Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

BAGI para peminat filem Melayu era 1950-an sehingga 1970, nama Allahyarham Seniwati Rahmah Rahmat memang cukup dikenali sebagai seorang pelakon yang mempunyai daya tarikan pada sepasang matanya yang dikatakan amat menggoda dengan jelingan tajam dan memukau.

Rahmah Rahmat memulakan kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak pada usianya 10 tahun dalam filem “Sengsara”(1963) arahan S. Ramanathan. Dalam filem itu, Rahmah Rahmat melakonkan watak Allahyarham Seniwati Normadiah semasa kecil.

SENIWATI yang membintangi filem “Sri Tanjong” (1961) arahan Jamil Sulong.
Filem ini dilakonkan (dari kanan), Rahmah Rahmat, Hashimah Yon dan Normadiah.

Selain berlakon, Rahmat Rahmat yang juga berbakat menari dan dikatakan sering diberi peranan sebagai penari dalam kebanyakan filem lakonannya. Kemunculan beliau sebagai penari bukan setakat lenggok badan mengikut irama lagu malah dengan penuh gaya dengan jelingan matanya yang galak dan menggoda.

Rahmah Rahmat dilahirkan pada tahun 1943 di Singapura dalam keluarga seni dengan ayahnya, Rahmat Ali terkenal sebagai peniup trumpet dan ibunya seniwati Saamah sementara abangnya, Rahman Rahmat juga pelakon kanak-kanak pada tahun 1950-an.

JINS Shamsudin dan Rahmah Rahmat dalam satu babak filem lakonan mereka.

Selain beliau dan abangnya, Rahman Rahmat, dua lagi kakaknya iaitu Ainon Rahmat dan Ribut Rahmat juga merupakan penari untuk filem-filem terbitan Shaw Brothers. Sementara abangnya, Abas Rahmat adalah pemain derum yang cukup terkenal pada era 1960-an.

Walaupun Rahmah Rahmat sering diberi watak tambahan namun kemunculannya sebagai ketua penari dalam filem “Nujum Pak Belalang” menyanyikan lagu ‘Ketipang Payung’ diikuti sebagai nenek si bongkok tiga bersama Allahyarham Seniwati Datin Saadiah tetap menarik perhatian penonton.

POSTER filem “Si Tanggang” arajan Jamil Sulong terbitan Malay Film Productions pada tahun 1961. Filem ini dibintangi Jins Shamsuddin, Zaiton, Sarimah, Normadiah dan Rahmah Rahmat.

Bagi Rahmah Rahmat meskipun sering digambarkan sebagai wanita penggoda dan jahat dalam filem-filem lakonannya antaranya kekasih gelap Tengku Mukri (Allahyarham Seniman S. Kadarisman) dalam filem “Antara Dua Darjat” namun jauh di sudut hatinya beliau ingin melakonkan watak utama selain penari dan wanita penggoda.

Selain itu, watak jahat yang pernah dilakonkan Rahmah Rahmat dan membuatkan penonton membencinya adalah dalam filem “Dandan Setia,”(1959), “Megat Terawis,”(1960), “Sri Tanjung”(1961) dan “Gerak Kilat”(1966) dan sebagai isteri curang dalam filem “Gerhana”(1962).

ANGGUN dan menarik dengan kebaya pendek digayakan seniwati popular (dari kiri) Saloma, Hasnah Rahman, Rahmah Rahmat dan Roseyatimah.
BARISAN seniwati jelita Studio Jalan Ampas.
Dari kiri: Dayang Sofia, Zaiton, Habsah Buang, Saadiah, Saamah, Sarimah dan Rahmah Rahmat.

Impian Rahmah Rahmat untuk melakonkan watak utama dalam filem sepertimana rakan seperjuangan yang juga merupakan kawan baiknya, Seniwati Hashimah Yon bagaikan hampir menjadi kenyataan apabila pada tahun 1959, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merancang untuk ‘menjadikan’ beliau sebagai watak utama (heroin) dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” (1959).

Bagaimanapun sebelum impiannya menjadi kenyataan, Rahmah Rahmat harus menjalani ujibakat dengan dua calon lagi iaitu Siti Hawa Majid dan Roseyatimah yang merupakan kawan baiknya di Boon Teck Road.

19 Februari 1961…tarikh bersejarah bagi Rahmah Rahmat dan Jins Shamsuddin…mereka sah sebagai suami isteri.
RAHMAH Rahmat dan Jins Shamsuddin.

Sayangnya nasib tidak menyebelahi beliau apabila P. Ramlee memilih Roseyatimah untuk menyantuni watak Cikgu Rose yang mengajar mereka yang ‘buta huruf’ dalam filem berkenaan. Filem tersebut telah meletakkan Roseyatimah sebagai salah seorang seniwati popular ketika itu.

‘Kegagalan’ itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berlakon dan bergelar anak seni meskipun hanya sebagai pelakon tambahan dan penari tetapi beliau juga berbakat sebagai penyanyi.

“BATU Belah Batu Bertangkup” dibintangi Aziz Jaafar, Rahmah Rahmat dan Neng Yatimah.
PARA pelakon yang membintangi filem “Mambang Moden” arahan Jamil Sulong yang diterbitkan Malay Film Productions pada tahun 1964.
Dari kiri: Dayang Sofia, Aziz Jaafar, Saadiah dan Rahmah Rahmat.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Rahmah Rahmat adalah seniwati yang banyak menyanyikan lagu-lagu runut bunyi filem (OST) antaranya ‘Jangan Adik Angan-Angan’ berduet dengan P. Ramlee dan ‘Nenek Si Bongkok Tiga’ (filem Musang Berjanggut – 1958), ‘Ketipang Payung (filem Nujum Pak Belalang – 1959), ‘Jangan Tinggi Diri’ dan ‘Kembang Disayang’ (filem Dandan Setia – 1959), ‘Tanda Kasih’ berduet dengan Allahyarham Seniman Ahmad Mahmud ( filem “Isi Neraka” – 1960), ‘Alangkah Indah Di Waktu Pagi’ (filem Ali Baba Bujang Lapok – 1961)dan ‘Pahlawan Pesaka’ ( filem “Lela Manja”1960).

Namun penantiannya untuk melakonkan watak penting dalam filem lakonannya akhirnya menjadi kenyataan apabila pengarah Allahyarham Datuk Jamil Sulong menawarkan watak Citra dalam filem “Isi Neraka” (1960) diikuti filem “Lubang Neraka” (1970) arahan Allahyarham Nordin Ahmad.

RAHMAH Rahmat bersama Ibrahim Pendek.

Filem ini adalah lakonan terakhir Rahmah Rahmat sebelum beliau mengambil keputusan meninggalkan dunia filem dan menumpukan perhatian kepada kehidupan rumahtangga.

Walaupun Rahmah Rahmat sering diberi watak ‘hitam’ namun beliau tidak pernah menyesal kerana bukan semua pelakon yang mampu menyantuni watak berkenaan dengan baik.

WAJAH Rahmah Rahmat sering menjadi cover majalah.

Adalah difahamkan melalui temuramah dengan seorang wartawan, Rahmah Rahmat dengan penuh jujur berkata;

“Saya suka jadi wanita mata keranjang, suka berpeleseran, minum whisky, brandy dan sentiasa kelihatan cantik di khalayak ramai.”

RAHMAH Rahmat bersama Seniman Datuk Ahmad Daud.
BINTANG filem terkenal Studio Jalan Ampas…Hashima Yon, Rahmah Rahmat dan Salleh Kamil.

Itulah jawapan yang diberikan Rahmah Rahmat apabila seorang wartawan menemuramahnya bertanya tentang watak yang gemar dilakonkan dalam filem sambil berkata;

“Selalunya di hadapan cermin saya melakonkan pelbagai watak yang semuanya baik-baik sebagai isteri yang setia, gadis yang sopan tetapi sayangnya ia kelihatan pelik dan nampak sangat saya ‘berlakon.’

PENCIPTA lagu untuk filem “Sial Wanita,” Kassim Masdor bersama penyanyi R. Ismail dan Rahmah Rahmat. Suara nyanyian mereka akan digunakan oleh Nordin Ahmad dan Saadiah.
Filem arahan M. Amin terbitan Cathay-Keris pada tahun 1969 dilakonkan oleh Nordin Ahmad dan Saadiah.

“Seorang pelakon itu dianggap baik dan berjaya apabila dapat menjiwai wataknya dan menzahirkannya dengan penuh perasaan sehingga dapat dirasai oleh penonton dan membuatkan mereka membencinya.

“Bagi saya pelakon yang takut melakonkan watak wanita pisau cukur, kaki joli tidak layak menjadi pelakon.”

Mendasari kehidupannya sebagai isteri kepada Seniman Tan Sri Jins Shamsuddin, Rahmah Rahmat diibaratkan seorang isteri yang romantik, manja dan penyayang.

RAHMAH Rahmat dan Ahmad Mahmud.
SENIMAN Ahmad Mahmud dan Rahmah Rahmat berduet dalam lagu “Tanda Kasih” untuk filem lakonan mereka.

“Saya rasa bahagia apabila menerima senyuman manja daripada suami sebelum dan sekembali beliau dari lokasi penggambaran.

“Malah kalau suami saya lupa saya akan mengingatkan beliau di mana senyuman manja yang sering diberikan sebelum meninggal Cik Adik (saya).

SENIWATI serba boleh, Rahmah Rahmat.

“Sebagai isteri saya mahu menjadi yang terbaik buat suami dan boleh menjaga makan minumnya dan mendidik anak dengan sempurna,” kata Rahmah Rahmat mendedahkan rahsia kebahagiaan hidup berumahtangganya dan Jins Shamsuddin.

Rahmah Rahmat berkahwin dengan Jins Shamsuddin setelah tragedi yang berlaku ketika seniman itu sedang membaiki lampu di rumah Rahmah dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik.

RAHMAH Rahmat bersama ibunya, Saamah dan anaknya, Mohd. Jefri Zain.
TAKDIR menentukan…jodoh Rahmah Rahmat dan Jins Shamsuddin tidak kekal lama.

Rahmah Rahmat yang terkejut terus menarik wayar elektrik sehingga putus dan membawa Jins ke hospitsl berhampiran rumahnya.

Sayangnya rumahtangga yang dibina pada tahun 1961 berakhir dengan perceraian pada tahun 1963. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Mohd Jefri Zain.

JINS Shamsuddin bersama anaknya, MohdZ Jefri Zain.

Enam tahun selepas perceraian itu, Rahmah Rahmat ditemukan jodoh dengan pegawai polis, Jaafar Awang. Rumahtangga mereka bahagia dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Sheri, Shahrin dan Sharina.

Kebahagiaan rumahtangga mereka kekal sehingga ke hujung nyawa apabila Rahmah Rahmat meninggal dunia pada usia 50 tahun kerana kanser payudara di Hospital Besar Singapura pada 29 Mac 1993 selepas beberapa hari menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

Previous articleSet promosi Tahun Baharu Cina di Restoran Rasa Rosz
Next articleUnity Parade Kuala Lumpur 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here