Oleh Nafsiah Jani
Pengarah, pelakon, pelawak dan penulis skrip AR Badul tidak perlulah nak diperkenalkan lagi. Siapa yang tidak mengenalinya seorang pengarah filem komedi yang cukup berbakat. Setiap filem komedi arahan dan lakonannya begitu mengusik hati membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak sehingga mengalirkan air mata.
Penglibatannya selama 4 dekad mengabadikan diri dalam bidang seni namun tidak ada pihak yang mengiktiraf bakat seninya yang melayakkan AR Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 74, untuk mendapat gelaran Datuk atau Tan Sri seperti mana-artis-artis yang lain.
“Pada saya dapat pengiktirafan Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman dalam Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30),Itu lebih tinggi nilainya daripada gelaran datuk atau lain-lain gelaran. Anugerah tersebut bukan senang nak dapat.
“Cuba bariskan artis-artis popular dan tanyalah pencapaian mereka sepanjang bergelar insan seni…mungkin tak ada. Cuba fikir berapa ramai barisan artis dan pelakon dan orang seni yang terlibat dalam bidang seni ini sepanjang hayat di Malaysia saja. Tapi bila saya terpilih, maknanya saya masih ada dalam industri. Pada saya, anugerah yang saya dapat itu lebih tinggi daripada apa-apa gelaran termasuklah gelaran datuk.
“Nak dapat gelaran datuk, kau kena ada hubungan dengan orang tertentu, kedudukan…memang kau boleh dapat gelaran tersebut. Tapi dalam bidang seni…mereka tak pilih berdasarkan duit atau kawan-kawan…hanya kebolehan yang dinilai,” kata AR Badul dengan bangganya.
AR Badul menambah,“Saya tak pernah rasa sedih bila tak dapat apa-apa pengiktirafan kerana rasanya ramai lagi yang layak. Lagipun saya tak pernah terfikir kearah itu. Alhamdulillah, sekurang-kurang ada artis yang dapat samada gelaran Datuk dan Tan Sri.
“Saya juga bersyukur kini filem-filem lama lakonan dan arahan saya ditayangkan kembali di televisyen. Sekurang-kurangnya, ada generasi baru yang kenal AR Badul. Walaupun mereka tidak kenal saya sebagaimana ibu dan ayah mereka mengenali saya …kesinambungan itu ada.”
Sepanjang mengabadikan diri dalam dunia perfileman, AR Badul pernah menerima beberapa anugerah antaranya Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPB-1989), Anugerah Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke 8 melalui filem Oh Fatimah.
Manakala pada Ogos 2015, AR Badul juga menerima Anugerah Khas Juri bagi penglibatan lebih 37 tahun dalam bidang seni sewaktu acara Anugerah Lawak Warna 2015.
AR Badul memulakan langkah seni pada tahun 1978, menerusi filem pertamanya, Panglima Badol. Saban tahun, satu demi satu filem lakonannya sentiasa `pecah panggung’.
Sepanjang penglibatannya sebagai pelakon, anak kepada seniman Allahyarham AR Tompel ini pernah membintangi lebih 45 buah filem dan AR Badul juga lebih senang menggunakan namanya sendiri. Antara filem lakonannya ialah Pagar-Pagar Cinta, Prebet Lapok, Darah Satria, Jejaka Perasan dan Hantu Siang.
Bercerita mengenai perkembangannya terkini, menurut AR Badul, dia bukannya menyepikan diri, sebaliknya dia masih lagi sibuk di lokasi penggambaran.
“Ikut umur saya sekarang memang kena duduk belakang tabir. Biasalah dah tak boleh nak jadi hero, bapak hero bolehlah. Sekarang bukan zaman saya lagi dan suka atau tidak saya kena terima hakikat tersebut. Macam Allahyarham Tan Sri P Ramlee sewaktu datang ke Kuala Lumpur memang dah tak ada peluang untuk dia berlakon atau mengarah dan dia kenalah terima hakikat.
“Kita kena terima…memang itu sifat semula jadi manusia. Ini bukan satu bala atau `balak’…itulah hakikat dunia seni. Saya tak anggap ini sebagai satu ancaman bila munculnya pelakon baru kita dipinggirkan. Itu adalah perkara biasa.”
Ditanya mengenai filemnya yang cukup disukainya, dengan pantas AR Badul menjawab dia cukup menyukai filem Hantu Siang.
“Separuh daripada cerita itu adalah berkenaan kisah hidup saya. Dalam filem ini saya bergandingan bersama Allahyarham Noreen Noor, Allahyarham Rosnah Mohd Noor dan Rashidah Jaafar.
Seperti orang lain, kini AR Badul juga terpaksa menjaga kesihatannya. Enam bulan sekali, beliau akan ke hospital untuk rawatan susulan satu stent yang dibuat pada jantungnya. Begitu juga dengan pemeriksaan rutin untuk rawatan kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya.
AR Badul mahu Mueeza jadi pemuzik?
Walaupun dirinya adalah pelakon dan pengarah terkenal, namun AR Badul tidak sesekali mahu anak bongsunya, Mueeza, 9 tahun mengikut jejak langkahnya.
Mueeza adalah anak bongsu daripada perkahwinan keenam AR Badul bersama isteri keenamnya, Maizatul Akmar Othman. Bersama isteri baru ini pasangan ini dikurniakan dua orang lagi cahaya mata iaitu Nurhazliqa Armaya dan Argan Mohamed Armaya.
“Jika anak bongsu saya nak jadi pelakon, mungkin saya tidak galakkan. Saya lebih suka kalau anak saya jadi pemuzik…pemain piano. Sekarang saya tengah mencari-cari tempat yang sesuai untuk hantar dia belajar muzik.
“Mueeza nampaknya tidak berapa pandai dalam pelajaran dan sebagai ibu bapa, kita yang kena bagi tunjuk ajar anak-anak pilih bidang yang terbaik buat mereka. Saya pun dah cakap dengan isteri saya, tak perlu nak paksa-paksa dia belajar. Ada rezeki saya nak hantar Mueeza ikuti bidang muzik. Kalau belajar muzik ini masa depannya cerah, sekiranya dia pandai baca note muzik.
“Kalau main piano sekurang-kurang dia boleh bermain di lounge hotel ataupun kerja di stesyen televisyen. Bukan itu saja, dia juga boleh pergi lebih jauh bermain di peringkat antarabangsa berbanding jadi pelakon… setakat dalam negara saja bakat mereka,’’ kata Ar Badul mengenai anak-anaknya yang tidak ada seorang pun yang mengikut jejak langkahnya.
AR Badul yang kini menetap di Cheras menambah,”Sekarang Mueeza dalam darjah tiga, kalau saya masukkan kelas muzik selepas ini pun okay sebab pada saya lima tahun sudah cukup untuk dia mempelajari dan mendalami muzik dengan secukupnya.
“Kalau nak tahu itulah harapan saya pada anak bongsu saya ini. Tercampak kat mana- mana pun sebagai pemuzik dia tetap boleh hidup.”
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.