Herusutimbul, CC BY-SA 4.0 , via Wikimedia Commons

Oleh: Nafsiah Jani

Sejak dulu lagi buah limau purut digunakan secara turun- temurun untuk tujuan perubatan dan kecantikan. Buah limau purut dan daunnya juga mempunyai pelbagai khasiat dan digunakan dalam perubatan, masakan serta bahan kecantikan.

Limau purut juga bagus untuk merawat kelemumur dan kulit wajah seseorang. Buah ini juga popular bagi perubatan tradisional untuk membersihkan tubuh dan menaikkan seri wajah.

Sebenarnya limau purut juga mempunyai banyak khasiat dan kebaikan lain yang terkandung didalamnya. Mari kita lihat khasiat-khasiatnya:-

1.Limau purut boleh dijadikan skrub wajah dan tubuh kerana ia bertindak sebagai skrub semula jadi. Ia dapat membantu menyingkirkan lebihan daki dan sel kulit mati di kulit wajah dan badan. Jika rajin diamalkan ia membantu kulit tampil cerah dan licin.

2.Limau purut juga mengandungi sumber vitamin C yang sangat tinggi serta nutrien yang dapat menguatkan sistem imunisasi tubuh seseorang untuk berfungsi dengan baik. Kandungan zat vitamin dan nutrien seperti vitamin B, kalium, fosforus, magnesium dan juga kandungan antioksidan didalamnya mampu membuang sisa-sisa toksid di dalam badan. Limau purut mampu bertindak sebagai anti bakteria dan ejen pembersihan untuk menguruskan tubuh badan dengan mudah.

3. Selalunya mereka yang mempunyai liang pori besar di wajah menghadapi masalah kulit berminyak. Untuk mengecilkan liang pori, ambil buah limau purut dan sapukan ke kulit wajah kerana ia membantu mengecilkan semula liang-liang pori dan dapat memelihara kelembapan, menegangkan, mencerahkan kulit serta menghalang timbulnya jerawat. Lakukan sebanyak empat kali seminggu dan hasilnya cukup menakjubkan.

Yosri at ms.wikipedia, GFDL <http://www.gnu.org/copyleft/fdl.html>, via Wikimedia Commons

4.Ekstrak daun limau purut juga mempunyai sifat anti-pertumbuhan kuman. Ia juga boleh menghalang pembesaran sel kanser, mengurangkan tanda-tanda alahan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan menaikkan nafsu makan.

5.Bukan itu saja, daun limau purut juga dikatakan boleh menyihatkan gusi dan gigi. Caranya mudah saja, hancurkan daun limau ini dengan meramasnya dan kemudian sapu pada gusi dan gigi. Biarkan seketika sebelum mencucinya. Insya-Allah kesannya cukup menakjubkan.

6. Mereka yang menghadapi masalah rambut berkelemumur, gosok buah limau purut ini hingga ke seluruh kulit kepala. Urut perlahan-lahan agar air limau purut itu sekata. Selepas 30 minit bolehlah dicuci dan hasilnya rambut berbau wangi dan lembut. Ia juga dapat menghilangkan kelemumur dan mengatasi masalah kegatalan kulit kepala akibat kelemumur yang banyak.

7. Vitamin C yang terdapat dalam buah limau purut ini juga dapat merangsang pengeluaran kolagen yang terdapat dalam kulit dan rambut. Rangsangan ini dapat menyihatkan rambut yang kelihatan tidak bermaya agar kembali sihat dan bersinar.

8. Selain amalkan jus perahan limau purut sebagai minuman, gunakan air limau purut sebagai mandian dengan menggosok buah tersebut keseluruh anggota badan. Kesannya dapat menstabilkan tekanan tubuh badan, membuatkan tubuh berasa lebih segar dan kulit yang cantik.

9.Limau purut juga dapat membantu merangsang pengaliran darah di dalam badan. Jika diamati mereka yang sering mengamalkan masakan yang dicampur bersama limau purut ini, biasanya jarang menghidap penyakit darah tinggi.

10. Limau purut juga merupakan salah satu bahan terbaik dalam menghalang pembentukan asid yang berlebihan serta mengawal pertumbuhan lemak di dalam badan. Masukkan perahan air limau purut ini ke dalam makanan seperti ikan masak stim limau ataupun tomyam.

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa limau purut mempunyai banyak khasiat dan manfaat kepada tubuh badan manusia. Jika anda nak kurus dan cantik, rajin-rajinlah gunakan jus atau buahnya didalam masakan. Selamat mencuba dan moga berjaya.

 

Previous articlePentingnya ujian pap smear (Bahagian 2)
Next articleBangsawan Geliga Panca Sakti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here