Oleh Nafsiah Jani
Mungkin bagi yang tidak mengetahui khasiat dan manfaat daun sirih cina mungkin menganggap ia hanya sejenis tumbuhan jenis rumput liar dan tumbuh melata didalam pasu atau celah-celah batu.
Tapi tahukah anda bahawa sirih cina atau nama saintifiknya Peperomia pellucida atau nama lainnya pokok ketumpang air dan banyak lagi nama mempunyai tinggi khasiat dalam perubatan dan kecantikan.
Cara makan sirih cina amat mudah. Anggaplah ia sebagai sayur. Jadi, boleh dimasak dengan pelbagai menu. Sirih cina juga sesuai dibuat ulam dan kerabu. Malah, sirih cina juga boleh dijadikan jus kerana ia mengandung banyak senyawa aktif, diantaranya alkaloid, flavonoid, saponin, triterpenoid dan tanin. Kandungan inilah yang membuat daun sirih cina sering dijadikan sebagai pilihan ubat herba tradisional.
Untuk kesihatan dan kecantikan anda, jadikan sirih cina sebahagian daripada menu atau jus minuman yang pasti lain dari yang lain. Sirih cina mudah didapati secara mudah kerana ia banyak tumbuh di sekitar kawasan rumah. Jadi, apa tunggu lagi, mari kita amalkan tumbuhan herba ini
Ini antara 10 khasiat dan manfaat yang bakal anda dapat jika amalkan daun sirih cina dalam kehidupan seharian anda.
- Redakan demam. Bila ada anak-anak demam dan suhu badan tinggi, ambil beberapa helai daun sirih cina bersama batangnya dan ramas dalam air. Kemudian sapu di kepala, leher dan badan. InsyaAllah badan anak anda akan kembali sejuk.
- Hilangkan sakit kepala. Kandungan daun tersebut dipercayai mampu menghilangkan sakit kepala atau pun mencegahnya daripada menyerang. Hanya amalkan satu atau dua helai daunnya setiap hari sama ada dimakan begitu sahaja atau dijadikan ulam ketika makan. Ia juga boleh dihancurkan lalu diambil ekstraknya dan letakkan pada kepala yang sedang sakit. Kaedah ini juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit kepala.
- Kurangkan tekanan darah tinggi. Bagi pesakit darah tinggi, pengambilan daun sirih cina ini setiap hari juga mampu mengurangkan kadar tekanan darah tinggi.
- Menggunakan sirih cina sebagai masker pada muka yang berjerawat akan membantu mengurangi kemerahan dan membantu membunuh bakteria penyebab jerawat. Kandungan anti inflamasi dan anti septik dari senyawa di daun sirih cina dapat membantu mengurangi masalah jerawat. Ia juga dapat membantu mencerahkan muka serta memudarkan bintik hitam di wajah.
- Daun sirih cina ini juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit perut dan masalah cirit birit. Ambil daun dan batangnya dalam secekak. Cuci bersih dan tumbuk sehingga lumat. Perah dan tapis air patinya. Minum dan ulanginya sehingga masalah sakit perut dan cirit birit hilang.
- Merawat luka kulit terbakar. Ambil tumbuhan ini dengan kadar secukupnya. Cuci bersih dan tumbuk hingga lumat. Tempelkan ramuan ini pada bahagian yang sakit. Ulang cara ini beberapa kali sehari hingga luka sembuh.
- Meredakan batuk dan melegakan selsema dengan jusnya.
- Merawat gout kerana daun ini dikatakan dapat mengurangkan paras asid urik dalam badan jika diamalkan setiap hari sebagai ulam harian.
- Merawat kayap.
- Membantu mengatasi masalah mata sembab disebabkan stress ataupun masalah kurang tidur. Rendam daun sirih cina di dalam air panas selama lima minit. Kemudian tampalkan daun tersebut di mata yang sembab selama 10 minit. Lakukan setiap malam, InsyaAllah sembab dibawah mata akan hilang.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.