DENGAN rambut hitam berkilat dan senyuman yang menawan membuatkan nama Mimi Loma terus diminati apabila muncul dalam satu-satunya filem lakonannya, "Ahmad Albab."

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa

Bawah Rumpun Bambu

Bawah rumpun bambu
hamba menunggu
bergetar jantung kalbu
hatiku rindu

Dia yang kupuja
tak kunjung tiba
di mana kau berada
duhai kekanda

Oh… bersiul-siul bunyi
hembusan bayu
rembulan pun memancar
wajah nan ayu

Tak sedar dia tiba
di hadapanku
gembira sungguh rasa
di dalam kalbu

Oh alangkah riang rasa
duhai kekanda
kala kuhibur hati
duka dan lara
janganlah ditinggalkan
wahai kekanda
biar hidup berdua
mati bersama

Bawah rumpun bambu
hamba menunggu
berdebar jantung kalbu
hatiku rindu

Lagu: P. Ramlee
Lirik: Salleh Ghani

PERTAMA kali saya mendengar lagu ‘Bawah Rumpun Bambu’ berkumandang di radio pada tahun 1982, ketika itu umur saya baru sebelas tahun dan menduduki darjah lima. Menghayati melodinya yang indah dan setiap bait liriknya yang puitis membuatkan saya ‘jatuh hati’ pada lagu tersebut.

Tetapi apabila juruhebah radio mengumumkan nama penyanyinya ‘Mimi Loma’ dan bukan ‘Saloma,’ saya tertanya-tanya siapakah dia? Sebabnya suara ‘penyanyi’ berkenaan saling tak tumpah seperti suara Biduanita Negara itu, terutama ketika menyanyikan rangkap ketiga lagu berkenaan.

MIMI Loma mula menarik hati para peminat dengan lagu “Bawah Rumpun Bambu” yang mula diedarkan pada 4 Mei 1973.

“Bawah Rumpun Bambu” lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan lirik ditulis oleh Pengarah Allahyarham Salleh Ghani telah diberikan kepada Mimi Loma pada tahun 1973.

Khabarnya P. Ramlee hanya sempat mendengar lagu ciptaan terakhirnya itu sebelum lagu berkenaan ‘disalin’ ke piring hitam dan album itu dilancarkan pada 4 Jun 1973 iaitu lima hari setelah beliau meninggal dunia. P. Ramlee meninggal dunia ketika berusia 44 tahun pada 29 Mei 1973 kerana serangan jantung. Sementara Salleh Ghani meninggal dunia ketika berusia 62 tahun pada 20 Ogos 1986 kerana penyakit barah.

Bermula dari lagu itulah, Mimi Loma mula mencipta nama dan dikenali oleh para peminat senisuara ketika itu. Bukan setakat sebuah lagu malah beliau telah merakamkan dua puluh lagu yang dimuatkan dalam lima album berbentuk EP (Extended Play) atau disebut mini album yang mengandungi hanya empat buah lagu.

SENIMAN M. Wari (duduk tengah) bersama Seniwati (duduk dari kiri) Rahmah Ali, Mimi Loma, Jas dan Rafiah Ismail.

Selain “Bawah Rumpun Bambu” lagu yang dirakamkan dan melekat di hati para peminat antaranya “Epok-Epok,” “Mengapa Abang Merajuk,” “Hendak Ku Rayu Pada Siapa,” “Hampa Kecewa,” dan “Berpisah.”

Mimi Loma atau nama sebenarnya Aminah Ismail. Bapanya, Ismail Osman dan beliau adalah adik sebapa dengan Allahyarham Biduanita Negara, Puan Sri Saloma dan Allahyarham Seniwati Mariani. Beliau berasal dari Singapura dan mula menyanyi pada tahun 1968.

MIMI Loma bukan sahaja mempunyai suara yang lunak didengar malah senyumannya membuat para peminat tidak jemu memandang wajahnya.

Bagaimanapun lagu ciptaan P.Ramlee itu telah meletakkan nama Mimi Loma sebagai salah seorang biduanita popular dan diminati sejak itu.

Menyingkap tabir di sebalik nama dan perjalanan seninya, tanpa berselindung Mimi Loma yang sempat saya temui sebelum beliau meninggal dunia bercerita;

“Nama saya daripada Aminah ‘menjadi’ Mimi Loma adalah idea abang ipar saya, P. Ramlee. Semuanya bermula apabila saya menerima undangan menyanyi untuk sebuah rancangan Radio Sabah.

“Abang Ramlee beritahu saya mulai sekarang lupakan nama Aminah tetapi ingat nama ‘Mimi Loma.’

MIMI Loma dan kakak kesayangannya, Saloma.

“Sejak itu, di mana sahaja saya menerima undangan menyanyi itulah nama yang saya gunakan. Bukan itu sahaja, malah sedara mara, kawan-kawan dan jiran-jiran saya juga memanggil saya dengan nama itu.

“Saya amat bersyukur kerana dengan nama itu dan lagu ciptaan beliau telah memberi ruang yang lebih luas untuk saya mencari rezeki, walaupun beliau telah ‘pergi’ sebelum EP saya dilancarkan. Saya amat terhutang budi pada Abang Ramlee.

“Tetapi sampai hari ini apabila kawan bertanya mengenai nama saya, memang tiada jawapan kerana saya tidak pernah bertanya pada Abang,” cerita Mimi Loma.

“Ahmad Albab” arahan P. Ramlee dan diterbitkan pada tahun 1968 adalah satu-satunya filem yang telah menggabung tiga beradik berbakat iaitu Mariani, Saloma dan Mimi Loma.

Menurut Mimi Loma, pada awal penglibatannya sebagai penyanyi ada juga cakap-cakap yang mengatakan beliau bertuah kerana menumpang populariti kakaknya, Saloma dan Mariani.

Tetapi beliau tidak pernah ambil peduli sebaliknya sentiasa ingat pesan yang dititipkan Saloma untuk beliau amalkan agar kekal sebagai penyanyi bersuara merdu.

PASANGAN suami isteri dalam filem “Ahmad Albab.”
Safar (Karim Latif) sanggup merompak demi memberi
kemewahan kepada isterinya, Suhara (Mimi Loma).

“Sebenarnya kakak tak ada rahsia bagaimana menjaga suara. Cuma pesan kakak kalau suara serak banyakkan minum air suam atau air limau suam,” cerita Mimi Loma.

Namun katanya, beliau tidak pernah ambil kisah cakap-cakap orang kerana walaupun mereka bukan dari keluarga seni tetapi mereka tiga beradik memang berbakat. Realitinya beliau dan kakaknya Saloma berbakat sebagai penyanyi dan pelakon. Sementara Mariani memang hebat sebagai pelakon!

TIGA adik-beradik di satukan dalam filem “Ahmad Albab” dan menjadi cover Majalah Filem 1968.

Hakikatnya tiga beradik ini pernah ditemukan dalam filem “Ahmad Albab” arahan P. Ramlee terbitan Merdeka Film Productions dan diedarkan oleh Shaw Organisation pada tahun 1968.

“Ahmad Albab” adalah filem pertama dan terakhir yang menemukan mereka sebagai adik beradik, Safura (anak sulung lakonan Mariani), Mastura (anak kedua lakonan Saloma) dan anak bungsu, Suhara (Mimi Loma) dan ayah mereka, Mas’hud Al-Buaya (AR Tompel) yang mahu mengahwinkan ketiga anaknya dengan lelaki kaya.

Bagaimanapun hanya Safura dan Suhara berkahwin dengan anak orang kaya. Sementara Mastura berkahwin dengan Syawal gembala lembu. Syawal yang dilakonkan oleh P. Ramlee akhirnya menjadi kaya kerana rajin berkerja dan sifat jujurnya.

MIMI Loma menceburi bidang lakonan pada usia 22 tahun.

Menceritakan pengalamannya di lokasi penggambaran filem berkenaan, Mimi Loma berkata;

“Sebagai pengarah, saya tengok Abang Ramlee tidak pernah marah pelakon. Sebelum memulakan penggambaran beliau akan bertanya pelakon sama ada sudah hafal dialog atau belum. Andaikata jika sedang ‘shooting’ pelakon ‘jammed’ dan tidak boleh ingat dialog, dia akan hentikan shooting dan hanya akan sambung semula apabila pelakon itu telah bersedia.

“Selama di Kuala Lumpur, saya tinggal bersama Kakak (Saloma) dan Abang Ramlee di rumah mereka, di Jalan Dedap, Setapak. Banyak kenangan saya bersama mereka.

P. RAMLEE menerima anugerah dari Golden Harvest Award: Most Versatile Talent pada Festival Filem Asia ke-10 yang berlangsung pada 14 hingga 19 April 1963 di Tokyo, Jepun. Turut menemani beliau pada hari bersejarah itu ialah isterinya, Saloma.
Anugerah tersebut diberikan kepada beliau setelah 12 juri yang mengadili festival berkenaan sepakat dan sebulat suara memberikan anugerah itu kepada beliau berdasarkan kehebatan beliau sebagai Pengarah, Pelakon, Penggubah Lagu, Penyanyi dan Penulis Lakon Layar untuk filem “Ibu Mertuaku” (1962). Hanya P. Ramlee satu-satunya yang menerima anugerah ini kerana ia tidak pernah dipertandingkan dalam dunia selepas beliau.

“Saya perhatikan ketika di rumah, Abang Ramlee tidak banyak bercakap dan seorang yang banyak berfikir. Beliau pendiam orangnya dan suka minum kopi serta kuat hisap rokok.

“Bukan itu sahaja lebih setahun duduk dengan mereka, saya perhatikan Abang Ramlee memang pandai memasak dan setiap hari beliau masak kari. Pada mulanya saya fikir setiap hari makan kari mesti jemu tetapi tidak.

“Sebabnya, rempah kari Abang Ramlee bukan dibeli dari kedai tetapi nenek yang giling rempah itu dan memang sedap!”

P. RAMLEE, Saloma dan anak angkat mereka, Zaza Loma menjadi penghiasa muka depan Majalah Mastika Filem.

Menurut Mimi Loma walaupun P. Ramlee telah lama ‘pergi’ begitu juga Saloma yang meninggal dunia kerana sakit kuning pada usia 48 tahun pada 25 April 1983, beliau tetap ingat amanat kakak dan abang iparnya itu.

“Amanat kakak dan Abang Ramlee jangan ambil kisah apa orang cakap walaupun betul yang penting buat tak tahu.

“Tetapi jika kita salah, cepat-cepat minta maaf. Bukan menjadi satu kesalahan apabila kita memohon maaf dan ia tidak akan menjatuhkan maruah kita,” kata Mimi Loma yang sentiasa ingat amanat tersebut.

INILAH rumah P. Ramlee yang pernah Mimi Loma tumpang dan kini menjadi Pustaka Peringatan P. Ramlee atau Memorial P. Ramlee mempamerkan kejayaan dan sumbangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri perfileman negara.
Banglo yang terletak di No: 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, Kuala Lumpur yang dibina pada tahun 1986 adalah hadiah serta penghargaan daripada Shaw Brothers kepada P. Ramlee.

Menurut Mimi Loma, walaupun kakaknya telah meninggal dunia tetapi apabila teringat pelbagai fitnah dan tohmahan masyarakat yang dilemparkan tentang arwah abang iparnya membuatkan beliau sedih dan terkilan.

“Saya melihat penderitaan kakak. Selepas abang meninggal kakak tak boleh tidur dan kakak rasa sunyi, jiwanya kosong. Bukan itu sahaja malah semangat kakak untuk hidup bagaikan telah dibawa pergi oleh arwah Abang Ramlee.

“Betapa tidak macam-macam fitnah yang dilemparkan kononnya ada orang dengar Arwah Abang Ramlee main piano di rumahnya di Jalan Dedap. Nampak abang di stesen LRT dan macam-macam lagi. Itu yang buat kakak menderita.

Inilah baju kesayangan Mimi Loma.

“Sebenarnya selepas abang meninggal ada orang nak berkahwin dengan kakak. Kakak kata boleh tetapi dengan syarat orang itu mesti serupa macam arwah abang tak boleh lebih atau kurang.

“Hakikatnya selepas abang meninggal, kakak memang tidak bersemangat untuk hidup. Setiap kali timbul cerita-cerita karut kononnya abang hidup kembali, kakak sentiasa berdoa memohon Allah tunjukkan kebenaran,” cerita Mimi Loma.

Menurut Mimi Loma, sepanjang kakaknya dirawat di hospital beliau sentiasa menemaninya cuma seminggu sebelum kakaknya meninggal beliau terpaksa balik ke Singapura kerana ada urusan keluarga dan saya minta Ibu (Umi Kalsom Mahbon, emak Saloma) menjaganya.

Beliau menghadiahkan baju tersebut kepada Syed Wafa dan kini disimpan di Wafa Gellery
Inilah kain sarung kesayangan Saloma yang dihadiahkan Mimi Loma kepada Syed Wafa.
Kain sarung ini juga disimpan di Wafa Galery.

Banyak kenangan saya (Penulis) bersama seniwati legenda Mimi Loma. Kenangan yang paling saya tidak lupa beliau telah menghadiahkan saya kain sarung kesukaan Saloma serta dua pasang baju kegemaran beliau kepada saya. Hadiah istimewa ini saya letakkan di Wafa Gellery milik saya.

Mimi Loma meninggal dunia pada 21 Ogos 2021. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Selangor.

MENGABADIKAN kenangan…Mimi Loma dan Dayang Sofia bersama bekas ketua Radio Klasik, Noraini Ibnu.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman… Amin.

SYED Wafa mengabadikan kenangan bersama Mimi Loma.
Previous articlePes Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Ikan Kurau Masin Masak Lemak!
Next articleHasrat Che Ta tak kesampaian kerana positif Covid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here