Oleh Nafsiah Jani

Faktor tercekik di kalangan kanak-kanak atau bayi cukup ditakuti semua ibu bapa termasuk penjaga yang diamanahkan untuk menjaga bayi atau kanak-kanak tersebut.

Bila ia berlaku, selalu dikatakan ‘malang tidak berbau’. Namun untuk mengelakkan ianya terjadi semua pihak perlu peka dengan makanan, susu yang diberikan atau permainan yang diberikan kepada seorang bayi atau kanak-kanak.

Namun tahukah anda, apakah tanda seseorang bayi atau kanak-kanak itu mengalami masalah tercekik? Kanak-kanak atau bayi yang mengalami masalah ini boleh dilihat sukar untuk bernafas, tercungap-cungap atau berdecit. Kerongkong yang tersekat membuatkan mereka tidak mampu mengeluarkan sebarang bunyi ataupun menangis.

Malah bunyi nafas mereka juga tidak normal berbunyi seperti siulan dan akhirnya wajah mereka, kawasan mulut dan bibir kelihatan kebiru-biruan, memegang kerongkongnya, melambai tangan dan mata berair. Jika ini terjadi, jangan panik. Anda mampu mengatasi masalah tercekik ini dengan mengambil kira beberapa faktor keselamatan.

Terdapat banyak sebab anak anda tercekik, iaitu dia makan terlalu cepat dan tidak mengunyah makanan dengan baik. Tercekik juga berlaku apabila objek seperti guli, manik dan bateri butang tersusun dalam kerongkong atau saluran udara, menghalang aliran udara menyebabkan kanak-kanak tidak dapat bernafas dengan baik.

Kanak-kanak juga suka memasukkan sesuatu objek kecil ke dalam mulut mereka. Objek tersebut seperti guli, duit syiling, manik dan bateri butang adalah saiz yang biasanya tersekat pada saluran pernafasan kanak-kanak dan menyebabkan tercekik Tabiat mengutip dan memasukkan objek tersebut dibimbangi kerana berisiko menyebabkan kanak- kanak tercekik.. Sentiasa jauhkan objek kecil seperti ini daripada anak anda. Begitu juga dengan makanan melekit seperti mentega kacang juga berisiko menyebabkan anak tercekik.

Tercekik ditakrifkan American Academy of Pediatrics (AAP) sebagai sekatan atau halangan pernafasan oleh bahan asing yang menyekat saluran pernafasan dalaman. Ia juga antara penyebab utama morbiditi serta mortaliti (kematian) dalam kalangan kanak-kanak, terutama yang berumur di bawah tiga tahun.

Untuk mengelakkan tercekik, ajar dan beritahu anak anda supaya makan secara perlahan-lahan dan mengunyah makanan dengan teliti. Anda juga mestilah hindarkan memberi objek kecil kepada bayi dan anak kecil.

Jika lambat bertindak ia akan menimbukan komplikasi dengan jangkitan pada paru-paru, kerosakan otak akibat kekurangan oksigen, kematian akibat radang, bengkak paru-paru yang teruk atau kekurangan oksigen ke otak. Namun jika rawatan awal dapat diberikan, anda mampu mengelakkan komplikasi yang tidak diingini daripada berlaku.

Rawatan bagi bayi yang kurang dari setahun adalah :

1. Rawatan awal pastikan bayi boleh menangis atau batuk.

2. Buka mulut dan periksa benda asing. Keluarkan jika kelihatan dan pastikan anda tidak menjolok dengan jari kerana anda boleh memburukkan keadaan dengan menolak objek ke bawah dan lebih jauh ke dalam saluran udara.

3. Tiarapkan bayi atas lengan dengan kepala bayi terkulai sedikit ke bawah. Tepuk di belakang dada bayi sebanyak 5 kali. Insya-Allah.

4.Telentangkan bayi dan keluarkan benda asing jika ia masih kelihatan.

5.Jika masih tercekik, letakkan dua jari di tengah dadanya dan berikan lima tolakan. Ulang dengan pukulan belakang dan tolakan dada sehingga objek kelihatan dan boleh dikeluarkan.

6. Kanak-kanak di bawah usia setahun, selain bantuan pernafasan mulut ke mulut, hembus di bahagian hidung bayi sebagai bantuan asas memandangkan mulut bayi masih kecil berbanding rongga mulut dewasa.

Rawatan bagi kanak-kanak yang berusia setahun hingga lapan tahun :

Image by Mateus Andre on Freepik

1. Arahkan anda batuk dengan kuat, jika boleh sehingga benda yang tersekat dikerongkong terkeluar. Galakkan mereka untuk terus batuk dan jangan sesekali tinggalkan anak anda.

2. Jika benda tersebut sukar untuk dikeluarkan, tepuk lima kali antara tulang belikat mangsa dengan kedudukan kepala lebih rendah

3. Jika masih gagal lagi, lakukan tekanan dibawah diafragma sehingga benda tersebut keluar.

4.Jika mangsa berhenti bernafas, pengsan dan badan kebiruan segera lakukan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR) dan hubungi ambulan atau hantar mangsa segera ke hospital berdekatan

Previous articleKhasiat dan Manfaat Asam Keping
Next articleSyafinaz seronok jadi juri, dapat berkongsi ilmu dengan peserta

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here