Pengerusi PEMEKAR, Amran Nasrudin (tengah) diapit Jay Jay (kiri) dan Mubarak Majid.

Oleh Nafsiah Jani

Meriah sungguh majlis Santai Rentak Retro sempena sambutan Tahun Baru 2024 anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis & Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) bersama Hotel Grand Barakah (GBH) yang berlangsung di Ampang baru-baru ini.

Selain berhibur, majlis dianjurkan bagi menyampaikan anugerah sijil penghargaan kepada artis-artis 70-an 80-an dan 90-an sebagai tanda penghargaan atas jasa-jasa mereka dalam industri hiburan dan perfileman tanah air.

Majlis bersejarah ini turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS, Ahmad Syazli Muhd Khiar dan Pengerusi GBH, Datin Sri Zura Karim serta Pengerusi PEMEKAR, Mohd Amran Nasrudin.

Penerima anugerah bagi kategori artis 80-an.

Pengerusi PEMEKAR, Mohd Amran Nasrudin berkata,“Majlis ini kami adakan bagi menghargai dan memartabatkan orang-orang seni dengan penyampaian sijil penghargaan dan watikah kepada artis veteran yang berumur 70-an, 80-an dan 90-an.

“Ini adalah kali kedua kami anjurkan majlis sebegini. Dulu kami buat dalam kelompok kecil dan tahun ini kami ramaikan lagi penerima anugerah dan watikah. Pengiktirafan ini diberikan atas pengorbanan mereka dalam bidang seni dan martabatkan seni hingga jadi ikon kepada negara.

Penerima Anugerah Beringin Emas bergambar kenangan.

“Tahun lepas kami sempat buat 10 event dan tahun ini banyak lagi program yang kami rancang. Kami akan adakan pementasan teater Madu Tiga Madu yang akan bergerak ke beberapa buah negeri termasuk Kuching, Sarawak. Kami juga akan anjurkan konsert amal bagi membantu artis-artis yang sakit dan susah serta lain-lain lagi,” katanya yang merancang untuk menganjurkan majlis sebegini pada setiap tahun.

Pada malam tersebut tiga artis terpilih untuk menerima Anugerah Watikah Pencapaian berdasarkan pencapaian luarbiasa mereka. Datuk Ahmad Tamimi Siregar dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023. Mubarak Majid pula Pelakon Lelaki Terbaik Filem pendek “Coofie & Sexy Dress” Festival Filem Antarabangsa Motion Horse (MHIFF) 2022 dan penyanyi Roslan Madun di atas pencapaian tiktok tertinggi lagu rakyat menerusi lagu “Lemak Manis”.

Gaya seorang pahlawan…Datuk Rahim Razali beraksi silat selepas menerima anugerah dari Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS, Ahmad Syazli Muhd Khiar (kiri) sambil diperhatikan Pengerusi PEMEKAR, Amran Nasrudin sambil ketawa.

Manakala penyampaian watikah pengiktirafan Anugerah Beringin Emas pula diberikan kepada artis veteran yang kini berumur 90 tahun. Penerimanya ialah pelakon Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya.

Bagi pengiktirafan Anugerah Beringin Emas kepada artis veteran berdasarkan pencapaian kerja seni mereka dan masih aktif berumur 80-an diantara penerimanya adalah Datuk Rahim Razali, 84 (pengarah/penerbit / pelakon) Datuk Johari Salleh (84- komposer / mestro muzik), Othman Hafsham (84 -penerbit/pengarah/pelakon/penulis skrip), A. Galak (82- pelakon/pengarah) dan Margaret Gan @ Aisyah (80- pelakon).

Bagi menghargai artis veteran berumur 70 -an pula, Anugerah Beringin Emas diberikan kepada Asiah Tuah, Datuk Jefrydin, Datuk Hail Amir, Datuk S.Atan, Razali Buyong, Mak Jah, Norlia Ghani, Khatijah Abu Hassan, Sophia Ibrahim, Raftah Bachik, S.Mariam, A.R.Badul, Adnan Othman, Datuk Ahmad Tamimi Serigar, Kismah Johar, Abas Bakar, Sulaiman Yasin@Mat Over, Roslan Madun, Helen Velu dan Datuk Fauziah Nawi.

Selain penyampaian anugerah, majlis yang diacarakan Khaty Azean dan Chef Yang Jamil ini turut menjemput artis untuk membuat persembahan. Antara artis yang membuat persembahan adalah Datuk Hail Amir, Jay Jay, Hairie Kool, Zack Kool, Ayati Tasrip, Dilla Hussein, Keena Mentor dan lain-lain lagi.

Previous articleTawaran 50% khas buat peminat dangdut, tiket ‘Konsert Milenia 2024’ bersama Amelina, Mas Idayu, Thomas Arya, Baby Shima dan ramai lagi!
Next articleTerima banyak tajaan, Karnival Semarak Semenyih 2024 tonjol kelainan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here