Filem Abang Adik yang masih hangat di pawagam.

Oleh Syed Wafa

Berjaya melakar sejarah sebagai filem Malaysia pertama yang memecahkan rekod tayangan di Taiwan dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM13.5 juta (NT$90mil), Abang Adik belum mahu berhenti menoreh kecemerlangan.

Sutradara, Jin Ong bersama seluruh produksi filem terbitan More Entertainment Sdn Bhd bersama New Century Southward Development Co Ltd dan edaran mm2 Entertainment ini terus cemerlang apabila mencipta sebuah lagi sejarah baharu bersama Abang Adik.

Abang Adik telah menjadi naskhah tempatan yang berada di kedudukan pertama sepanjang tempoh tiga minggu tayangan. Tidak hanya itu, dalam tempoh 16 hari tayangan, Abang Adik berjaya mengutip RM4 juta yang menjadi rekod sebagai filem tempatan paling banyak ditonton.

Pengarah Jin Ong teliti dalam mengarah filem hebat Abang Adik.

Mengangkat kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren, Abang Adik tidak memerlukan lebih daripada keaslian dan keunikan naratifnya untuk dijulang dalam pelbagai festival filem dan anugerah di seluruh dunia.

Abang Adik juga telah mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton apabila menyifatkan naskhah ini sebagai paling asli, mengangkat realiti perih hidup dengan baik, tidak klise malah tidak sedikit yang mengaku gagal menahan emosi termasuk mengalirkan air mata sepanjang menonton filem ini. Dan respons-respons positif yang diciapkan dalam platform media sosial bukan hanya ‘tin kosong’. Sebagai bukti, Abang Adik menuai kejayaan dan kutipan tiket luar biasa sepanjang ditayangkan.

“Kami sangat berbesar hati untuk berkongsi keterujaan dengan kutipan sebanyak RM13.5 juta yang diperoleh Abang Adik di Taiwan sekaligus menjadi filem pertama Malaysia yang memegang rekod tersebut.

“Lebih membahagiakan kerana kejayaan dan sejarah yang dicipta di Taiwan telah berjaya dikekalkan sehingga ke Malaysia.

“Pencapaian yang diperoleh di Malaysia menjadi pembuka tahun 2024 yang sangat manis buat kami.

“Kejayaan Abang Adik tidak akan berhasil tanpa kerja keras, toleransi, bakat-bakat besar yang bergabung dalam filem ini dan tentu sekali dengan sokongan luar biasa penonton yang hadir ke pawagam dan menonton naskhah ini.

Filem Abang Adik menang besar di Far East Film Festival ke 25 di Udine,Itali.

“Kami juga sangat berterima kasih dan terharu dengan respons serta komen-komen positif dan publisiti percuma menerusi reviu serta perkongsian dan gesaan kepada semua yang belum pernah menonton Abang Adik untuk datang ke pawagam dan menonton.

“Dengan sokongan peminat yang menghargai karya kami, Abang Adik dapat memperoleh kutipan pecah panggung untuk menutup tahun 2023 dan membuka kedatangan 2024.

Pelakon utama filem Abang Adik, Wu Kang Ren (Kanan) dan Jack Tan (Kiri).

“Terima kasih yang sebesarnya buat semua. Dan jangan berhenti mewarwarkan Abang Adik yang masih ditayangkan di beberapa pawagam kepada yang belum menonton.

“Dengan perolehan yang cukup memberangsangkan ini juga kami berharap agar penonton terus menyokong pembikinan filem Malaysia yang lain. Semoga filem Malaysia terus bersemarak dan membuka mata dunia tentang kehebatan karyawan seni tempatan,” ujar Jin
Ong.

Sepanjang ditayangkan di festival-festival di luar negara, Abang Adik juga telah menerima pengiktirafan dunia apabila mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April
2023.

Jin Ong tidak lepaskan peluang bergambar bersama pihak media yang banyak membantu dalam promosi filem Abang Adik

Naskhah ini malah berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dra Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik. Kang Ren juga dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Abang Adik mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia, selain menjadi filem tempatan yang menggambarkan kehidupan di sebuah sudut tersembunyi di Kuala Lumpur.

Abang Adik terus mencapai kutipan tiket tinggi.

Filem berkenaan berkisar kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren. Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Latar filem di kawasan Kuala Lumpur yang kurang dikenali menambahkan keaslian dan keunikan naratifnya, menjadikannya satu naskhah penting dalam industri perfileman Malaysia.

Previous articleTeruslah Berdoa !
Next articleDua legenda, Amir dan Zamani tak sabar berentap di “CONCERT UK’SLAM MUSICAL”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here