Oleh Wawa Najwa

BARU-BARU ini kecoh apabila peminat Aina Abdul mahu gelaran Penyanyi No.1 yang disandang oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza diberikan kepada artis kesayangan mereka.

Alasan peminat tegar Aina, gelaran tersebut tidak lagi relevan dengan Siti Nurhaliza kerana era Ratu Pop yang aktif dalam bidang seni sejak 1995 sudah berlalu.

Bagaimanapun cadangan tersebut dipandang sinis oleh netizen lain yang menganggap antara Siti Nurhaliza dengan Aina yang aktif dalam bidang seni sejak 2014, ibarat langit dan bumi.

Bagi Aina, pembabitannya dalam bidang seni bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi, lagipun Siti Nurhaliza adalah idolanya.

Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani , 30, mengakui dirinya masih belum mampu menandingi Siti yang sudah memiliki ratusan anugerah di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Fesyen unik Aina Abdul!

“Anak seni baharu seperti saya masih jauh perjalanannya, banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari. Siti adalah salah seorang idola saya. Perbandingan begini tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu temu bual.

Aina bukan sekadar menyanyi tapi dia juga seorang penulis lirik dan komposer yang prolifik dan kelebihannya itu secara tidak langsung membantu perjalanan kerjaya seninya.

Penyanyi terkenal dengan penggayaan fesyen artistik yang eksentrik itu baru saja melancarkan album sulung berjudul ‘IMAJI’ terbitan Aina Abdul Entertainment Sdn. Bhd., pada 24 Oktober lalu.

Album ‘IMAJI’ merupakan hadiah hari jadi paling bermakna buat dirinya sebagai penyanyi itu, menghimpunkan 14 buah trek istimewa hasil nukilan dan ciptaan Aina sepenuhnya termasuk single ‘Jangan Mati Rasa Itu’ yang dilancarkan pada 25 Ogos lalu.

Menurut Aina, album ‘IMAJI’, diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya sendiri. Setiap lagu yang dihasilkan adalah intepretasi Aina terhadap emosi diri yang sarat termasuklah rasa marah, sedih, kecewa, diabaikan, dicintai dan dihargai.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, saya berjaya merealisasikan impian sekian lama terpendam untuk memiliki sebuah album penuh yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup saya sendiri.

“Penerbitan album ini bukan sahaja sebagai sebuah kepuasan peribadi yang cukup manis buat saya, malah ia juga adalah tanda penghargaan dan buah tangan kepada peminat setia yang sudah lama menanti kemunculan album sulung saya.

“Proses penghasilan album ini juga bukan mudah. Di sebalik kecemerlangan yang berjaya dilakar, saya banyak berdepan laluan sukar sepanjang sembilan tahun perjuangan untuk mengukir nama sebagai ‘Aina Abdul’.

Album terbaru Aina Abdul, ‘Imaji’.

“Jika disorot kembali, pelbagai dugaan, kritikan dan pujian yang saya terima. Apapun, saya bersyukur dengan pengalaman tersebut kerana ia bukan sahaja mematangkan, malah turut memberi kekuatan kepada saya untuk bekerja keras dan terus berkarya secara jujur bagi meletakkan bakat yang saya miliki ini di tempat yang betul,” katanya terus terang.

Selain mengetengahkan irama balada yang sememangnya sinonim dengan Aina, album ini turut bereksperimen dengan genre yang lebih rancak seperti pop dan juga alternatif indie bagi menyuntik kelainan demi menerjah jiwa peminat.

Secara peribadi, kata Aina, dia meletakkan piawaian yang tinggi untuk album ini kerana ‘Aina Abdul’ merupakan seorang yang amat menitikberatkan soal mutu, kualiti muzik, bunyi dan gubahan dalam setiap karya ciptaannya.

“Saya terlibat dalam setiap aspek pembikinan album ini demi memastikan produk akhir betul-betul berkualiti dan kena dengan cita rasa saya. Saya berharap agar para peminat akan menyukai ‘IMAJI’ seperti mana saya sendiri menyukainya.

“Semoga album ini dapat membantu untuk mengukuhkan lagi posisi saya sebagai komposer dan penyanyi dalam industri muzik sekali gus menjadi pencetus kepada lebih banyak karya seni di masa akan datang, Insya-Allah,” katanya.

Aina menyerlah sewaktu menyertai ‘ABU TV Song Festival 2023’.

Aina wakil Malaysia untuk ABU TV Song Festival 2023 Baru-baru ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memilih Aina mewakili negara untuk beraksi di pentas global ‘ABU TV Song Festival 2023’ anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union atau Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU).

Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 kali ini dihoskan oleh stesen televisyen nasional Korean Broadcasting System (KBS) yang berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada 30 Oktober lalu disertai oleh 11 penyanyi dari 11 negara.

Manakala 10 penyanyi lain yang turut terlibat terdiri daripada Tia Ray (China), Chau Kat Pui (Hong Kong), Malini Awasthi (India), Ayaka Hirahara (Jepun), Mamamoo (Korea Selatan), Winifai (Macau), Sheron Silva (Sri Lanka), Annamyradow Begmyrat (Turkmenistan), Umut Sülünoğlu & Uğur Önür (Türkiye) dan Erik Lê Trung Thành (Vietnam).

Aina bergambar kenangan bersama penyanyi yang turut menyertai ‘ABU TV Song Festival 2023’.

Persembahan magis Aina menerusi lagu hit ciptaannya ‘Terus Hidup’ berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan.
Lagu ikonik tersebut juga pernah membawa tuah kepadanya pada awal tahun ini apabila dijulang sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu Ke-37, selain berjaya mempertahankan trofi Vokal Terbaik buat kali kedua berturut-turut untuk persembahan lagu yang sama.

Aina turut mengekalkan momentum kecemerlangannya pada tahun ini apabila berjaya merangkul trofi Penyanyi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 sekitar Julai lalu.

Mengenai persembahannya di ‘ABU TV Song Festival 2023’, Aina berkata, diberi peluang mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas antarabangsa merupakan satu penghormatan yang cukup istimewa buat dirinya.

“Peluang ini bukan saja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.

Aina bangga mewakili Malaysia ‘ABU TV Song Festival 2023’.

“Walaupun hanya menyanyi sebuah lagu saja, saya tetap bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia di persada dunia. Dalam masa yang sama, kesempatan beraksi di festival tersebut turut melengkapi hasrat saya untuk menghiburkan peminat di luar negara.

“Saya cukup terharu apabila mengetahui ada di antara mereka yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup ‘travel’ jauh semata-mata ingin menonton persembahan saya secara ‘live’.

“Rasa diri cukup bertuah kerana bukan sahaja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi handalan dari rantau Asia-Pasifik, malah dapat mengutip pengalaman bekerja dengan kru produksi televisyen antarabangsa yang cukup berdedikasi dan profesional,” kongsi Aina tentang pengalamannya menyertai ABU TV Song Festival 2023.

Konsert A Night With Aina Abdul 3.0

Pada 18 November ini, bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, Aina akan menghibur penonton menerusi konsert solo berskala besar ‘A Night With Aina Abdul’ 3.0 (ANWAA 3.0) anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE).

Konsert tersebut menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung dan Aina bakal mempersembahkan 33 buah lagu hits termasuk medley bertemakan gabungan genre moden serta irama klasik yang akan diiringi oleh pemuzik profesional orkestra dan band di bawah pimpinan pengarah muzik, Mac Chew.

Aina banyak melakukan kerja amal.

“Saya bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan PRIHATIN bagi menganjurkan konsert solo berskala besar di lokasi yang cukup gah seumpama ini. Sejujurnya, pengalaman membuat persembahan di Axiata Arena sewaktu AJL telah memberikan satu pengalaman memukau dan tidak boleh dilupakan sama sekali.

“Sebagai penyanyi, saya tentunya mempunyai impian untuk mengadakan konsert solo di sini. Kepercayaan yang diberikan ini sekali gus meletakkan penanda aras baharu dalam pencapaian rencana seni saya secara peribadi.

“Konsert ANWAA 3.0 ini juga merupakan tanda penghargaan kepada peminat setia yang amat saya sayangi khususnya kelab peminat saya AINATIONS yang tidak pernah berhenti menyokong dan menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkarya. Tanpa mereka, mana mungkin saya dapat bertahan dalam industri yang cukup mencabar ini,” katanya.

Artis berbakat besar!

Dalam pada itu, sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert tersebut akan diserahkan kepada Tabung Kasih PRIHATIN khusus bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori B40 dan asnaf di peringkat institut pengajian tinggi.

Previous articleNam Ron lebih senang untuk tenang!
Next articleBerdoalah…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here