SOPHIA Ibrahim…seniwati jelita yang ‘lahir’ di Merdeka Film Production.

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA

APABILA bercakap tentang Sophia Ibrahim, bagi para peminat filem Melayu pada tahun 1970 pasti ingat betapa ‘daringnya’ seniwati yang seorang ini.

Sebabnya satu babak lakonan beliau dalam filem “Dr. Rushdi” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menggambarkan ‘Mariana’ (Sophia Ibrahim) baru lepas berasmara dengan hanya memakai baju dalam dan seluar dalam sahaja.

SOPHIA Ibrahim dan P. Ramlee dalam satu babak filem “Dr. Rushdi.”

“Tetapi apabila filem itu ditayangkan, babak itu tidak dipotong kerana dari segi lojik mana mungkin selepas berasmara terus ada baju. Saya hanya melakonkan mengikut jalan cerita. Abang Ramlee mahu tunjuk ‘Mariana’ terkejut kerana tiba-tiba ada lelaki lain mahu menembaknya.

“Pada zaman itu, tak usah cakaplah betapa seksinya Sophia Ibrahim. Tetapi saya tidak dikecam kerana babak itu menunjukkan realitinya,” cerita Sophia Ibrahim pengalaman yang tidak mungkin dilupakan ketika saya temui baru-baru ini.

POSTER filem “Dr. Rushdi” filem arahan P. Ramlee menampilkan seniwati hebat antaranya Sarimah Ahmad, Noor Azizah dan Sophia Ibrahim.

Itulah Sophia Ibrahim atau nama sebenarnya, Safiah Ibrahim, 75, yang dilahirkan pada 20 Januari 1949 di Singapura. Beliau adalah anak sulung daripada 10 beradik dan anak kepada pasangan suami isteri, Ibrahim Abu Hassan dan Siti Mariam Syed Abdul Rahman. Selain Sophia, dua lagi adiknya turut menceburi bidang seni iaitu Datuk Khadijah Ibrahim dan Allahyarham Latiff Ibrahim (meninggal dunia pada 20 Februari 2012).

Menurut Sophia Ibrahim, walaupun adegan panas itu boleh ditonton di pawagam tetapi beliau tidak dikecam kerana filem itu diadaptasi daripada kisah benar.

Selain beliau, “Dr. Rushdi” filem ala-ala Alfred Hitchcock itu dibintangi P. Ramlee (Dr. Rushdi), Datuk Dr. Sarimah Ahmad (Muliani), Ed Osmera (Peguam Alimin), Ismail Mahmud (Ruzaiman, Firdaus), Ali Rahman (Osman Siraj) dan Datin Noor Azizah (Karmila, isteri Alimin).

SOPHIA Ibrahim bersama Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham Seniwati Fazlyaton.
SOPHIA Ibrahim bersama Allahyarham Seniman Ed Osmera yang pernah berlakon bersamanya dalam filem “Dr. Rushdi.”

Sophia Ibrahim memberitahu, pada zaman kegemilangannya, beliau pernah mendapat jolokan ‘pinggang kerengga’ kerana memiliki bentuk badan yang cantik, seksi dan menawan.

“Pada filem era 1970-an para peminat tidak kisah walaupun kita berlakon berkemban tetapi jangan filem atau drama hari ini pasti akan timbul kontroversi.

“Apapun saya tidak menyesal melakonkan babak itu kerana filem itu adalah antara karya yang bagus. Pelakon dahulu tidak diberi dialog atau skrip, semuanya secara spontan.

LAKONAN Sophia Ibrahim sebagai Melati dalam filem “Dajal Suchi” yang sanggup meninggalkan anaknya, Sulaiman yang cacat, demi mengejar kemewahan menyerlahkan bakat lakonan beliau.

“Pengalaman berlakon dengan P. Ramlee antara yang terbaik kerana dialognya spontan dan filem-filemnya memaparkan realiti kehidupan,” cerita Sophia Ibrahim, cucu kepada pelakon bangsawan Allahyarham Aman Belon yang mempunyai grup bangsawan pada sekitar tahun 1950-an.

Menyingkap diari kehidupan Sophia Ibrahim sebagai pelakon, ianya bermula secara kebetulan apabila beliau sering mengikut bapa saudaranya, Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan menjalani penggambaran di Merdeka Film Productions, Hulu Kelang. Ia menjadi titik tolak rezekinya dalam bidang lakonan apabila seorang krew produksi bertanya kepada Pak Utehnya (panggilan untuk Hussein Abu Hassan) dan menawarkan beliau berlakon.

SOPHIA Ibrahim bersama Allahyarham Seniman Datuk Sony Abdullah.

“Waktu itu saya masih sekolah dalam tingkatan lima di Kampung Baru. Apabila saya beritahu ayah dan emak, mereka mengizinkan saya berlakon.

“Gaji permulaan hanya RM400. Bagi saya, jumlah itu cukup besar dan dapatlah saya membantu keluarga kerana kami orang susah,” cerita Sophia Ibrahim.

Filem pertama lakonan beliau adalah “Jambatan Maut” (1963) arahan M. Yatim dari Indonesia. Dalam filem itu beliau membawa watak sebagai Hamidah yang tinggal bersama ibunya yang buta.

SENIWATI Sophia Ibrahim bukan sahaja memiliki seraut wajah yang cantik jelita malah berbakat sebagai pelakon.

Sepanjang menceburi bidang lakonan, Sophia Ibrahim telah membintangi 13 filem dengan empat tahun pertama di Merdeka Film Production, Sophia telah membintangi enam filem iaitu “Ragam P. Ramlee” dan “Jauh Di Mata” (1964), “Dajal Suchi” dan “Bumiputra” (1965), “Gadis Langkawi (1966) dan yang terakhir pada tahun 1970 “Dr. Rushdi.”

Sementara itu, pada tahun 1997 sehingga 2023, beliau berlakon tujuh filem antaranya “Puteri Impian,” (1997) pada 1998 “Puteri Impian 2” dan “Iman Alone,” “Cinta 200 Ela”(2002) dan “Pontianak Harum Sundal Malam”(2004) dan filem “Budak Kripto”(2021) dengan filem terbaharu “Imam”(2023).

KECANTIKAN semulajadi milik Sophia Ibrahim membuatkan beliau sering menjadi pilihan menghiasi majalah hiburan.

“Imam” sebuah filem berunsur keagamaan adalah adaptasi novel karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.

Dalam filem arahan Mior Hashim Manap, Sophia Ibrahim memegang watak sebagai Hajjah Shamsiah, ibu kepada Haji Syamsuri lakonan Faizal Hussein. Filem ini telah ditayangkan pada 2 Mac 2023.

MESKIPUN peluangnya terbuka luas dalam bidang lakonan namun Sophia Ibrahim tetap meminati bidang nyanyian.

Walaupun bermula sebagai Seniwati yang membintangi filem-filem hebat, namun bagi Sophia Ibrahim ia tidak boleh memadamkan minat dan kecintaannya pada bidang nyanyian.

Menurut Sophia, minatnya pada bidang senisuara mula bercambah sejak zaman sekolah apabila kepercayaan yang diberikan guru-guru sehingga beliau kerap diberi peluang membuat persembahan yang diadakan di sekolah.

BUKAN sahaja memiliki wajah yang menawan tetapi senyuman Sophia Ibrahim menjadi salah satu tarikan beliau dipuja ramai.

“Setelah menyertai MFP, saya mula berkenalan dengan P. Ramlee. Allahyarham adalah orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia seni suara.

“Tanpa pertolongan beliau saya tidak akan menjadi penyanyi kerana ayah (arwah) tidak suka saya menyanyi di kelab malam kerana anggapan arwah di situ tempat orang berjudi dan minum arak.

“Tetapi P. Ramlee memberanikan diri berjumpa ayah dan menasihatkan ayah agar tidak menghalang minat saya. Selepas itu, barulah ayah izinkan saya menyanyi,” kata Sophia Ibrahim.

SOPHIA Ibrahim dengan senyumannya yang menggoda!

Menurut Sophia, sejak itu bermulalah kerjaya seninya sebagai penyanyi di kelab malam di serata negeri antaranya Pulau Pinang, Kuantan dan Kuala Lumpur.

“Paling lama saya menyanyi di hotel dan saya pernah mendapat gaji 400. Bukan itu sahaja, malah saya pernah dibayar hanya 75 sahaja untuk satu show di Taiping.

“Disebabkan tawaran menyanyi di kelab malam tidak pernah putus, saya tidak sempat merakamkan album. Tetapi saya tidak pernah menyesal.

SOPHIA Ibrahim bukan sahaja hebat di depan kamera tetapi beliau berbakat sebagai seorang penyanyi!

“Saya tidak pernah mengimpikan menjadi penyanyi. Sebenarnya cita-cita saya mahu menjadi setiausaha dan kawan-kawan sekolah pula menjangkakan saya akan bergelar ustazah sebab saya pernah mengikuti kelas bahasa Arab,” cerita Sophia Ibrahim yang telah menyanyi lebih enam dekad.

Sophia Ibrahim yang masih sihat bukan sahaja masih ditawarkan berlakon malah beliau juga masih menerima undangan menyanyi.

SOPHIA Ibrahim terkenal sejak filem Melayu era 1960-an sehingga hari ini.

Tetapi katanya, memandangkan usianya sudah mencecah 75 tahun, beliau begitu ‘memilih’ dalam menerima tawaran berlakon.

“Jika bayarannya berbaloi saya terima. Tetapi jika diberi pilihan antara berlakon dan menyanyi, saya lebih suka menyanyi kerana kita tidak menunggu lama di lokasi. Saya tidak boleh bertolak ansur jika ada pelakon yang tidak menghormati orang dan waktu.

“Setakat ini, kebanyakan artis muda yang saya temui pandai menghormati artis yang berusia tetapi jika ada yang tidak pandai menghormati orang, saya akan tegur.

TIGA beradik berbakat besar…Allahyarham Latiff Ibrahim, Sophia dan Khadijah Ibrahim.

“Bukan itu sahaja, malah saya tidak akan bertolak ansur dengan artis yang tidak berdisplin dan tidak tahu menghormati waktu.

“Saya tidak boleh terima jika ‘call time’ pukul 9 pagi pada waktu itulah mereka sampai dan baru nak bersolek. Kalau itu terjadi di depan saya mesti saya menegur kerana sikap begitu akan menyusahkan orang lain,” luah Sophia Ibrahim, ibu kepada empat orang anak, 11 cucu dan beberapa orang cicit.

Sophia Ibrahim, ibu kepada penyanyi Hairi Kool ini memberitahu pelakon yang tidak tahu menghormati waktu tidak layak menjadi artis.

SOPHIA Ibrahim menerima anugerah sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia seni pada satu majlis yang diadakan pada tahun 2016.

Walaupun telah lebih enam dekad melayari hidup sebagai orang seni, Sophia Ibrahim tidak akan melupakan jasa P. Ramlee yang banyak membantunya dalam bidang lakonan dan nyanyian.

“Sampai hari ini kenangan saya bersama P. Ramlee tidak mudah terpadam. Saya bukan sahaja mengagumi filem-filem arahannya malah peribadi beliau dan isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma, amat saya hormati.

“Saya masih ingat Kak Saloma pernah hubungi saya dan berpesan agar selepas penggambaran saya balik dengan Abang Ramlee untuk makan bersama di rumah mereka.

WALAUPUN usianya sudah mencecah 75 tahun namun Sophia Ibrahim tetap cantik.

“Saya rasa bertuah menerima undangan itu. Walaupun saya tidak tahu bagaimana kami boleh rapat tetapi mungkin mereka berdua sayang saya.

“Seingat saya, saya sentiasa menghormati mereka, tidak pernah bersifat kurang sopan apalagi berselisih faham,” cerita Sophia Ibrahim.

Apabila ditanya mengenai rancangannya dalam bidang lakonan dan nyanyian, Sophia Ibrahim memberitahu;

“Insya-Allah…pada usia begini dan selagi saya dianugerahkan kesihatan yang baik saya akan menerima undangan berlakon dengan bayaran yang berbaloi dengan usia dan pengalaman saya. Begitu juga undangan menyanyi.” kata beliau bangga.

SYED Wafa (penulis) mengabadikan kenangan bersama Sophia Ibrahim.
Previous articlePes Sambal Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Sambal Telur !
Next articleFilem seram Death Whisperer

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here