Oleh: Wawa Najwa
SEJAK nama Ramlah Ram dikenali sebagai juara pertandingan Bintang RTM pada 1985 hingga kini kehadirannya masih lagi relevan dalam bidang seni suara.
Kehadiran penyanyi yang berasal dari Tangkak, Johor itu masih disenangi ramai kerana keupayaannya mendendangkan lagu dalam pelbagai genre seperti pop, ghazal, zapin, joget, dangdut dan pop rock.
Sebut saja lagu ‘Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu)’ pasti kita terbayang Ramlah menyanyi lagu ciptaan Tan Sri Dr. Ahmad Nawab dan Weilid (Allahyarham Jalil Salleh/ Juwie) dengan busana gaun putih yang mempunyai lampu berbentuk hati dan menjadi salah satu ikon sejarah Anugerah Juara Lagu (AJL) itu sendiri.
Malah lagu tersebut memenangi tempat pertama dalam AJL ke-3 pada 1988 dan Ramlah juga pemenang anugerah kategori ‘Persembahan Terbaik’ gara-gara baju berlampu itu.
Pasti para peminat Ramlah rindu nak mendengar dan melihat beliau menyanyi secara langsung. Jangan lepaskan peluang untuk hadir ke Esplanade Concert Hall, Esplanade Singapura untuk menonton konsert ‘S.A.Y.A.N.G. Ramlah Ram – A Musical Evolution,’ 8 malam pada 1 Januari 2024.
Ramlah mengakui beliau terharu kerana diberi peluang untuk menjayakan konsert berskala besar yang sudah lama diimpikan.
“Kalau nak ikutkan ini memang konsert berskala besar pertama di Singapura sebab belum pernah buat. Di Malaysia dulu pernah buat konsert dua kali tapi bukanlah berskala besar macam ini. Jadi kiranya ini adalah yang pertama kali.
“Persiapan konsert ini dah hampir selesai, susunan lagu pun sudah sedia disusun mengikut konsep. Kini saya dalam prose latihan dan malam tadi adalah latihan pertama dan akan berterusan sebelum kami bergerak ke Singapura pada 30 Disember ini.
“Proses persediaan sudah sampai peringkat akhir, cuma untuk latihan saja. Konsert ini akan berlangsung lebih dua jam dan sebanyak 24 lagu akan saya nyanyikan pada malam tersebut.
“Persembahan saya nanti akan diiringi oleh sembilan orang pemuzik dengan diketuai oleh pengarah muzik, Raja Sham. Lagu-lagu dalam konsert ini adalah kisah perjalanan kerjaya saya bermula dengan album dangdut, pop tradisional yang akan dibahagikan ke dalam beberapa segmen.
“Saya akan menyanyikan lagu-lagu secara penuh dan medley. Ada lagu yang disusun semula dan ada yang mengikut mood lagu tersebut,” kongsi Ramlah tentang konsep konsertnya itu.
Sudah tentu antara lagu yang bakal dinyanyikan oleh Ramlah antaranya, ‘Apa Khabarmu Di Sana’. ‘Diam Diam Jatuh Cinta’, ‘Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi’, ‘Duri Dalam Cinta’, ‘Selamat Jalan Romeo’ dan sebagainya.
Ujar Ramlah, apa yang membuat beliau begitu bersemangat untuk menjayakan konsert ini kerana pihak Esplanade Singapore yang menawarkannya untuk membuat konsert di situ.
“Sebenarnya saya mendapat tawaran daripada Esplanade Singapore untuk konsert ini dan terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membuat persembahan di pentas berprestij ini.
“Pada mulanya, saya mahu mengundang artis jemputan, tetapi pihak penganjur tidak bersetuju. Saya ikutkan sahaja dan berharap penonton akan terhibur. Selepas konsert ini, jika ada yang mahu menganjurkan konsert lagi, saya akan terima.
“Di Malaysia kalau nak bekerjasama dengan saya untuk buat konsert, saya alu-alukan. Setakat ini belum ada lagi tawaran tetapi kalau ada, alhamdulillah. Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya yang baru kembali dari menunaikan umrah pada 25 Disember lalu.
Pada umrah kali ketiganya itu, Ramlah pergi bersama rakan-rakan dan jika ditakdirkan ada rezeki lagi, beliau tidak akan menolak untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Mekah.
Apabila ditanya, apakah doa yang dipinta, sewaktu berada di sana, Ramlah mengelak untuk berkongsi doanya itu. Beliau juga tidak suka bila ditanya soal jodoh kerana Ramlah lebih selesa bercerita tentang kerjaya seninya.
Sementara itu, meskipun sekarang ini ramai penyanyi baharu muncul, Ramlah tetap meneruskan kerjayanya seperti biasa kerana tawaran untuk persembahan tidak pernah putus.
“Untuk single baharu sentiasa ada dan akan dibuat setiap masa. Setahun kalau boleh nak ada satu atau dua dan akan menyusul single terbaharu nanti.
“Begitu juga, jika ada penyanyi baharu yang mahu bekerjasama, saya tak menolak. Maklumlah dalam situasi sekarang kita kena ikut peredaran semasa,” katanya yang pernah dipilih sebagai Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988.
Jadi diri sendiri untuk bertahan lama
Ramlah yang mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Artis Melayu Pertama menerima anugerah Platinum Kembar Lima menerusi album ‘Kau Kunci Cintaku di Dalam Hatimu’ yang terjual melebihi 350,000 unit dan sehingga kini jualan album tersebut hampir mencecah 500,000 unit, bersyukur kerana hingga kini kehadirannya masih diterima ramai.
Kongsinya, sebagai insan seni beliau bersyukur kerana masih mampu bertahan walaupun sudah 38 tahun bergelar anak seni.
“Pada saya, setiap orang ada rezeki masing-masing. Saya hanya mampu bersyukur kepada Allah sebab diberikan kesihatan yang baik sehingga kini, sakit sesekali itu biasalah. Bagi saya bila kita sihat, kita boleh buat persembahan dengan baik.
“Selain diberikan kesihatan yang baik, faktor lain yang membolehkan seseorang selebriti itu bertahan lama dalam industri adalah sokongan daripada peminat.
“Sebagai seorang penyanyi adalah penting untuk kita menjaga hati peminat dengan cara kita. Kita tak boleh buat tak tahu tentang peminat kerana tanpa mereka kita tak ada di tempat sekarang. Saya jadi kuat dan mampu bertahan sehingga kini kerana sokongan peminat,” akuinya yang mendapat sokongan penuh daripada kelab peminat Ramlah Ram Grup (RRG).
Selain itu tambahnya, seorang penyanyi perlu peka dan mengikuti perkembangan muzik semasa dan tidak boleh duduk dalam lingkungan yang sama.
“Kita kena peka juga dengan perkembangan muzik semasa dan tidak boleh rasa selesa sentiasa kerana dari masa ke semasa ada saja perubahan dalam industri muzik. Mahu atau tidak, kita kena ambil tahu pasal muzik.
“Macam saya dulu, rakam lagu ‘Sesaat Kau Datang’ kolaborasi bersama Sleeq. Kita perlu bekerjasama dengan orang muda agar generasi mereka tahu tentang kita dan lagu kita. Bukan setakat kena peka dan ambil tahu perkembangan muzik semasa tapi menjaga hubungan dengan orang sekeliling juga.
“Kita kena jaga hubungan dengan orang sekeliling yang buat kerja dengan kita. Kita bukan bekerja seorang tetapi dengan orang lain yang membantu kita. Semua itu kena ambil kira termasuk disiplin,” katanya berkongsi nasihat.
Selain itu kata Ramlah, untuk kekal dalam industri, jangan suka meniru orang lain, jadilah diri sendiri. Apa yang penting kena kekalkan identiti sendiri yang sudah diterima oleh peminat dan tidak terikut-ikut dengan orang lain.
“Setiap orang ada keistimewaannya, apa yang ada dalam diri kita dan diterima oleh peminat, jagalah ia sebaik-baiknya. Di samping itu kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang kita ada, maknanya kita kena belajar juga mengatasi kelemahan yang kita ada,” ujarnya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.