Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

APABILA bercakap mengenai Seniwati Dayang Sofia pasti terbayang di minda anda dua watak yang dilakonkannya membuatkan para peminat filem Melayu mengigati wataknya yang sungguh berkesan sebagai perempuan yang berwatak jahat serta sifat wanita pengoda.

Menurut Dayang Sofia walaupun pengalaman berlakon dalam dua filem arahan Allahyarham Omar Rojik membuatkan para peminat membencinya namun ia mencatatkan kenangan indah sehingga namanya cukup dikenali.

FILEM Bujang Lapok dibintangi P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin, merupakan filem pertama lakonan Dayang Sofia.
SATU babak dari filem “Bujang Lapok.”
Dari kiri: S. Shamsuddin, Zaiton, Normadiah, Dayang Sofia dan Aziz Sattar.

Pertama lakonannya sebagai Galuh Adjeng dalam filem “Panji Semerang” (1961). Sebagai Galuh Adjeng, anak isteri kedua Gusti Prabu Daha (S. Kadarisman), Paduka Liku (Seniwati Normadiah), beliau sentiasa mahu mendapat sesuatu atau hadiah melebihi daripada Galuh Candra Kirana (Seniwati Saadiah).

Malah Galuh Adjeng sanggup merampas hadiah yang diterima Galuh Chandra Kirana daripada tunangnya, Raden Inu Kartapati (Seniman Aziz Jaafar) dan memfitnah Galuh Chandra Kirana sehingga beliau dihukum dengan rambutnya digunting sehingga pendek.

SAAT bahagia menjadi ‘Raja Sehari’…Seniwati Dayang Sofia dengan Aziz Sattar dalam filem “Bujang Lapok.”
PANJI Semerang…filem yang meninggalkan kenangan kepada Dayang Sofia.

Kejadian yang mengguris hati serta memalukan itu telah membuatkan Galuh Chandra Kirana membawa diri dan menyamar sebagai lelaki dengan nama Panji Semerang.

“Sampai hari ini saya tidak boleh melupakan filem ‘Panji Semerang’ kerana watak saya sebagai Galuh Adjeng yang mengada-ngada dan iri hati sehingga sanggup merampas hak kakaknya sehingga beliau dihukum membuatkan para peminat benci saya.

DAYANG Sofia melakonkan watak ‘Si-Buta’ yang sombong dan berlagak setelah matanya dapat melihat.

“Pada mulanya saya terkedu bila terserempak para peminat dan mereka marah-marah saya. Tetapi akhirnya saya sedar mereka marahkan ‘Galuh Adjeng’ bukan Dayang Sofia. Maknanya saya berjaya menjiwai watak itu,” cerita Dayang Sofia sambil ketawa apabila mengingatkan pengalamannya berlakon dalam filem tersebut.

Sejak lakonannya dalam filem keempat daripada 14 filem lakonannya, nama Dayang Sofia mula meniti di bibir para peminatnya

GAYA seorang seniwati popular…Dayang Sofia.
DAYANG Sofia terkenal sebagai seorang seniwati yang ‘fasionable.’

Namun kebencian para peminat filem Melayu bukan terhenti setakat itu. Malah wataknya sebagai Ani yang buta dan adik kepada Asmah (Seniwati Sarimah) dan anak Chik Pah (Seniwati Saamah) dalam filem “Sayang Si Buta” (1965) sehingga sanggup merampas kekasih kakaknya, Dr. Rashid (Tan Sri Jins Shamsuddin) yang sebenarnya menyintai Asmah.

Wataknya dalam dua filem itu telah meletakkan nama Dayang Sofia sebagai pelakon yang dibenci tetapi dirindui para peminat filem Melayu ketika itu.

DAYANG Sofia antara pelakon yang turut membintangi filem “Tiga Abdul” dengan pelakon utamanya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Haji Mahadi, Allahyarham S. Kadarisman, Seniwati Sarimah dan Seniwati Mariani.
DAYANG Sofia turut berlakon dalam filem “Mambang Moden” yang turut dibintangi Saadiah, Aziz Jaafar dan Aziz Sattar.

Itulah Seniwati Dayang Sofia atau nama sebenarnya Dayang Chik Awang Rambli. Beliau dilahirkan pada 26 Ogos 1938 di Miri, Sarawak. Ibunya berasal dari Sarawak sementara ayahnya, Awang Rambli Awang Mastarudin warga Brunei dan bertugas sebagai Pegawai Kastam di Miri.

Setelah ayah dan ibunya bercerai, Dayang Sofia dan ibunya berpindah ke Singapura. Di Singapura, Dayang Sofia mendapat pendidikan di Sekolah St. Hilda.

DENGAN potongan badannya yang menarik…apa juga dipakai menyerlah kecantikan Dayang Sofia.
DAYANG Sofia seniwati berbakat besar.

Setelah tamat sekolah, beliau berkerja sebagai setiausaha sebelum menerima tawaran menjalani ujibakat sebagai pelakon daripada Pengarah Seni filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Mustafa Yassin.

Jika sudah rezeki tidak siapa boleh menghalang. Melalui ujibakat itu, Dayang Sofia ditawarkan berlakon dalam filem “Bujang Lapok” (1957) arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

SENIWATI Dayang Sofia, Hashimah Yon, Normadiah bergambar kenangan dengan Aktres Hollywood, Elizabeth Taylor ketika menghadiri Festival Filem Asia-Pasifik di Tokyo pada tahun 1950-an.

Wataknya sebagai Sapiah, seorang gadis yang sering didera bapanya akhirnya telah diselamatkan oleh Sudin (Seniman Datuk Aziz Sattar) telah memperkenalkan namanya dalam dunia filem.

Menyantuni watak Sapiah dengan jayanya telah memberi ruang kepada Dayang Sofia menjalani hidup sebagai anak seni bergelar Seniwati!

BINTANG Studio Jalan Ampas…Mariani, Dayang Sofia, Normadiah, Sarimah dan Saloma.
SENIWATI Studio Jalan Ampas bergaya…Normadiah (baju kurung), Dayang Sofia, Sarimah dan Zaiton.

Sejak filem itu, Dayang Sofia tidah menoleh ke belakang lagi kerana bintangnya dalam bidang lakonan semakin menyerlah apabila satu demi satu tawaran berlakon diterima dan beliau mula mencuri hati para peminat filem Melayu ketika itu.

Sejak kemunculannya dalam filem itu, selain P. Ramlee satu demi satu tawaran diterima daripada pengarah dan seniman tersohor antaranya Allahyarham Datuk Jamil Sulong dan Allahyarham Omar Rojik.

SENIWATI Studio Jalan Ampas…Normadiah, Mariam, Saadiah dan Dayang Sofia.
DAYANG Sofia bersama Seniwati Mariani.

Antara filem lakonan Dayang Sofia adalah “Anak Pontianak”(1958), “Megat Terawis”(1961), “Seniman Bujang Lapok”(1961), “Nasib Si Labu Labi”dan “Mambang Moden”(1963), “Tiga Abdul”(1964), “Sayang Si Buta” dan “Pusaka Pontianak”(1965),
“Keranda Berdarah”(1969), “Puaka”(1970) dengan filem terakhirnya “Satu Titik Di Garisan”(1973).

Selain watak Sapiah, lakonannya sebagai Rafidah anak kedua Tuan Sadiq Segaraga dan isteri Abdul Wahub (Allahyarham Seniman S. Kadarisman) dalam “Tiga Abdul” semakin menyerlahkan bakatnya dalam bidang lakonan.

DAYANG Sofia antara seniwati filem Melayu yang begitu terkenal di zamannya.

Menceritakan pengalamannya ketika pertama kali berjumpa P. Ramlee, bagi Dayang Sofia ia adalah saat paling indah dalam hidupnya dan tiada kata yang dapat diungkap untuk menceritakan saat bersejarah itu.

“Itulah saat paling indah bagi saya sepanjang bergelar seniwati. Beliau adalah seorang seniman tulin dan semua pelakon dan kru di belakang tabir begitu menghormatinya.

BERITA perkahwinan Dayang Sofia dan Aziz Sattar disiarkan di akhbar.
DALAM kenangan…Dayang Sofia bersama Aziz Sattar.

“Disebabkan keperibadian yang begitu dihormati mereka yang terlibat dalam filem arahannya tidak akan duduk bersantai bersamanya jika tidak dipanggil.

“P. Ramlee juga tidak pernah memarahi para pelakon. Tetapi jika beliau tidak puashati dengan lakonan kami, beliau akan mengarahkan kru menutup lampu dan beliau akan menyendiri sekurang-kurangnya 15 minit. Selepas itu suasana akan kembali seperti biasa.

DAYANG Sofia bersama Aziz Sattar ketika bergelar menjadi suami isteri.
DAYANG Sofia bersama anaknya, Sandakiah Aziz semasa kecil.

“Bagi saya, walaupun filem pertama lakonan saya diarahkan oleh beliau namun sampai hari ini kenangan itu tetap segar dalam ingatan dan hidup saya.

“P. Ramlee bukan sahaja pengarah yang pertama dan bertanggungjawab membawa saya ke dunia filem malah beliaulah yang telah memberi nama baru pada saya. Daripada Dayang Chik nama saya ditukar kepada Dayang Sofia dan kekal sehingga hari ini. Nama Sapiah adalah watak saya dalam filem Bujang Lapok,” kata Dayang Sofia.

DAYANG Sofia kelihatan manis dengan kebaya pendek.
DAYANG Sofia yang sentiasa anggun!

Dayang Sofia seperti Seniwati lain yang berkerja (berlakon) secara kontrak dengan gaji bulanan sebanyak $250. Pada zaman itu gaji sebanyak itu memang besar dan mampu memberi beliau melalui kehidupan yang selesa.

Bagi Dayang Sofia walaupun telah meninggalkan dunia lakonan dengan filem terakhirnya “Satu Titik Di Garisan” (1973), namun hubungan silaturrahim dengan rakan seperjuangan tetap kekal antaranya Seniwati Hashimah Yon dan Seniwati Zaiton.

ALLAHYARHAM Aktor Ratnoer Timoer bersama Allahyarham Seniwati Latifah Omar dan Seniwati Dayang Sofia.
DAYANG Sofia dan Aziz Sattar di majlis persandingan anak mereka, Sandakiah bersama suami tercinta.

Apabila ditanya bagaimana beliau menjaga nama baiknya sehingga kekal diingati dan dikenali sehingga hari ini, Dayang Sofia memberitahu;

“Jangan ingat bila kita bergelar seniwati kita orang paling hebat. Sebagai seniwati kita jangan sombong dan sentiasa merendah diri dan menghormati sesama kita.”

TIGA sahabat…Seniwati Hashimah Yon, Dayang Sofia dan Seniwati Zaiton.
SENIWATI 1950-an yang masih diminati…K. Fatimah, Dayang Sofia dan Datuk Rosnani.
DALAM kenangan…Dayang Sofia bersama Allahyarham Seniman Wahid Satay.
DAYANG Sofia bersama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin

Dayang Sofia dan Aziz Sattar berkahwin pada 21 November 1958. Melalui perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang anak, Mohd. Zainuddin, Dahliah, Dalina dan Sandakiah.

Selepas bercerai beliau mendirikan rumahtangga buat kali kedua dengan Pengiran Jamaluddin Pengiran Haji Yaakub. Bagaimanapun rumahtangga yang dibina lebih 40 tahun itu berakhir dengan cerai mati. Suami beliau meninggal kerana sakit kanser.

SENIWATI Dayang Sofia, Allahyarham Seniwati Mimi Loma bersama bekas juruhebah, Noraini Ibnu.
DAYANG Sofia bersama anak teecinta, Sandakiah yang kini merupakan Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM)
SYED Wafa (Penulis)bersama Dayang Sofia, Uji Rashid dan Pengiran Jamaludin Pengiran Haji Ya’akub serta seorang kenalan.
DAYANG Sofia bersama suami tercinta, Allahyarham Pengiran Jamaludin Pengiran Haji Ya’akub.
DAYANG Sofia sentiasa merindui kenangan bersama suami tercinta, Allahyarham Pengiran Jamaludin Pengiran Haji Ya’akub.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan seniwati Dayang Sofia diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin

KENANGAN indah Syed Wafa (Penulis) bersama Seniwati Legenda Dayang Sofia
Previous articleRugi tak berbuka puasa di Restoran Rasa Rosz
Next articleAnakku Sayang…Ingatlah Sesungguhnya Ramadan Bulan Yang Sungguh Mulia!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here