Oleh Syed Wafa
Foto Ehsan Muhammad Shah Radhi Hazvee
Jasa dan pengorbanan artis veteran yang pernah mewarnai dunia seni tanah air tidak pernah dilupakan. Baru-baru ini sempena majlis perasmian Restoran Ngam Ngam Neighbourhood Sdn. Bhd. di IOI City Mall,Putrajaya turut diadakan ‘Majlis Pemberian Bantuan Sumbangan Kepada Artis Veteran Malaysia’.
Majlis perasmian turut dihadiri selebriti terkenal tanah air antaranya Datuk S.Atan, Aiman Tino, Wak Doyok dan ramai lagi.
“Menjadi satu acara yang istimewa dan bermakna yang menandakan permulaan perniagaan kami di Restoran Ngam Ngam Neighbourhood Sdn. Bhd. yang kini sudah mempunyai empat cawangan. Kami menyajikan hidangan berkualiti dan selesa kepada penduduk kawasan berdekatan serta pengunjung yang mencari makanan yang lazat dan suasana mesra pelanggan,” kata pemilik francais restoran ini di cawangan IOI City Mall, Putrajaya dan juga seorang pelakon terkenal, Muhammad Shah Radhi Hazvee atau lebih dikenali Shah Radhy.
“Selain itu, kami juga tidak lupa jasa artis veteran yang pernah menghiburkan kita melalui ‘Majlis Pemberian Bantuan Sumbangan Kepada Artis Veteran Malaysia’ sempena perasmian restoran ini.
“Terus terang saya katakan majlis ini bertujuan untuk menghargai jasa pelakon veteran dalam industri hiburan Malaysia dan memberikan sumbangan kepada mereka sebagai tanda penghargaan.
“Dan majlis ini juga permulaan untuk saya dan Restoran Ngam Ngam Neighbourhood membantu 200 artis veteran yang memerlukan sumbangan,” kata beliau lagi.
Antara artis veteran yang menerima bantuan dan turut hadir menyerikan majlis tersebut, S. Mariam, Datin Fadilah Mansor, Delimawati, Chef Yang Jamil, Sophia ibrahim, Hairee Kool, Mak Wan Latah, Norlia Ghani, Khatijah Abu Hassan, Margaret Gan, Mubarak Majid, Datin Effa Rizan dan ramai lagi.
Bantuan berbentuk barangan keperluan seharian seperti beras, gula, minyak dan lain-lain lagi akan diberi setiap bulan kepada artis veteran yang layak.
Menu menarik di restoran ini antaranya chicken rendang healthy, unagi, salmon sambal olek dan banyak lagi. Kebanyakan menu-menu di restoran ini mengikut cita rasa masyarakat Malaysia.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.