Oleh : Nafsiah Jani

Peria katak memang sedap dimakan jika seseorang itu pandai mengolahnya menjadi sesuatu yang menyelerakan. Ia sedap jika dihiris nipis dan digoreng bersama tepung sehingga garing dan enak dimakan bersama nasi.

Peria katak atau nama saintifiknya, Momordica Charantia sememangnya pahit, namun ia mempunyai khasiat dan bermanfaat untuk kesihatan. Di sebalik kepahitannya, peria kaya dengan vitamin C dan dapat membantu mencegah penyakit, menguatkan tulang dan menyembuhkan luka.

Sejak dahulu lagi, peria katak banyak digunakan bagi merawat asma, sembelit, malaria, demam, selesema, batu karang, buah pinggang, buasir dan kulit melecur. Khasiatnya ini jelas menunjukkan kebaikannya untuk dijadikan makanan harian. Selain dijadikan ulam, peria katak juga boleh dijadikan jus minuman dan dipercayai juga mampu menjadi penawar diabetes.

Vitamin A yang terdapat di dalamnya juga dapat membantu meningkatkan kesihatan kulit dan penglihatan. Rasa pahit peria katak amat baik untuk perut kerana ia membantu mengeluarkan enzim pencernaan bagi melegakan sakit perut.
Pengambilan peria juga dikatakan boleh meningkatkan sistem imun serta daya ketahanan badan untuk melawan penyakit.

Dalam baik ada juga buruknya peria katak ini jika dimakan secara berlebihan. Peria ini tidak boleh diambil lebih daripada dua biji dalam sehari, kerana jika dimakan secara berlebihan boleh menyebabkan sakit perut ringan atau cirit-birit.

Begitu juga dengan wanita hamil tidak digalakkan makan peria ini dalam apa jua bentuk kerana ia boleh meningkatkan risiko pendarahan, keguguran dan merangsang pengecutan di uterus yang akan menyebabkan kelahiran bayi pra-matang.

Sengai Podhuvan, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons

Berikut adalah 10 khasiat peria katak yang boleh kita dapati sekiranya diamalkan dalam pemakanan seharian kita.

  1. Peria katak ini baik untuk kulit kerana ia kaya dengan antioksidan dan vitamin A dan C. Ia membantu mengurangkan jerawat dan cela di kulit wajah. Selain itu, ia juga dapat membantu menyembuhkan beberapa jangkitan kulit seperti kurap, psoriasis dan gatal-gatal.
  2. Jusnya juga boleh digunakan untuk menghilangkan kelemumur, mengelakkan rambut gugur dan hujung rambut bercabang.
  3. Peria katak juga mengandungi phytoinsulin yang boleh menurunkan kadar gula dan mampu menangani masalah berat badan berlebihan. Ia mempunyai kalori yang rendah dan tinggi seratnya. Serat bergerak perlahan melalui saluran penghadaman, membuatkan anda kenyang lebih lama dan mengurangkan rasa lapar dan selera makan.
  4. Jika diminum setiap hari ia dikatakan dapat merawat penyakit seperti masalah asma dan penyakit paru-paru yang Iain. Caranya dengan campurkan jus peria katak dengan madu dan amalkan setiap kali sehari.
  5. Peria katak juga kaya dengan nutrien baik yang tinggi seperti magnesium, kalsium dan fosforus. Kandungan ini dapat membantu meningkatkan kesihatan tulang secara keseluruhan dan memudahkan pertumbuhan jisim tulang.
  6. Vitamin A, mineral serta kandungan beta-karotene yang tinggi dalam peria katak dapat membantu meningkatkan penglihatan serta menjaga mata.
  7. Beberapa kajian menunjukkan paras kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan plak lemak terbentuk dalam arteri, menyebabkan jantung bekerja lebih keras untuk mengepam darah dan meningkatkan risiko penyakit jantung. Kandungan magnesium, kalsium dan kalium yang tinggi dalam peria katak membantu menurunkan paras kolesterol jahat dan lipoprotein berketumpatan tinggi (LDL) sambil mengekalkan paras HDL yang baik.
  8. Peria katak mengandungi sebatian hypoglycemic (dikenali sebagai insulin tumbuhan) yang boleh menurunkan paras gula dalam darah dan air kencing dengan berkesan. Cara paling mudah membantu merawat diabetes adalah dengan mengambil jus peria setiap pagi dan bagi mengurangkan rasa pahit, peria boleh dicampurkan dengan epal hijau dan oren. Peria katak juga dimakan bagi mengawal masalah diabetes. Sebelum mengambilnya, peria katak perlu direbus atau direndam dengan air garam terlebih dahulu.
  9. Peria katak dapat membantu menghapuskan radikal bebas berbahaya daripada sistem pencernaan. Tambahan pula, sebagai sayuran beralkali, peria katak mengeluarkan asid berlebihan dari perut serta memberikan kelegaan segera semasa refluks asid meningkat.
  10. Bagi anda yang selalu rasa badan letih dan lesu-lesu, boleh cuba amalkan jus peria katak kerana ia dapat membantu menambah tenaga dan stamina. Malah ia juga boleh dicuba untuk mengurangkan masalah tidur yang tidak lena.

 

Previous articleSalam Nuzul Al-Quran
Next article“RAMA-DINE” meraikan PPRK, PDRM & Pelajar Tahfiz

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here