Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

APABILA sebut nama Mariam Baharom pasti nama ‘Mariam Tahi Lalat’ terbayang di fikiran anda kerana realitinya walaupun namanya berlainan tetapi orangnya tetap sama dan beliau berjaya mencipta nama sebagai salah seorang seniwati popular dan diminati ramai pada zaman kegemilangan filem Melayu pada era tahun 1950-an sehingga 1960-an.

Bagi Allahyarham Seniwati Mariam Baharom, tidak pernah beliau menduga bermula sebagai pelayan di sebuah restoran dengan para pengunjung yang ramai termasuk beberapa pekerja di Studio Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas yang mengesyorkan beliau mencari peluang berlakon membawa beliau menjadi bintang.

MARIAM Baharom mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila menjadi heroin pada muda ketika berusia 15 tahun dalam filem “Kembar.”

Mariam yang sekadar mahu melihat penggambaran akhirnya berpeluang menjalani ujibakat yang turut dihadiri Fatimah Othman, Junaidah, Junainah, Neng Yatimah dan beliau. Namun akhirnya Mariam dan Neng Yatimah terpilih menjadi pelakon di MFP.

Seniwati Mariam Baharom dilahirkan pada 2 Ogos 1935 di Jalan Dusun, Balestier Road, Singapura. Ibu kepada tujuh orang anak iaitu tiga daripada perkahwinan pertama dengan Abdul Latiff dikurniakan dua anak lelaki yang menjadi pelakon kanak-kanak terkenal iaitu Allahyarham Bad Latiff, Rafi Latiff dan Hamimah. Melalui perkahwinan kedua bersama penyanyi Rahim Hamid yang digelar Nat King Cole Singapura, beliau dianugerahkan empat orang anak dengan yang sulung penyanyi terkenal Rahimah Rahim, Rahman, Hamidah dan Rozie yang juga mencipta nama sebagai penyanyi terkenal di Singapura.

TUJUH Puteri “Selendang Delima” dilakonkan Puteri Sulong, Mariam Baharom dan Puteri Bungsu, Latifah Omar.
Sementara lima lagi watak puteri dilakonkan Norsiah Yem, Misliah, Emilia, Halimah dan Angalina.

Menurut Mariam Baharom, melalui ujibakat itu beliau terpilih menjadi pelakon, namun hasratnya itu terhalang gara-gara gambarnya sebagai pelakon filem tersiar di majalah.

“Bapak ni warak orangnya. Bila dapat tahu saya nak berlakon bapak tak setuju. Saya masih ingat apa yang bapak cakap dan saya memang terkejut.

MARIAM Baharom berpasangan dengan P. Ramlee dalam filem “Anjoran Nasib.”

“Bapak beritahu mak, bapak tak suka saya jadi anak wayang. Tapi…mak jawab, kalau anak dah suka mak izinkan,” cerita Mariam Baharom ketika diinterbiu seorang wartawan suatu waktu dahulu.

Sejak itu, bermulalah perjalanan hidup Mariam sebagai pelakon dalam empat filem terbitan Shaw Brothers antaranya “Nilam” (1949) diikuti filem “Aloha,” “Dewi Murni” dan “Kembar” pada tahun 1950.

LAKONAN hebat Mariam Baharom berpasangan dengan P. Ramlee dalam filem “Anjoran Nasib.”

Filem “Kembar” arahan S. Ramanathan buat pertama kalinya memberi peluang Mariam menjadi pelakon utama apabila pengarahnya memberitahu ‘mahu menjadikan Mariam heroin’ berpasangan dengan M. Amin. Filem ini telah menjulang namanya sebagai bintang filem setanding dengan Siput Sarawak dan Kasma Booty.

Turut berlakon dalam filem ini ialah D. Haris, Siti Tanjong Perak, Jaafar Wariyo, Ulong Jawa, Ainon Fiji dan Aini Jasmin sebagai penari.

MARIAM Baharom atau dikenali ‘Mariam Tahi Lalat.’
MARIAM Baharom dan P. Ramlee berpasangan dalam salah satu filem lakonan mereka.

Kemudian pada tahun 1952, beliau berlakon dalam filem “Aladin” arahan BS Rajhans berpasangan dengan Jaafar Wariyo diikuti filem “Anjoran Nasib.”

Mariam Baharom yang meminati Siput Sarawak setelah melihat lakonannya dalam filem “Chinta” (1948) juga pernah berpasangan dengan Yusof Latiff dalam filem “Kipas Hikmat” arahan S. Ramanathan pada tahun 1955.

MARIAM Baharom berpasangan dengan M. Amin dalam filem “Kembar.”

Populariti Mariam berada di kemuncak apabila buat pertama kalinya berpeluang berlakon dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem “Anjoran Nasib” arahan BS Rajhans. Selain berlakon Mariam mempamerkan bakatnya sebagai penari.

Lakonannya dalam filem ini telah melayakkan beliau memenangi gelaran ‘Bintang Pujaan Wanita Malaya Kedua’ yang dianjurkan oleh Majalah Filem Raya pada tahun 1953.

SENIWATI pujaan ramai…Normadiah, Mariam Baharom, Saadiah (adik beliau) dan Dayang Sofea.

Mariam juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Pelakon Veteran Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-15 (FFM) pada tahun 2001 dan FFM ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 2009.

Selepas filem berkenaan, sekali lagi Mariam berlakon disamping P. Ramlee dalam filem “Abu Hassan Penchuri” (1955) arahan BN Rao. Turut berlakon dalam filem ini Nordin Ahmad, Daeng Idris dan Ahmad C.

MEMILIKI wajah cantik menawan dan tahi lalat pemanis muka menjadikan Mariam Baharom antara heroin popular pada tahun 1950-an.

Selepas filem berkenaan, Mariam Baharom bersara dari berlakon untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan rumahtangganya.

Bagaimanapun pada tahun 1958, Mariam kembali berlakon dengan membintangi filem “Selendang Delima” arahan KM Basker terbitan Cathay Keris. Selain Mariam, filem ini dibintangi Seniwati Maria Menado, Latifah Omar, M. Amin, Abdullah Chik dan Mahmud June.

FILEM “Pusaka Pontianak” dengan pelakon utama Ahmad Mahmud dan Saadiah. Turut membintangi filem ini Mariam, Haji Mahadi, Aziz Sattar, Kuswadinata dan Ahmad Daud.

Disamping itu, beliau turut berlakon dua filem Shaw Brothers iaitu “Antara Dua Darjat” dan “Seniman Bujang Lapok.”

Bagaimanapun ketika namanya kembali meniti di bibir para peminatnya, Marian Baharom telah memilih untuk bersara dari dunia seni oleh sebab tertentu.

MARIAM Baharom bersama anaknya, penyanyi legenda Rahimah Rahim semasa kecil.

Sesungguhnya seniwati sejati, Mariam Baharom sanggup melakonkan apa jua watak yang diberikan kepadanya.

Disebabkan itu tidak hairanlah beliau sanggup menerima dua tawaran berlakon daripada P. Ramlee iaitu sebagai pembantu rumah dalam filem “Antara Dua Darjat” (1960) dan isteri jiran motosikal bising dalam “Seniman Bujang Lapok” (1961).

BAT Latif merupakan pelakon kanak-kanak Melayu pertama yang juga merupakan anak Mariam Baharom yang mengikuti jejak beliau, menerima anugerah Pelakon Kanak-Kanak Lelaki Terbaik di Pesta Filem Asia Pasifik di Tokyo kerana lakonannya dalam filem “Batu Belah Batu Bertangkup.”
Turut menerima anugerah ialah P. Ramlee.
KENANGAN Wafa (penulis) bersama seniman hebat Bat Latif.

“Untuk menjadi seniwati sejati, bagi saya bukan watak yang penting tetapi bagaimana kita menghayati watak yang dilakonkan,” kata Mariam.

Mariam dikatakan orang yang bertanggungjawab membawa adiknya, Allahyarham Seniwati Datin Saadiah berlakon sehingga menjadi pelakon terkenal.

WAFA bersama Rozie yang juga mengikuti ibu tercinta sebagai anak seni.

Sepanjang 15 tahun penglibatannya sebagai pelakon, Mariam telah membintangi hampir 20 filem antaranya “Orang Minyak” dan “Selendang Delima”(1958), “Gul Bakawali,” “Gila Talak” dan “Masok Angin Keluar Asap” (1963), “Pusaka Pontianak” (1965) dan filem terakhir “Si Murai” (1968).

Mariam Baharom meninggal dunia pada usia 75 tahun pukul 5.50 pagi pada 9 Ogos 2010 di kondominiumnya di Yishun, Singapura.

WAFA (penulis) bersama penyanyi legenda Rahimah Rahim yang begitu bangga mempunyai seorang ibu, seniwati legenda Mariam Baharom.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Abadi, Choa Chu Kang dengan dihadiri Nona Asiah dan Seniwati Hashimah Yon.

Kami di Ladybosz mendoalan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

 

Previous articleSet promosi Crispy Buttermilk Chicken dapat sambutan hangat
Next articleBuat Suamiku Tersayang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here