Closeup of a table with a variety of biscuits and vegetables
Photo by Olga Kovalski on Pexels

Oleh Nury Kadir

Sudah berhari-hari Dang Anum mengidam buah nangka. Namun sudah puas Awang mencari sekeliling kampung tetapi tidak ada pokok nangka yang berbuah. Dang Anum yang sedang sarat mengandung, duduk di tangga dengan hati yang gundah kerana hajatnya untuk makan nangka tidak kesampaian. Tiba-tiba penghulu kebun memikul nangka yang baru dipetik dari kebun istana melintas di hadapannya.

Dang Anum merayu-rayu penghulu kebun agar memberinya nangka walaupun seulas sudah memadai demi bayi yang dikandung. Pada mulanya penghulu kebun enggan memenuhi pemintaan Dang Anum kerana takut akan dimurkai Sultan Mahmud. Namun setelah dirayu berkali-kali dengan linangan airmata, penghulu kebun menebuk nangka tersebut dan mengambil seulas untuk diberikan kepada Dang Anum.

Dipendekkan cerita, perbuatan penghulu kebun disedari Sultan Mahmud dan menimbulkan kemurkaan kerana buah nangkanya sudah ditebuk orang. Akhirnya, penghulu kebun mengaku telah memberikan seulas nangka milik Sultan kepada Dang Anum. Hanya kerana seulas nangka penghulu kebun dijatuhi dihukum bunuh. Manakala Dang Anum, walaupun dapat menjamah nangka yang diidamkannya namun hayatnya berakhir di tangan Sultan.

Itu sebahagian kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang yang berlaku pada 1699 di Kota Tinggi, Johor. Dang Anum hanya mengidam buah nangka yang boleh didapati sepanjang musim dan bukannya buah yang pelik-pelik. Cuma satu peliknya, dia mengidam buah nangka milik Sultan.

Photo by Mikhail Nilov on pexels.com

Sebenarnya, wanita mengandung mengidam macam-macam bukan satu perkara yang pelik. Malah tidak ada alasan ilmiah yang mampu menjelaskan mengapa wanita hamil mengalami gejala mengidam? Yang ada hanya teori yang belum dibuktikan secara ilmiah.

Ada teori yang mengatakan mengidam timbul kerana tubuh ibu hamil mengalami masalah kekurangan nutrisi tertentu. Misalnya, mengidam masakan daging mungkin menjadi petanda bahawa tubuh kekurangan protein, kalium dan natrium. Sebenarnya, bukan makan tersebut yang diinginkan ibu hamil, sebaliknya nutrisi yang terdapat didalamnya.

Bagaimana pula jika mengidam sesuatu yang bukan makanan seperti bedak, sabun, krayon, arang atau benda-benda kotor? Ada yang berteori jika ibu hamil mengidam semua benda itu, kemungkinan tubuhnya kekurangan zat besi. Namun itu semua hanya teori, hal mengidam adalah suatu yang misteri!

Menurut atau diabaikan

Bagi suami, adakah apabila isteri mengidam yang pelik-pelik perlu dituruti? Malah pernah tular di media sosial, isteri hamil mengidam benda pelik seperti mengidam arak dan memeluk lelaki ajnabi. Soalan itu pun telah diajukan ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wajarkah suami menunaikan permintaan pelik isteri atas alasan mengidam?

Jawapan yang dipetik dari https://muftiwp.gov.my: Suami wajib menunaikan keinginan (mengidam) isteri hamil terhadap makanan yang menjadi kebiasaan dan ia termasuk dalam konteks nafkah. Namun, mengidam isteri hamil yang bertunjangkan nafsu semata-mata dan perkara yang haram adalah dilarang.

Hal ini kerana mengidam bukanlah sesuatu darurat yang boleh menghalalkan perkara yang haram. Suami sewajarnya menapis agar setiap kemahuan tersebut tidak menjatuhkan maruah suami serta apa-apa keinginan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Fuqaha mazhab Syafi‘i telah membahaskan berkaitan nafkah yang perlu diberikan oleh suami untuk perbelanjaan isteri hamil yang mengidam makanan. Perkara ini disebut dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi:

يَنْبَغِي أَنْ يَجِبَ مَا تَطْلُبُهُ الْمَرْأَةُ عِنْدَ مَا يُسَمَّى بِالْوَحَمِ مِنْ نَحْوِ مَا يُسَمَّى بِالْمُلُوحَةِ إذَا اُعْتِيدَ ذَلِكَ. وَأَنَّهُ حَيْثُ وَجَبَتْ الْفَاكِهَةُ وَالْقَهْوَةُ وَنَحْوُ مَا يُطْلَبُ عِنْدَ الْوَحَمِ، يَكُونُ عَلَى وَجْهِ التَّمْلِيكِ فَلَوْ فَوَّتَهُ اسْتَقَرَّ لَهَا وَلَهَا الْمُطَالَبَةُ بِهِ وَلَوْ اعْتَادَتْ نَحْوَ الْأَفْيُونِ بِحَيْثُ تَخْشَى بِتَرْكِهِ مَحْذُورًا مِنْ تَلَفِ نَفْسٍ وَنَحْوِهِ لَمْ يَلْزَمْ الزَّوْجَ لِأَنَّ هَذَا مِنْ بَابِ التَّدَاوِي

Maksudnya: “Sepatutnya menjadi kewajiban apa-apa yang diinginkan isteri ketika mengalami apa yang disebut mengidam iaitu kemasinan sekiranya menjadi kebiasaan. Begitu juga wajib memberi buah-buahan, kopi dan apa-apa yang diinginkan isteri semasa mengidam yang dinyatakan sebagai nafkah yang bersifat pemilikan (tamlik). Sekiranya suami lambat menunaikan, maka si isteri berhak menuntutnya agar suami dapat melangsaikan. Jika isteri terbiasa dengan makan candu/dadah dan apabila dikhuatiri meninggalkannya menyebabkan kerosakan fungsi badan, maka suami tidak wajib memenuhi permintaan tersebut kerana ia termasuk dalam bab perbahasan perubatan bukannya nafkah.”

Berdasarkan kenyataan berikut, makanan yang memang menjadi kebiasaan isteri dan apabila isteri mengidam ketika hamil, maka wajib suami tunaikannya. Sebagai contoh apabila isteri suka makan benda-benda masin, maka apabila isteri hamil dan kemudian mengidam ikan masin dan ia termasuk tanggung jawab nafkah suami.

Tambahan lagi, jika makanan yang diidamkan itu memberi khasiat dan nutrien kepada ibu dan anak yang dikandung. Walau bagaimanapun, suami tidak diwajibkan memenuhi keinginan isteri sekiranya makanan yang diidamkan di luar kemampuan suami untuk memenuhinya atau bukan makanan yang biasa dimakan oleh isteri.

Adapun, isteri yang mengidam atau berkehendak sesuatu yang di luar kebiasaan dan ditegah oleh syarak serta tidak memberi sebarang kebaikan kepada isteri mahupun kandungannya seperti mengidam minum arak, makan daging khinzir, memegang badan lelaki ajnabi dan sebagainya, maka suami bertanggungjawab menghalang dan haram memenuhi keinginan tersebut.

Perkara tersebut dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 34, maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

Oleh yang demikian, dalam keadaan mengidam, isteri hamil yang mengalami perubahan hormon dan beremosi hendaklah sedaya upaya mengawal keinginan dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata. Suami juga perlu mengambil langkah yang lebih proaktif bagi mengalihkan perhatian dan keinginan tersebut dengan perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak.

Selain itu, pasangan suami isteri juga boleh merujuk ahli perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat serta tip bagi mengawal rasa mengidam selain membantu wanita hamil tersebut agar tidak terlalu melayan perasaan terhadap keinginan yang tidak syarii.

Lakukan Tiga Perkara ini

  1. Suami diharuskan memenuhi permintaan dan keinginan isteri lebih-lebih lagi dalam keadaan isteri yang sedang hamil, selagi mana permintaan isteri tersebut dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak. Hal ini kerana permintaan isteri ketika hamil juga merupakan sebahagian daripada nafkah isteri.
  2. Menjadi kewajipan seorang suami mendidik isteri sekiranya kelakuan melebihi batas syarak atau keinginannya pada sesuatu yang telah diharamkan.
  3. Wanita hamil sepatutnya memperbanyakkan amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT agar dapat mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi saat perit getir bersalin.

BERSAMBUNG
*Artikel seterusnya akan dijelaskan ungkapan “masin mulut ibu hamil.”

Previous articleSelamat Hari Deepavali!
Next articleKhasiat dan kebaikan serai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here