Anwar Zain tetap unggul!

Oleh Wawa Najwa

Ramai yang beranggapan Anuar Zain adalah penyanyi legenda jika dilihat pada tempoh pembabitannya dalam bidang seni suara.

Anuar atau nama penuhnya, Shahrul Anuar Zain yang bakal menyambut ulang tahun ke-54 pada 15 Februari ini mula menyertai bidang seni pada 1985.

Anak kelahiran Merlimau, Melaka yang membesar di Shah Alam, Selangor itu mula dikenali selepas beliau menghasilkan album duet bersama Ellina. Namun lagu yang mengangkat namanya ialah ‘Kain Pelikat’.

Anwar Zain di awal kemunculan dalam bidang seni bersama Elina.

Kemudian pada 1998 Anuar Zain muncul dengan album yang bertajuk ‘Anuar Zain’ yang mengandungi lagu-lagu popular seperti ‘Bila Resah’, ‘Jangan Bersedih Lagi’, ‘Kita’ dan ‘Musim Berlalu’.

Lagu-lagu dendangannya itu hingga kini terus diminati walaupun banyak lagu penyanyi lain yang diterbitkan. Justeru itu, Anuar amat menghargai komposer dan penulis lirik yang menghasilkan lagu-lagu untuknya.

“Orang di belakang tabir seperti komposer dan penulis lirik sangat penting kerana kalau tiada mereka, saya pun tak ada lagu yang bersesuaian untuk dinyanyikan dan menghibur orang ramai. Jika tak ada lagu yang bersesuaian orang tak boleh enjoy.

“Bila orang boleh enjoy dengan lagu dendangan kita, secara tak langsung mereka dapat serba sedikit mesej daripada lagu itu. Bagi saya komposer dan penulis lirik sangat penting. Mereka adalah orang yang bertanggungjawab meledak nama artis.

Anuar Zain ada aura tersendiri apabila berada di pentas

“Salah satu sebab kalau artis itu naik adalah kerana lagunya bagus dan kalau salah pilih lagu pun merbahaya. Saya sangat setuju kalau lagu dan lirik yang bagus atau dihasilkan secara ikhlas selalunya akan bertahan lama.

“Bila lagu itu evergreen bagus untuk perjalanan karier seseorang penyanyi itu. Jika mereka mempunyai lagu evergreen itu rezeki bagi mereka,” katanya yang turut popular menerusi lagu ‘Keabadian Cinta’, ‘Sesucinya Cintamu’, ‘Lelaki Ini’ dan ‘Sedetik Lebih’.

Dek popularitinya itulah, setiap kali beliau mengadakan konsert sambutan yang diberikan oleh peminat amat menggalakkan.

Terdekat, beliau akan menjayakan Anuar Zain Exclusive Up Close & Personal anjuran JioBuddy dan Anuar Zain Network pada 17 Februari ini, jam 3 petang, di JioSpace, Petaling Jaya.

Persembahan istimewa Anuar Zain untuk peminatnya pada 17 Februari ini.

Jelas Anuar, penganjuran program tersebut diadakan untuk peminat yang tidak boleh move on atau kepada mereka yang tak sempat menonton Anuar Zain 40th Anniversary Concert atau AZ40 di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 Oktober 2023.

“Konsert (Up Close & Personal) ini bakal terlaksana selepas kita dapat banyak repost, DM (direct message) dan mesej kata tak boleh move on lepas nonton konsert kat stadium tu.

“Saya sangat bersyukur dan terima kasih kepada penonton yang datang menonton konsert saya pada 28 Oktober 2023. Ramai tak boleh move on dan keep tanya, ada lagi tak?

“Kapasiti penonton untuk konsert ini terhad kepada 1,000 orang sahaja dan dalam tempoh lebih kurang dua jam itu, saya akan nyanyi kira-kira 10 atau 11 buah lagu,” katanya.

Jelas Anuar, setiap kali mengadakan konsert, beliau akan pastikan dirinya mendapat rehat yang cukup bagi memastikan suaranya tidak bermasalah.

‘Lelaki Ini’ antara lagu Anuar Zain yang digemari oleh peminat.

“Sebagai persiapan untuk memastikan vokal saya okey bila tiba hari persembahan, saya pastikan rehat cukup dan kalau boleh elak makan makanan manis. Saya juga tidak mengambil minuman berais. Selalunya saya ambil air panas atau suam saja,” kongsi Anuar tentang penjagaan vokalnya.

Malu digelar penyanyi legenda

Untuk orang ramai menggelar seseorang artis itu sebagai penyanyi legenda adalah satu penghormatan. Gelaran itu diberi berdasarkan tempoh penglibatannya dalam bidang seni, selain kejayaan yang diraih.

Lagu-lagu nyanyian Anuar banyak yang malar segar.

Bagi anak kedua daripada lima beradik itu, panggilan atau gelaran penyanyi legenda bukanlah untuk dirinya. Kata Anuar, beliau tidak selesa jika diperkenalkan sebagai penyanyi legenda.

“Sesungguhnya, saya tak selesa digelar penyanyi legenda walaupun sudah menyanyi beberapa dekad. Selama ini saya tak pernah fikir tentang itu. Bagi saya perkataan legenda itu terlalu besar dan rasa tak sesuai dengan saya.

Anuar lebih senang menganggap dirinya sebagai penyanyi yang bekerja mencari rezeki.

“Saya adalah penyanyi biasa yang mencari rezeki, bila orang cakap legenda tu rasa ‘geli’ dan meremang. I’m not a legend. Saya hanyalah seorang penyanyi untuk menghiburkan audiens dan seramai manusia selagi boleh.

“Perkataan legenda itu bagi saya terlalu berat dan susah nak bawa. Saya tak layak digelarkan sebagai legend, memang saya rasa diri ini benar-benar tak layak. Saya hanya menyanyi untuk bekerja.

“Kalau panggil Lelaki Pujaan Malaya pun tak layak untuk saya. Panggil saja saya Anuar, abang Anuar, uncle Anuar itupun sudah memadai. Saya lebih selesa begitu. Saya rasa malu kalau ada hos baca pelbagai anugerah yang kita raih tu sebelum panggil kita keluar buat persembahan,” luah Anuar.

Anuar amat disenangi oleh pelbagai lapisan peminat.

Meskipun beliau berada di kedudukan tersendiri sebagai penyanyi popular tanah air, Anuar tidak menolak jika ada penyanyi baharu yang mahu berduet dengannya.

“Setakat ini belum ada penyanyi baharu yang bersuara untuk berduet dengan saya. Tapi kalau ada yang bersesuaian dari segi lagu, masa yang sesuai, insya-Allah akan saya fikirkan.

“Saya sangat terbuka dan dengan Ernie Zakri buat masa ni hanya berborak-borak saja. Belum ada kata putus, siapa tahu di masa akan datang, kami mungkin berkolaborasi,” katanya.

Previous articleSelamat Tahun Baru Cina
Next articleTok Alang (Datuk Abdul Rahim Rahmat)…Kebanggaan Keluarga!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here