Oleh Wawa Najwa
ORANGNYA baru berusia 21 tahun, namun bakatnya begitu menyerlah dalam bidang seni. Syakir Daulay merupakan anak muda yang berani mengambil risiko kerana dalam satu masa, dia melakukan tugasan sebagai penerbit, pengarah dan pelakon dalam karya sulungnya, Imam Tanpa Makmum.
Sebelum berjaya menerbitkan filem ini, Syakir yang juga model dan penyanyi kelahiran Aceh itu sempat dihalang oleh banyak pihak yang meragui kebolehannya.
“Saya akui tidak mudah untuk melakukan tiga kerja serentak dalam satu karya. Sebagai penerbit saya harus memastikan kru dan pelakon semua berada dalam keadaan baik dan sebgai pengarah saya perlu pastikan penggambaran berjalan seperti mana yang dijadualkan.
“Sementara di posisi pelakon saya perlu lontarkan nilai seni dan lakonan dengan baik. Selepas melalui semua itu, cukuplah untuk karya ini saja saya buat kerja gila.
“Memang karya ini dibikin untuk saya belajar. Pada masa depan rasanya lebih selesa untuk berada di kerusi pengarah dalam karya yang dibikin sendiri.
“Jika karya orang lain, saya lebih suka menjadi pelakon sahaja. Saya cuba untuk menjadi seperti P.Ramlee,” kata Syakir yang memegang watak sebagai Imam.
Tatkala ditanya kenapa mahu mengikut jejak langkah Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, katanya, dia dia terpesona dengan karya-karya Seniman Agung Malaysia itu.
“Karya-karya P.Ramlee bukan sekadar hiburan semata-mata tapi sarat dengan mesej-mesej yang jelas untuk sesuatu isu buat masyarakat.
“Saya mahu jadi seperti beliau yang sehingga sekarang jika dilihat semula karya-karyanya masih dapat menjentik hati dan memberi rasa pada penonton,” kata Syakir yang meminati filem Madu Tiga, Ibu Mertuaku dan Bujang Lapok.
Filem Imam Tanpa Makmum yang menelan kos RM1.4 juta terbitan dan arahannya itu berbeza daripada kebanyakan naskhah dari negara seberang itu kerana ia mengangkat tema nikah muda.
Menyentuh tentang tema perkahwinan muda, menurut Syakir filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 19 Oktober lalu itu akan membuatkan penonton melihat alam perkahwinan dengan pandangan yang berbeza.
Filem Imam Tanpa Makmum yang dibintangi oleh Syakir Daulay, Rayisa Nayla Salwa, Vonny Felicia, Cut Mini Theo, Lukman Sardi dan Arif Brata itu akan mula ditayangkan dipawagam seluruh negara pada 30 November 2023.
Sementara itu, Rayisa Nayla Salwa yang pertama kali berlakon filem sebagai Zahra berharap lakonannya dapat diterima dengan baik.
“Sebelum ini saya seorang model iklan dan juga pempengaruh media sosial, ini adalah percubaaan pertama dalam lakonan.
“Saya bersetuju untuk berlakon kerana Syakir adalah sahabat saya. Andai selepas ini ada lagi peluang berlakon saya akan pertimbangkan,” kata Rayisa.
Filem Imam Tanpa Makmum adalah sebuah filem romantik komedi terbitan produksi Indonesia, Syakir Pictures dengan kerjasama Onprima Studio.
Ketua Pegawai Eksekutif Onprima Studio, Mohd Shahir Sulaiman, berkata, pihaknya berkerjasama dengan Syakir Pictures kerana produksi tersebut memiliki misi dan visi yang sama dengan pihaknya iaitu ingin memartabatkan karya Nusantara ke peringkat lebih tinggi.
“Pihak kami amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan Syakir Pictures menerusi karya yang disifatkan agak berbeza daripada kebanyakan karya seberang apatah lagi ia diarahkan oleh anak muda yang saya lihat mempunyai masa depan cukup cerah.
“Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk projek yang akan datang dengan lebih banyak genre filem. Saya percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton menerusi karya yang ditampilkan tetapi juga buat seluruh warga industri perfileman tanah air,” ujar Mohd Shahir.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.