Antara selebriti Indonesia yang akan hadir memeriahkan tayangan perdana filem Syaitan Munafik.

Oleh Wawa Najwa

Selepas tertunda selama 15 tahun, akhirnya filem “Syaitan Munafik” bakal menemui penonton di 50 pawagam tempatan mulai 21 Disember ini.

“Syaitan Munafik” yang menelan kos sebanyak RM1.7 juta bukanlah sebuah filem biasa namun memiliki kenangan yang luar biasa.

Dalam filem arahan Allahyarham Majed Saleh yang menemui Illahi pada 6 Oktober lalu, turut menampilkan Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari 2020.


Sempena tayangan filem bergenre seram itu, penerbit filem tersebut, Datuk Mohd Rosdi Shair akan mengadakan Malam Gala dan Tayangan Perdana pada 18 Disember ini di TGV Wangsa Walk, Kuala Lumpur.

Bagi memeriahkan majlis tersebut, Mohd Rosdi selaku Pengarah Urusan syarikat United Nine Creative Sdn. Bhd. yang menerbitkan “Syaitan Munafik” memberitahu, dua pelakon Indonesia iaitu Tessa Mariska dan Dea Lestari yang berlakon dalam filem tersebut akan hadir.

Manakala pelakon tempatan yang terlibat dalam filem tersebut ialah Ruminah Sidek, Faisal Hussein, Linda Hashim, Hussien, Bandi Amuk, Erin CTJ, Wom UG 14 dan Yank Kassim.

Lain-lain pelakon filem dan sinetron Indonesia yang akan hadir memeriahkan tayangan perdana filem itu ialah Dafina Jamasir, Loli Ismaya, Mayang Lucyana Fitri, Doddy Sudrajat, Vidya Ully, Derick Jordan dan Nadelyn.

Derick Jordan hadir menyokong filem lakonan Ashraf Sinclair.

“Saya merasa lega apabila para artis, penaja dan media di Indonesia menyokong filem terbitan United Nine Creative Sdn. Bhd., yang turut menampilkan pelakon Malaysia Allahyarham Ashraf Sinclair.

“Saya berterima kasih atas sokongan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham Ashraf. Ia juga bagi memperingati pemergiannya di Jakarta tiga tahun lalu,” kata Mohd Rosdi dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, pihaknya akan melaksanakan program promosi besar-besaran di Malaysia dan Indonesia agar filem terakhir lakonan Ashraf Sinclair, artis yang juga popular di Indonesia mendapat liputan yang meluas bagi menarik seluruh penonton terutamanya peminat filem seram.

Untuk menjayakan tayangan perdana filem “Syaitan Munafik,” Mohd Rosdi telah menandatangani perjanjian penajaan dengan PT. TransNusa Aviation Mandiri.

Mohd Rosdi menghargai kesudian syarikat penerbangan itu menjadi penaja rasmi penerbangan untuk artis, media dan seluruh anggota penerbitan Malaysia dan Indonesia.

Filem yang tertunda begitu lama ini mendapat sokongan rakan selebriti Ashraf Sinclair dari Indonesia.

TransNusa juga akan memberi sokongan penuh terhadap acara pelancaran filem itu di Kuala Lumpur, dan di Jakarta pada 14 Januari 2024.

Sementara itu, Klinik Kecantikan Doktor Wir dari Kelapa Gading, Indonesia memberi sokongan dengan menaja lokasi tayangan perdana di Kuala Lumpur serta penginapan untuk pelakon, kru dan media.

Filem terbitan tahun 2008 yang disunting semula untuk tayangan merupakan karya filem paling lama tersimpan iaitu selama 15 tahun, lima tahun lebih lama daripada filem terbaik Festival Filem Malaysia ke-32, “Spilt Gravy on Rice” yang diterbitkan pada tahun 2012.

Sementara itu, Dea Lestari pelakon filem dan sinetron berharap peminat filem seram akan menyokong “Syaitan Munafik.”

“Pastinya para peminat ternanti-nanti filem ini ditayangkan. Apalagi proses penerbitannya sudah terlalu lama dan melalui banyak pengubahsuaian. Selain itu, jalan ceritanya yang suspen pasti akan membuatkan para peminat fiem seram kedua buah negara merasa puas,” katanya.

Previous articleKasut tumit tinggi? Cantik tapi derita…(Bahagian 2)
Next articlePak Nil suka dengan tanggungjawab yang digalas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here