Oleh Nafsiah Jani
Dalam usianya meniti 74 tahun namun tubuh ini masih kuat untuk menabur bakti dalam industri perfileman negara tidak kira Malaysia dan Indonesia. Kehebatannya beraksi dilayar perak membuatkan insan bernama Datuk Ahmad Tamimi Siregar bin Kamaruddin ini cukup dikagumi bakatnya.
Beliau amat mengagumi Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. RamleeBagilah apa saja watak, semuanya dapat dibawanya dengan begitu baik sekali. Tidak hairanlah bakat luar biasa ini turut dikagumi pengarah Indonesia. Selepas filem Surau dan Silek (sebuah filem Minangkabau 2017), Datuk Ahmad Tamimi ditawarkan untuk filem seterusnya walaupun wataknya cameo sahaja untuk awal dan akhiran cerita.
Watak bersahajanya menyebabkan pengarah dan penulis skrip, Arief Malinmudo dari Indonesia tertarik melamarnya untuk filem `Perjalanan Pertama’. Filem terbitan bersama Mahakarya Pictures (Indonesia) dengan D’Ayu Pictures (Malaysia).
Nampaknya bakatnya cukup dihargai produksi luar berbanding produksi tempatan. Pertama kali menjadi hero dalam filem `Perjalanan Pertama’, beliau dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023.
“Tak adalah banyak saya berlakon filem-filem dari Indonesia…tiga je. Tapi tak sangka mungkin dah rezeki saya, 40 dekad dalam bidang seni dapat jadi hero dan menang trofi pelakon Lelaki Terbaik lagi. Saya pun tak sangka `orang luar’ boleh terima lakonan saya. Saya tak pernah demand, orang Malaysia tak suka saya kot (sambil ketawa)
“Buat masa ini belum ada lagi tawaran dari mana-mana pihak. Karakter orang tua -tua bukannya banyak. Kini saya tengah tunggu Arief siapkan bio pic saya. Bila siap nanti saya akan menerbitkan sendiri filem berkisar perjalanan hidup saya sebagai anak seni,” kata anak guru agama ini lagi.
Menurut Ahmad Tamimi Siregar lagi, Genre itu belum pernah dibuat lagi dan Arief sendiri yang nak hasilkan skrip dan mengarah filem tersebut buat dirinya.
“Kalau tak ada aral, kami akan menjalani penggambaran di Malaysia dan Sumatera Barat, Indonesia. Cerita-cerita macam ini tidak boleh nak guna banyak kos… kalau tak laku atau gagal saya juga yang susah,” katanya lagi.
Kini Ahmad Tamimi Siregar tengah menunggu kelulusan Skim Wajib Tayang filemnya, Denu yang akan menemui penonton Mac tahun depan.
Ahmad Tamimi diperkenalkan dalam dunia perfileman menerusi filem Permintaan Terakhir (1975). Selain berlakon, Ahmad Tamimi juga adalah pengacara, pengarah drama dan filem. Antara drama arahannya adalah Ayahanda yang disiarkan di TV3.
Belum terfikir cari pengganti?
Walaupun isterinya, Datin Zuhaila Siregar Sulaiman sudah empat tahun meninggal dunia, namun sehingga kini Datuk Ahmad Tamimi Siregar masih belum terbuka hati mencari pengganti.
“Bukan saya tak nak cari isteri baru…ada jodoh saya tak menolak. InsyaAllah. Tapi bab jodoh-jodoh ini biarlah dulu. Bila saya lapang-lapang nanti sebab sekarang ini waktu kerja saya penuh setiap minggu.
“Lagipun, saya rasa senang dengan kehidupan sekarang. Saya tak sunyi sebab ada anak-anak yang masih tinggal bersama. Mata saya pun tak ada masalah, tidak silau atau mengantuk setakat memandu ke lokasi penggambaran,” kata bapa kepada tiga anak ini lagi.
Ahmad Tamimi menambah lagi, dah tua-tua ini dia tidak mempunyai impian atau menyimpan sebarang harapan.
“Entahlah, saya tak pernah rancang nak buat apa dan apa selepas ini. Saya ikut apa saja yang lalu depan mata. Saya bukannya otak bisnes minded…nak buat bisnes apa pun saya tak tahu atau terfikir. Sekarang ini, saya hanya buat apa yang saya enjoy dan suka. Makan duit pencen yang ada pun dah cukup,” katanya bekas pesara Istana Budaya (National Theatre) ini.”
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.