Oleh : Nafsiah Jani

Bagi peminat filem seram jangan lepaskan peluang menonton filem Thailand, Death Whisperer yang kini sudah ditayangkan di pawagam sejak 4 Januari lalu. Filem seram ini merupakan filem box office di Thailand dengan mencatatkan kutipan sebanyak THB475 juta.

Filem berdasarkan urban legend sebenar ini ditayangkan menggunakan teknologi terkini dalam IMAX dengan Laser (gabungan imej tayang 4K Laser sejernih kristal dengan sistem bunyi termaju IMAX). Teknologi ini juga memberi rasa seram yang sebenar-benarnya seperti anda juga turut berada di dalam filem tersebut.

Death Whisperer dibintangi oleh Nadech Kugimiya, Mim Rattanawadee Wongthong, Denis Jelilcha Kapaun, Junior Kajbhunditt Jaidee, Friend Peerakrit Phacharaboonyakiat, Nina Nutthatcha Padovan, Fresh Arisara Wongchalee dan Ply Pramer Noiam.

Filem arahan Kui Taweewat Wantha ini mengisahkan tentang roh syaitan yang telah mengacau sebuah keluarga dengan merasuk anak perempuannya hingga menyebabkan kematian misteri selepas mendengar nyanyian “Tee Yod”.

Peristiwa tragis ini telah memaksa adik-beradiknya mengambil langkah untuk menghentikan kehadiran roh jahat tersebut yang turut menghantui kampung mereka. Setelah diam seketika, roh jahat kembali semula merasuk gadis bernama Yam. Bagi membantu adiknya, abangnya Yak meminta bantuan daripada ahli sihir untuk melakukan ritual bagi menghalau syaitan.

Namun ahli sihir juga tidak mampu membantu melawan kuasa jahat tersebut dan terpaksalah Yak membawa adiknya Yam ke hospital berdekatan. Di hospital, syaitan itu merasuki Yam sekali lagi dalam bentuk kucing hitam hingga menyebabkan Yam mati secara ngeri.

Walaupun Yam telah mati, roh jahat itu masih berkeliaran, mengganggu serta menghantui keluarga Yak dan orang-orang kampung tersebut. Bagi membalas dendam atas kematian adiknya, Yak berikrar untuk membalas dendam terhadap kuasa jahat purba yang melanda kampung itu.

Berjayakah Yak dalam misinya menghapuskan roh syaitan dan kuasa jahat tersebut?. Untuk mengetahui kesudahannya segeralah ke panggung berdekatan rumah anda.

Previous articleP. Ramlee pujuk ayah Sophia Ibrahim jadi anak seni!
Next articleUngu di Pesta Muzik Kuantan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here