempoh 15 tahun itu saya bahagia tapi tak ada. Benda yang hilang dalam tempoh 15 tahun itu saya tak nak kenangkan lagi.

Album Asyik melonjak nama Amelina sebagai penyanyi dangdut.

“Saya akan bercerita dan kongsi kisah saya dengan orang tertentu bukan untuk mendapat simpati tapi untuk mereka rasai bahawa saya bukan jenis yang hadapi trauma biasa.

“Niat saya satu saja, supaya orang itu dapat rasakan macam mana nak buatkan saya bahagia kerana saya sendiri tidak pernah rasa bahagia,” katanya yang mula bergelar ibu tunggal pada 2016.

Amelina antara penyanyi dangdut yang masih aktif hingga kini.

Jelas Amelina selepas bercerai dia tidak mahu terus berduka, sebaliknya menjadi kuat demi untuk membesarkan enam orang anak yang masih kecil ketika itu.

“Setiap orang melalui fasa kehidupan yang berbeza, ada yang bahagia dan tidak kurang juga yang derita. Macam kes saya ini, saya perlu keluar daripada kehidupan itu.

Amelina sudah bekerja keras kerana tahu undangan persembahan tidak banyak pada bulan Ramadan.

“Apabila saya dah keluar dari kehidupan itu atas ketentuan Allah, saya dah tak ada nak rasa sedih. Saya kena bersemangat dan teruskan kehidupan. Saya dah lama move on dari segi kehidupan dulu.

“Untuk kehidupan akan datang, saya senang take easy. Percaya pada qada dan qadar Allah. Bagi saya sekarang ini yang paling penting saya dah tenang dan aman hidup. Bila tengok muka anak-anak yang dah besar, saya selalu tertanya ini anak aku atau kawan aku.

“Penat 10 tahun itu tak rasa bila dah pandang muka anak-anak kita rasa itu satu kejayaan. Yang penting saya rasa anak-anak dah boleh bawa diri sendiri dah boleh mengurus diri sendiri, itulah alhamdulillah bagi saya,” katanya yang menumpukan perhatian pada kerjaya dan anak-anak saja.

Pengalaman pahit sebelum ini mengajar Amelina menjadi wanita kental.

Amelina mengakui pengalaman membesarkan anak-anak seorang diri memang perit tapi dia reda dengan ujian yang diberikan kepadanya itu.

“Orang tak tahu apa yang saya hadapi kerana selalu menunjukkan wajah suka kerana saya tak reti nak menangis di media sosial. Saya simpan sendiri dan buat sendiri.

“Alhamdulillah sebagai ibu tunggal yang teraniaya ini, Allah sentiasa membantu. Saya dan anak-anak menyerahkan diri kepada Dia. Saya bukan ibu tunggal yang kaya, dengan duit tak ada, harta pun tak ada.

Selain dangdut, Amelina mampu mendendangkan pelbagai rentak lagu.

“Saya gamble dan bawa anak-anak untuk buktikan yang saya boleh jadi ibu terbaik dan penjaga anak-anak yang terbaik. Memang struggle sebab macam mana nak hadapi dunia luar sebab selama 15 tahun saya tidak mengambil tahu perkembangan dunia luar. Apa yang saya tahu adalah dunia saya dan anak-anak dalam rumah saja.

“Bila saya keluar tanpa ada persediaan apa-apa itulah momennya saya rasa down dan terasa diri ketinggalan. Dengan badan yang gemuk dan kulit tak terjaga. Bagi wanita adalah kecantikannya dan barulah ada keyakinan diri.

“Dengan bantuan orang sekeliling yang memberi semangat saya berjaya dalam diam tak diam dah 10 tahun, anak-anak pun dah besar. Mereka dah boleh bawa diri, itupun dah cukup buat saya,” kongsi ibu kepada Puteri Nur‘ Athirah, Putera Al’ Affiq, Putera Al’ Asyraff, Puteri Nur’ Asyurah, Putera Al’ Arffa dan Putera Al’ Amzar itu.

Amelina tunggu peluang untuk berduet dengan penyanyi baharu.

Kata Amelina, setakat ini anak-anaknya tidak ada menunjuk minat untuk mengikuti jejak langkahnya walapun mempunyai suara yang sedap.

“Suara mereka memanglah mengikut jejak saya boleh dikatakan semua pun sedap, tapi masing-masing tak nak terlibat dalam industri seni sebab nak jalani kehidupan normal.

“Selama ini mereka tak pernah pun nak uar-uar kepada kawan-kawan yang ibu mereka adalah penyanyi. Anak-anak enjoy dengan kehidupan dan persekitaran tersendiri. Mereka dapat membezakan karier ibu mereka. Bagi mereka bila ibu berada di pentas itu adalah kerjaya dan di rumah adalah ibu mereka,” katanya.

Inilah permata dalam kehidupan Amelina.

Sepanjang Ramadan, Amelina lebih senang berehat selepas bekerja keras sebelum ini kerana dia adalah seorang yang suka beringat.

“Alhamdulillah, sebelum bulan puasa saya sudah pulun jadi bulan Ramadan ini saya tak ada apa-apa persembahan. Tahun ini saya tak niaga apa-apa sebab rasa nak rehat kali ini. Nak fokus kepada satu perkara iaitu iftar bersama peminat. Itulah setiap tahun yang saya buat sejak tiga atau empat tahun lalu.

“Tak sangka program iftar bersama peminat mendapat sambutan menggalakkan. Setiap tahun akan buat di tempat berlainan supaya orang baharu atau lama yang datang itu dapat satu persekitaran berbeza. Saya suka event yang saya buat, mereka enjoy dan rasa lagi dekat dengan Amelina,” akuinya.

Previous article“RAMA-DINE” meraikan PPRK, PDRM & Pelajar Tahfiz
Next articleLagu Jay Jay terus malar segar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here