Pengarah hebat Rahim Razali

Oleh Nafsiah Jani
Foto Afhzahafiez Kamaruddin/Koleksi Syed Wafa

Pelakon, pengarah, pengulas sukan, pengacara sukan, penerbit TV dan penerbit filem hebat Datuk Rahim Razali, 84, kini nampaknya terpaksa mengurangkan aktiviti seninya disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Rahim Razali atau nama sebenarnya, Abdul Rahim bin Mohd Razali berkata, selain penyakit darah tinggi, dia juga ada masalah boleh tertidur ketika memandu (microsleep).

“Alhamdulillah saya hanya ada penyakit darah tinggi sahaja. Saya juga bersyukur dalam usia begini masih ada lagi tawaran berlakon. Mana boleh buat, saya buat, mana tak boleh saya tolak. Selagi boleh berjalan dan selagi boleh bercakap…saya akan terus berlakon.

Rahim Razali bergandingan dengan Rubiah Suparman dalam filem Dayang Suhana yang diterbitkan pada tahun 1978.

“Cuma sekarang ini, doktor tidak benarkan saya memandu lagi. Bukan saya tak larat memandu… tetapi doktor tak benarkan sebab saya boleh tertidur bila-bila masa sewaktu memandu. Saya pun tak tahu nak cakap bagaimana… saya tak rasa mengantuk, tapi secara tiba-tiba saya boleh tertidur masa tengah memandu.

“Peristiwa ini berlaku dua tahun yang lalu, masa tengah memandu saya tertidur hingga terbabas ke tepi jalan. Nasib baik jalan lengang dan tak ada kereta, kalau tidak membahayakan orang lain dan diri saya juga. Sejak peristiwa tersebut, saya pun takut nak memandu lagi. Kalau boleh tertidur macam tu…bahayalah,’’ kata bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Kehebatan Rahim Razali sebagai pengulas sukan sejak tahun 1965.

“Doktor kata hanya sesetengah orang yang ada penyakit sebegini. Itu sebabnya sekarang ini jika berlakon, anak-anak yang tolong hantarkan ke lokasi dan kadang-kadang pihak produksi yang datang mengambil dan menghantar saya pulang kerana mereka faham masalah yang saya hadapi,’’ kata anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini.

Rahim Razali yang dilahirkan pada 3 Julai 1939 ini mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Anderson, Ipoh sehingga tamat pengajian sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Melbourne di Australia dalam jurusan Chartered Accountancy di bawah biasiswa Rancangan Colombo (tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Abang yang ditayangkan pada 1981 merupakan filem kedua Rahim Razali yang juga bertindak sebagai pengarah, penulis skrip dan juga pelakon.

Sekembalinya dari Australia, beliau melibatkan diri dalam bidang penulisan iklan di samping menjadi pengulas sukan sebelum menubuhkan syarikat sendiri iaitu Angkatan Seniman Abad XX Sdn. Bhd. (ASA XX) bersama Wan Rohani Zin, seorang bekas penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Matinya Seorang Patriot, Tsu Feh Sofia, Abang dan Pemburu adalah antara filem yang telah menjulang nama Rahim Razali sebagai pengarah yang hebat.

Filem Pemburu yang diterbitkan pada 1982 menampilkan Rahim Razali sebagai pengarah dan juga pelakon dengan watak sebagai ACP Razif.

Pelakon Rahim Razali yang dikenali menerusi filem Abang arahan dan lakonannya pada 1981 menambah, Sebagai pelakon, bidang ini masih belum memuaskan lagi dirinya kerana ada lagi bendanya tapi tak perlulah beliau nak jelaskan secara terperinci.

“Rasanya masih banyak lagi yang saya boleh buat. Saya nak buat filem…tapi tak kesampaian lagi. Ada orang tawarkan, tapi keupayaan diri saya sendiri sekarang ini agak terbatas dan berkurangan untuk menulis skrip dan mengarah. Ketidakpuasan tentang diri sendiri. Apa yang saya nak buat tapi tergendala disebabkan keuzuran.

Lakonan mantap Rahim Razali bersama Ahmad Yatim dalam filem Pemburu 1982 sebagai ACP Razif.

“Filem yang saya rancang nak buat dan tulis ini belum ada tajuk lagi… saya baru rancang dan fikirkan. Ia berkisar mengenai kisah masyarakat dan politik Malaysia. Dalam usia begini, saya perlu banyak berehat. Saya mengisi masa dengan membaca macam-macam buku dan menulis apa yang patut kerana otak kita tidak boleh dibiarkan jadi malas tanpa buat apa-apa.”

Filem Iman Alone yang dihasilkan pada tahun 1995 telah gagal menambat hati penonton dan sejak itu, beliau tidak lagi mengarah dan menghasilkan filem . Namun sebagai pelakon, Rahim Razali masih lagi aktif dengan karier seninya.

Filem Anak Sarawak arahan Rahim Razali pada tahun 1989

Rahsia 50 tahun perkahwinan Rahim Razali

Rahim Razali yang memulakan karier seninya sejak tahun 1959 sehingga kini bahagia dengan isterinya Datin Salmiah Abdul Mukmin, 80, bersama tiga orang anak serta tujuh orang cucu.

Rahim Razali (depan dua dari kanan) bersama barisan pelakon Mat Kilau dalam perarakan kemerdekaan. 65 tahun di Dataran Merdeka.

Anak sulungnya Rizal dan isterinya yang juga seorang pendidik kini menetap di Kuantan, Pahang. Anak keduanya, Nadiah pula terbabit dalam bidang perhubungan awam dan pengiklanan. Manakala anak bongsunya, Kartina pula bekerja dengan firma guaman.

“Tahun ini masuk 50 tahun usia perkahwinan saya. Dalam rumah tangga ini kita dan pasangan kena saling percaya –mempercayai antara satu sama lain. Saya bertuah kerana dapat isteri yang baik, tidak cemburu dan tahu suami dia bergaul dengan siapa demi kerjaya sebagai pelakon.

Rahim Razali memakai tanjak yang diterimanya daripada Pengerusi PEMEKAR, Mohd Amran Nasrudin (kanan sekali).

“Saya juga bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang cukup memahami. Bagi saya, bila dia memahami kerjaya saya, itu sudah cukup membantu. Disebabkan itulah rumah tangga kami mampu bertahan hingga 50 tahun,” katanya yang kini menetap di Subang Indah.

Memandangkan perwatakan dan gayanya yang tegap bersahaja serta mampu untuk berjalan tanpa bantuan tongkat membuatkan kita kagum dengan kemampuannya dalam usianya sudah mencecah 84 tahun.

“Alhamdulillah kerana saya masih diberi kesihatan yang baik dan sihat lagi serta tampak awet muda. Mungkin ini disebabkan saya suka makan ulam-ulaman seperti petai, jering dan juga masih berselera menikmati makanan yang isteri saya hidangkan.

“Saya ni anak kampung dan kalau makan tak ada ulam, rasa tak berselera nak makan. Saya juga lebih suka makan di rumah dan steri saya cukup tahu apa makanan kegemaran dan kesukaan saya,’’ kata Rahim Razali yang juga popular sebagai pengacara dan pengulas sukan popular satu waktu dahulu.

Pengarah hebat, Rahim Razali banyak habiskan masa membaca dan berkebun di sekeliling rumahnya.

Sepanjang bergelar pengulas sukan, beliau pernah menjadi pengulas Sukan Olimpik yang disiarkan RTM sebanyak lima kali dan pertandingan Bola Sepak Piala Dunia sebanyak enam kali.

Sepanjang kariernya, Rahim Razali banyak mengarah dan berlakon filem antaranya Dayang Suhana pada tahun 1978, Matinya Seorang Patriot (1984), Tsu Feh Sofiah (1986) Anak Sarawak (1989), Abang 92 (1993), Puteri Gunung Ledang (2004) dan Munafik (2016) dan Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan (2022).

Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) tahun 1981, Rahim Razali memenangi Anugerah Skrip Terbaik dan dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Abang.

Wajah terkini Rahim Razali yang masih segak dan bergaya.

FFM5 tahun 1984 pula Rahim Razali di pilih sebagai Pengarah Terbaik, LakonLayar Terbaik dan Filem Terbaik melalui filem Matinya Seorang Patriot. Filem itu juga turut mengondol Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik, Anugerah Jurukamera Terbaik dan Penyunting Filem Terbaik.

Manakala dalam FFM6 pula pada tahun 1986 filem arahan Rahim Razali, Tsu Feh Sofiah turut memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. FFM20 pula menerusi filem Cinta tahun 2007, Rahim Razali sekali lagi terpilih untuk Anugerah Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik.

Sejak tahun 1981 dan menceburi dunia lakonan, beliau telah mengarah lapan buah filem dan membintangi lebih 15 buah filem. Kehebatannya sebagai pengarah membuatkan beberapa buah filemnya terpilih mewakili Malaysia ke Tokyo International Film Festival, London International Film Festival dan lain-lain lagi.

Previous articleCara Kira Waktu Subur (Bahagian 2)
Next articleAmy Mastura tetap santai, jarang cipta kontroversi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here