Nam Ron artis berbakat besar.

Oleh Nafsiah Jani

Bila sebut nama Nam Ron pasti semua terbayangkan seorang lelaki berwajah serius, sombong sehingga anda takut untuk berbicara dengannya apalagi gaya percakapannya.

Namun jika sudah lama mengenalinya pasti anda sedar andaian itu salah, kerana Nam Ron adalah seorang yang mudah berbicara dan tidak sombong.

Mungkin dia bukan muda lagi dan tidak kacak, sebab itu ceritanya kurang mendapat tempat di media cetak dan elektronik. Namun Nam Ron pandai meraih populariti dan bijak mencipta kontroversi serta isu agar wartawan sentiasa mencarinya.

Bakal beraksi dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey!

“Saya perasan bila saya tidak timbulkan isu atau kontroversi tak ada seorang wartawan pun akan menemuramah saya. Misalnya suatu waktu dahulu, apabila saya lantang mengkritik Finas atau produksi yang saya rasa tidak betul cara mereka, ramai wartawan yang kejar dan berlumba-lumba mencari saya untuk ‘korek’ isu-isu yang saya bangkitkan.

“Sekarang saya pilih jalan damai dan tenang. Saya tidak suka menimbulkan sebarang kontroversi atau isu,” luah Nam Ron ketika ditemui pada sidang akhbar majlis pelancaran filem “Harimau Malaya The Untold Story,” di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nam Ron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan,54, telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang berlangsung pada tahun 2017 kerana lakonannya dalam filem “Redha.”

Sementara isterinya, June Lojong yang turut berlakon dalam filem tersebut dianugerahkan sebagai Pelakon Wanita Harapan.

Memenangi Pelakon Lelaki Terbaik sempena FFM 29 (2017).

Bagi Nam Ron, meskipun cerita mengenai kariernya kurang mendapat publisiti namun beliau tidak kisah.

“Walaupun tidak popular di media massa, saya masih banyak mendapat tawaran berlakon filem dan drama. Saya bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan daripada syarikat penerbitan untuk berlakon filem terbitan mereka.

“Kini saya sedang menunggu tayangan filem terbaru lakonan saya, ‘Tanah Tumpah.’ Insyaa-Allah ia akan menemui para penonton pada tahun hadapan.

“Filem ini memulakan penggambaran pada akhir tahun 2018. Bagaimanapun apabila negara dilanda Covid-19, penggambaran terpaksa dihentikan seketika kemudian disambung semula,” kata Nam Ron.

“Tanah Tumpah” bertemakan perpaduan membawa kisah persahabatan satu kumpulan yang diterajui anak-anak muda yang ingin mementaskan sebuah teater. Teater tersebut diarahkan oleh seorang pemuda berbangsa Cina. Sebelum teater sempat bergerak pelbagai konflik terjadi sesama mereka. Apakah kesudahan filem arahan Nam Ron ini?

Artis yang berdisiplin dan disayangi penerbit.

Selain Nick Davis sebagai pelakon utama, filem ini turut dibintangi Sara Ali, Amirul Affendy, Jasmin Suraya dan ramai lagi.

Mungkin ada yang meragui kemampuan Nam Ron sebagai pengarah tetapi FFM30 yang berlangsung pada 2018 telah membuktikan kredibilitinya apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dengan filem “One Two Jaga.”

Disamping itu, filem tersebut turut memenangi enam lagi anugerah daripada sembilan pencalonan. Anugerah tersebut ialah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosseen Suboh), Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Penyunting Terbaik.

Nam Ron boleh bawa pelbagai watak.

Menurut Nam Ron, beliau menghasilkan filem bukan kerana anugerah atau mengejar anugerah.

“Bila mengarah sesebuah filem, saya tidak pernah meletak sebarang target. Bagi saya kalau menang banyak anugerah seperti filem pertama saya, ‘One Two Jaga’ itu adalah bonus.

“Sebenarnya bila nak berkarya, saya suka ceritanya kena mengena dengan masyarakat, politik atau apa yang berlaku di sekeliling kita. Selalunya, kisah-kisah yang berlaku di luar sana saya angkat untuk dijadikan filem.

“Ia macam ‘healing’ pada masyarakat, untuk lihat cerita-cerita sebegini. Apa yang saya paparkan adalah suara saya kepada masyarakat di luar sana,” kata Nam Ron.

Bersama keluarga tercinta.

Syarat jika anak mahu berlakon!

Walaupun Nam Ron dan June Lojong bergelar pelakon, namun mereka tidak membenarkan ketiga-tiga anak mereka menceburi bidang seni selagi tidak menamatkan persekolahan mereka.

“Biasalah, bila emak bapak orang seni, sudah pasti anak-anak juga ingin menuruti jejak langkah kedua ibu bapa mereka. Begitu juga dengan anak-anak saya, Demi Kaseh, 17, Cahaya Cinta, 12, dan Yang Suci, tujuh tahun.

“Saya sudah lama dalam industri dan banyak asam garam yang saya tempuhi. Nasihat saya pada anak-anak, kalau mahu jadi pelakon boleh, tetapi mereka kena tamatkan pengajian hingga ke menara gading. Sekurang-kurangnya dengan kelayakan pendidikan yang mereka ada, bila tidak boleh jadi pelakon, mereka boleh jadi pengarah. Malah kelayakan mereka akan bawa mereka pergi lebih jauh lagi dalam industri ini.

“Selain itu, nasihat saya pada anak-anak saya betapa pentingnya mereka mempunyai adab dan akhlak yang baik. Adab lebih penting dari ilmu. Kalau ada ilmu tapi tak ada adab pun tidak guna… jadi kenalah jaga adab. Adab dengan Tuhan, orang tua, kawan-kawan, ibu bapa dan lain-lain lagi,” kata Nam Ron anak kelahiran Kangar, Perlis ini.

Bercakap mengenai karakternya sebagai bapa, kata Nam Ron;

“Muka saya memang nampak garang tetapi saya bukanlah seorang bapa yang garang. Saya tidak garang dengan anak-anak. Tetapi mereka sangat menghormati saya sebagai bapa. Sebagai bapa, saya suka anak-anak bercakap jujur. Selalunya kami banyak berbual dan saya selalu bertanyakan pendapat mereka tentang sesuatu perkara yang kami bincangkan kerana saya mahu mereka berani dan pandai bercakap.”

Previous articleGejala Cyst Ovari Yang Wanita Perlu Tahu (Bahagian 2)
Next articleAina Abdul enggan dibanding, mahu lakar nama dengan gaya tersendiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here