Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Afhzahafiez Kamaruddin

Seramai 20,000 peserta disasarkan akan menyertai program Perarakan Perpaduan (Unity Parade) Kuala Lumpur 2024 bermula 24 hingga 25 Februari bagi meraikan kebudayaan yang terdapat di Malaysia.

Program ini turut melibatkan 22 kaum dan etnik negara dengan lebih 10 pengisian program dan aktiviti kemasyarakatan.

Pengarah Projek Unity Parade, Norrizan Abdul Majid memberitahu fokus utama penganjuran program itu adalah untuk pemeliharaan budaya, pendidikan dan penglibatan masyarakat dalam memupuk semangat perpaduan.

Pengarah Projek Unity Parade Kuala Lumpur 2024. Norrizan Abdul Majid bersama isterinya, Noorshila Amin selaku pegawai promosi.

“Dari Perlis hingga ke Sabah kita akan bawa mereka ini sama-sama berarak, memberikan satu solidariti, satu perpaduan, mengangkat kata-kata Perdana Menteri. Anak kita Cina, anak kita Iban anak kita India, kita satukan mereka dalam perarakan ini,”katanya ketika sidang media acara Perarakan Perpaduan Kuala Lumpur 2024 baru-baru ini.

Program yang dianjurkan selama dua hari itu merupakan anjuran bersama antara Unity Parade dan KL Society bersama rakan strategik Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Acara perarakan sepanjang 5km itu akan bermula pada 5 petang di Dataran Merdeka membabitkan lima hentian utama iaitu Pasar Seni, pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, Jalan Alor, pusat beli-belah Lot 10 serta Berjaya Times Square dan berakhir di Lalaport BBCC.

“Perarakan ini akan menampilkan pelbagai keunikan elemen seni dan budaya masing-masing seperti persembahan kebudayaan, aktiviti dan pakaian tradisional serta kenderaan berhias,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Presiden KL Society, Pradeeban Letsumanasingam pula menambah, misi perarakan ini sebagai acara tahunan dalam konteks mempromosikan Pelancongan Kuala Lumpur.

Penganjur program Unity Parade Kuala Lumpur 2024 bergambar bersama pihak penaja.

“Selain itu ia juga untuk pemeliharaan budaya, pendidikan dan penglibatan masyarakat tak kira yang jauh dan yang dekat termasuk memupuk semangat perpaduan dikalangan semua orang tak kira bangsa dan agama.”

Unity Parade Kuala Lumpur 2024 turut menampilkan lebih 10 aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan antaranya Unity Parade Kuala Lumpur Photo Competition dan Unity Parade Village. Selain itu, terdapat banyak aktiviti seni dan budaya, pameran sejarah, termasuk pertunjukan muzik dan konsert muzik bagi penutup berakhirnya perarakan Unity Parade pada malam 24 dan 25 Februari.

Sebelum ini perarakan pertama yang berjaya dianjurkan oleh komuniti tempatan pada tahun 2022 dikenali sebagai KL Prosperity Walk. Pada tahun 2023, dengan kerjasama World Dragon & Lion Dance Extravaganza dan Persatuan Pelancongan BBKLCC, ia berjaya menarik perhatian ramai pihak, dari dalam dan luar, Kuala Lumpur.

Mereka yang berminat untuk mengetahui atau menyertai acara perarakan itu boleh mendaftar secara percuma di laman sesawang rasmi di unityparade.my.

Previous articleDi sebalik jelingan manja Seniwati Rahmah Rahmat!
Next articleKarya baru Zamaera,‘BIG FISH’ lebih terbuka!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here