Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Afhzahafiez Kamaruddin
Dalam usianya yang sudah mencecah 60 tahun namun penyanyi dan usahawan Noorshila Amin yang popular dengan lagu Aku Sudah Jatuh Cinta pada era 1980-an, masih lagi berminat untuk menyanyi.
Noorshila Amin yang juga terkenal dengan lagu Kad Ucapanmu dan Rambu Ramba ini mengambil peluang kemunculannya dalam Gegar Vaganza musim ke 6 dengan tampil menyanyikan lagi ciptaan anaknya, Lari.
Namun mungkin masyarakat Malaysia mungkin masih belum dapat menerima irama muzik yang menampilkan genre muzik dram dan Bass yang begitu popular di United Kingdom.
“Tapi saya bangga kerana dapat banyak feedback daripada rakan-rakan artis termasuk Datuk Fadzilah Kamsah yang mengatakan lagu ini cukup bermotivasi dan sesuai untuk semua golongan terutamanya golongan muda boleh menerimanya.
“Mungkin rezeki masih belum menyebelahi saya lagi. Walaupun tak ada lagu baru selain lagu Lari, saya masih juga menerima undangan menyanyi. Kini saya juga sudah ada beberapa buah material lagu dan tunggu masa saja untuk dirakamkan.
“Saya juga tengah tunggu anak saya Banni yang tengah sibuk dengan shownya sendiri dan jadi hos untuk sebuah program masakan, kata Noorshila lagi.
Dalam kesibukannya menyanyi, Noorshila juga aktif dalam perniagaan menerusi syarikatnya Titanius Global Enterprise mengeluarkan rempah Diraja.
“Rempah ini resepi keluarga saya dan saya sendiri yang menghasilkannya. Kami ada buat dua jenis iaitu rempah perasa dan rempah multipurpose yang sesuai digunakan dalam semua jenis masakan Cina, Indian ataupun masakan barat,’’ kata Noorshila yang kini menetap di Seremban.
Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, Noorshila pernah tampil dengan album Kad Ucapanmu (1989), Rambu Ramba (1990), Ahai Usahlah (1991) dan Luahan Hati (2003).
Kini Noorshila sibuk dengan program Unity Parade Kuala Lumpur 2024 yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 Februari ini. Program anjuran Unity Parade dan KL Society ini turut mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Sepanjang acara gemilang meraikan kebudayaan Malaysia ini, dijangka lebih enam ribu orang peserta akan berarak dengan baju kebangsaan masing-masing sejauh 5km. Perarakan akan bermula dari Dataran Merdeka dan berakhir di Lalaport Bukit Bintang
Noorshila tak halang anak jadi penyanyi
Seperti ibu-ibu lain, Noorshila Amin tidak mempunyai halangan untuk anak-anaknya mengejar impian mereka sendiri. Sebagai ibu dia hanya mampu memberi panduan dan dorongan untuk kejayaan anak-anaknya.
Dikurniakan empat cahaya mata yang boleh menyanyi, Noorshila Amin mahu mereka popular atas usaha sendiri, bukan menumpang namanya sebagai artis. Anak-anaknya adalah Nurrul Admiena, 40, Nurrul Nadia, 38, Mohammad Daniel Durrany ,31, dan Muhammad Banni Basyishar, 29.
“Impian saya semuanya dah tercapai. Sekarang ini saya hanya ingin melihat anak-anak pula berjaya dan maju dalam hidup mereka. Boleh dikatakan semua anak saya minat dalam bidang nyanyian. Dua daripada mereka boleh mencipta lagu dan bermain muzik.
“Anak pertama dan kedua minat menyanyi…tapi tidak ada rezeki lagi. Anak ketiga pula sekarang bekerja di bank dan yang bongsu ini nampak sikit bintangnya sudah menyinar dalam bidang seni. Kesungguhan ditunjukkan anak lelaki saya apabila mengambil jurusan muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ini membuktikan dia serius dalam bidang ini. Banni memang suka menyanyi, mencipta lagu dan bermain saksofon,’’ kata Noorshila nenek kepada dua orang cucu ini.
Kini dalam meniti usianya, isteri kepada Norrizan Abdul Majid ini cukup menjaga pemakanannya sehari-hari. Bagi menjaga kesihatan untuk kekal sihat Norshila Amin rajin mengamalkan senaman ringan dan menjaga pemakanannya.
“Biasalah dah tua-tua ini macam-macam penyakit yang datang. Untuk kekal sihat dan bertenaga saya kini kurang mengambil minuman yang manis dan cukup menjaga pengambilan nasi. Saya makan sedikit saja dan lebihkan lauknya,” ujar Noorshila lagi.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.