Oleh Nafsiah Jani
Bagi peminat teater bergenre monodrama, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan teater Rangkum pada 5 hingga 7 Januari ini di Bleenk Box Studio, Petaling Jaya.
Pementasan teater ini adalah anjuran bersama Kumpulan Teater Aspirasi dan juga Geliga Merah Opera. Ini merupakan julung kalinya usahasama ini di adakan demi memastikan pementasan teater di Kuala Lumpur akan terus bergiat aktif.
Pelakon hebat Raja Azrey yang telah banyak mengarahkan drama pendek, telemovie dan teater kini sekali lagi dipilih untuk mengarahkan teater bertajuk Rangkum. Pemilihannya juga kerana pengalaman dan kepakarannya dalam teater berkonsep Monodrama.
“Idea nak pentaskan teater ini bermula sejak Oktober lalu dan kami telah mulakan latihan sejak bulan November lalu. Kali ini saya satukan empat buah cerita didalam sebuah pementasan dengan menampilkan gabungan muka lama dan baru. Antaranya Anwar Pisang, Sukysan dan pendatang baru Lina Illina dan Riez Radzi.
“Kami pilih tajuk Rangkum kerana ia mewakili keseluruhan kisah persembahan naskhah dalam teater ini. Yang mana naskhah yang ditampilkan adalah tentang rangkuman kehidupan manusia masa kini. Empat naskhah yang akan di tampilkan adalah Raja Bawang (lakonan Sukysan), Benang Arang (Riez Radzi), Hutang (Lina Illina)dan Racun tembakau (Anwar Pisang),” kata Raja Azrey lagi.
Raja Bawang mengisahkan Rashidi atau Didi yang suka mengulas segala yang viral melalui media sosial. Sikap membawang Didi diwarisi dari maknya yang juga suka bercerita mengenai orang lain. Kelancangan Didi tidak disukai segelintir. Apakah kesudahan nasib Didi?
Manakala Benang Arang pula memaparkan kisah Mail yang berasal dari keluarga susah cuba mengubah kehidupan keluarganya. Namun ujian berat melanda apabila anaknya yang baru lahir telah disahkan mengidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan. Lebih memeritkan,dia yang bekerja sebagai buruh binaan tidak menerima gaji hampir 6 bulan. Namun kesabaran Mail tetap teguh. Apakah yang Mail akan lakukan untuk mengembalikan semula kebahagiaan keluarganya?
Hutang mengisahkan keluhan dan sindiran Cik Siti berkenaan hutang. Kalau tak dibayar akan terus menghantui hingga ke mati. Segala jenis hutang yang diulas oleh Cik Siti bakal membuatkan kita tersedar bahawa sebenarnya hutang ini bukan sekadar harta dan wang ringgit. Mengapa Cik Siti berkeluh kesah mengenai hutang?
Racun Tembakau pula tentang seorang penceramah yang diberi peluang bercakap mengenai bahaya penggunaan tembakau. Dia seorang yang ceria namun tekanan perasaan yang dihadapi membuatkan dia sesekali tersimpang dari ceramahnya. Apakah konflik dalaman yang dialami si penceramah?
Jadi jangan lepaskan peluang kerana persembahan teater monodrama di Bleenkbox Studio, Petaling Jaya ini hanya boleh memuatkan penonton 50 orang untuk sekali persembahan.
“Saya suka lokasi begini kerana pelakon berada dekat dengan penonton. Dari situ akan timbullnya keseronokan ketika beraksi. Selain mengarah, saya juga akan menjadi perantara persembahan sebagai selingan di setiap naskhah.” tambah Raja Azrey yang tidak sabar menanti komen penonton mengenai teater arahannya ini.
Mereka yang berminat untuk menonton bolehlah membeli tiket berharga RM25, WhatsApp secara terus ke talian +60198080286. Persembahan pada 5 Januari (8.45 malam), 6 Januari (3.30 petang dan 8.45 malam) dan 7 Januari (3.30 petang dan 8.45 malam).
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.