Oleh Wawa Najwa

Pada usia 61 tahun, Datuk Aznil Nawawi tidak bercadang untuk bersara kerana sempena sambutan hari lahirnya pada 6 November lalu banyak peluang pekerjaan yang beliau perolehi.

Aznil atau mesra dengan panggilan Pak Nil, akui beliau terkejut dengan rezeki yang Allah limpahkan kepadanya pada saat orang seusia dengannya lebih banyak meluangkan masa dengan keluarga.

Paling menggembirakan kata Pak Nil, beliau dilantik secara rasmi menjadi duta untuk Bertam Resort and Water Park Penang walaupun pada awalnya sekadar mahu berkongsi pengalaman sahaja.

“Hadiah hari jadi saya tahun ini di luar jangkaan dan November adalah bulan bertuah dan rezeki buat saya. Semuanya bermula daripada benda yang spontan. Saya percaya Allah dorong saya untuk jejak kaki ke Bertam Resort.

Pak Nil seronok menggalas tanggungjawab sebagai duta Bertam Resort.

“Sewaktu saya buat tempahan untuk bermalam di situ kerana ada urusan kerja di kawasan sekitar, saya sendiri tertanya-tanya biar betul di Bertam ada resort sebab selalu saya akan menginap di sebelah pulau.

“Apabila mula sampai di sini saya macam tak yakin tetapi bila masuk saya terpukau dengan keindahan dekorasinya. Saya buat video untuk berkongsi pengalaman indah saya di sini sebab saya rasa sangat luar biasa tempat ini. Rupa-rupanya ramai yang menonton, teruja dengan keindahan resort ini dan video tersebut tular,” ceritanya.

Apabila Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn.Bhd., Datuk Mohammed Iqbal S. Habeeb Noohu mendapat tahu orang ramai mula berkunjung ke resort tersebut selepas menonton video yang dimuat naik oleh Pak Nil, beliau diundang ke pusat peranginan tersebut.

Pertemuan pertama kali antara Pak Nil dengan Mohammed Iqbal berlangsung pada hari raya kelima lalu sewaktu pengacara itu berkunjung ke sana.

“Akhirnya saya melangkah kaki buat kali kedua dan bertemu dengan Datuk Iqbal buat pertama kali pada hari raya kelima. Ketika itu, kami dah mula bekerjasama dan sebenarnya saya tidak mempunyai apa-apa perancangan selain daripada ingin membantu kerana saya nampak resort ini sangat berpotensi.

“Beliau bercerita mengenai perancangan akan datang tentang spa, vila dan bilik yang bakal dilancarkan. Kemudian ada kawasan rekreasi motivasi, ‘team building’ yang bakal dilancarkan dan banyak lagi perancangan.

“Bagi saya ini adalah satu benda yang merugikan kalau saya tidak bekerjasama dan tidak menjadi sebahagian daripada pembangunan resort ini. Terima kasih kerana mereka percaya pada jenama ‘Aznil Nawawi’ walaupun sudah berusia 61 tahun.

“Saya sekarang sedang mencari peluang perniagaan baharu dalam bidang perhotelan. Peluang menjadi duta Bertam Resort merupakan dimensi baharu dalam kerjaya saya,” kongsi Pak Nil tentang kegembiraannya itu.

Apabila umum mendapat tahu Pak Nil menjadi duta untuk pusat peranginan tersebut, banyak permintaan daripada stesen televisyen yang ingin membuat penggambaran di situ.

Tegas Pak Nil, beliau bersedia memikul tanggungjawab yang diberi kerana yakin resort yang berkonsepkan seni bina Arab dari Maghribi yang mula beroperasi akhir tahun lalu itu ada potensi besar dan kini mula mendapat perhatian ramai.

“Saya seronok berada di sini sebab semua kaki tangan di sini seperti sebuah keluarga baharu buat saya. Apabila sudah diberi tanggungjawab sebagai duta, saya akan laksanakannya sebaik mungkin.

“Jika tidak ada urusan lain, pasti saya akan datang ke sini dan dapat bertemu dengan tetamu yang menginap di sini,” katanya yang turut ditawar menjadi Profesor Adjung Universiti Malaya (UM) di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM berkuatkuasa pada 9 Oktober lalu.

Jelas Pak Nil, beliau tidak pernah terfikir seorang pengacara sepertinya akan diangkat sebegini rupa untuk menjadi ahli pendidik di sebuah universiti ulung.

“Pihak universiti panggil dan tanya apa yang saya boleh bantu dari segi kepakaran yang saya ada. Saya buat pembentangan dan tampilkan kepakaran saya sebagai seorang ahli akademik dan bukan seorang penghibur atau ahli perniagaan.

“Mereka tengok dan yakin dengan apa yang saya persembahkan. Saya buat silibus sendiri. Saya tawarkan bidang komunikasi sebab itu saya kemahiran saya. Saya berjaya melahirkan ramai pengacara setakat ini.

“Saya beritahu pihak UM, saya nak mula dengan fakulti ekonomi dan akhirnya akan buka kepada fakulti lain yang berminat untuk belajar. Saya akan mendidik mereka daripada zero sebab saya tahu ada yang habit malas bercakap. Saya akan latih mereka dari segi ‘basic’ dan dengan kepandaian yang mereka ada, pelajar boleh berdiri dengan penuh keyakinan di luar sana,” jelasnya yang merupakan alumni UM.

Sementara itu, Mohammed Iqbal berkata, beliau melantik pengacara popular itu sebagai Duta Bertam Resort kerana nampak aura yang ada pada Pak Nil.

“Boleh nampak kesan daripada video Pak Nil ramai selebriti dan VIP sudah mula buka mata dan datang. Sedikit sebanyak ada kesan daripada sumbangan Pak Nil.

“Dia antara orang terawal yang memberi pengiktirafan Bertam Resort sampailah kita dapat sambutan yang begitu menggalakkan. Kali kedua dia datang sini, kami banyak bersembang dan sampailah kita bersetuju untuk melantik beliau menjadi duta,” katanya.

Mohammed Iqbal yang mempunyai latar belakang sebagai kontraktor berkata, beliau memilih dekorasi di resort tersebut berkonsepkan seni bina Arab dari Maghribi kerana terpesona dengan keindahannya.

“Saya dah melancong ke Maghribi sebanyak enam kali, saya memang ada simpan impian kalau ada rezeki satu hari nak buka hotel berkonsepkan begitu. Sebab itu bila dapat peluang saya cuba buat apa yang saya idamkan.

“Alhamdulillah sambutan menggalakkan dan pada awalnya saya sedikit skeptikal juga takut orang tidak dapat terima. Kita tidak mahu orang kaitkan dekorasi di sini dengan motif Islamik tetapi tetamu tidak kira bangsa dan agama dari dalam dan luar negara suka dengan konsep ini.

“Bila saya jumpa tetamu dan bertanya pandangan, mereka gembira kerana ia sesuatu yang berbeza. Alhamdulillah, orang ramai tidak kaitkan dekorasi ini dengan Islamik tetapi reka bentuk yang global dan boleh dapat di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata, keputusannya menghidupkan semula tapak Bertam Resort and Water Park Penang yang sudah terbengkalai selama 13 tahun adalah tindakan yang tepat apabila ia berjaya menjadi destinasi pelancongan baharu selain mendapat reaksi sangat positif daripada orang ramai.

“Dengan pelbagai promosi yang disediakan, kita mahu pusat peranginan serta taman tema air yang disediakan di sini mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Pastinya Bertam Resort and Water Park Penang akan menjanjikan suatu pengalaman serta keseronokan yang luar biasa kepada pengunjung,” katanya lagi.

Previous articleSelebiriti Indonesia sokong filem lakonan Ashraf Sinclair
Next articleNora tabah hadapi dugaan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here