Image by wayhomestudio on Freepik

Oleh Asmat Fikri

Ramai para wanita menganggap masalah keputihan adalah sesuatu yang normal. Menurut statistik hampir 75 peratus dalam kalangan wanita berdepan masalah keputihan disebabkan aktiviti seksual sesama suami dan isteri. Kebanyakan wanita sering mengabaikan masalah keputihan ini dan menganggapnya adalah perkara biasa.

Mereka tidak sedar, keputihan ini boleh jadi penyakit dan sesuatu yang membahayakan jika dibiarkan. Justeru setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan asas yang mampu membezakan pengeluaran lelehan lendir dari faraj secara semula jadi dengan penyakit keputihan yang serius yang memerlukan rawatan perubatan.

Maksud dan Jenis Keputihan

Keputihan atau nama saintifiknya Fluor Albus atau Leukore adalah satu kondisi yang berlaku kepada wanita di mana keluarnya lendir berwarna putih atau seakan-akannya dari lubang faraj. Boleh jadi juga lendir itu berwarna krim dan berketul-ketul.

Keputihan ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu keputihan fisiologis dan keputihan patologik. Keputihan yang bersifat fisiologis biasanya normal dan tidak menunjukan gejala penyakit. Keputihan jenis ini sering berlaku semasa seseorang wanita mengalami kesuburan dan sebelum menstruasi (kitar haid). Lelehen lendir yang normal selalunya berwarna putih atau krim, tidak berbau serta tidak menyebabkan gatal pada bahagian faraj. Lendir yang dikeluarkan adalah sedikit dan berbentuk cecair.
Satu jenis keputihan lagi iaitu patologik lebih bersifat kronik dan menunjukkan tanda-tanda penyakit. Keputihan ini disebabkan lendir yang kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau, berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada bahagian faraj.

Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal di mana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Sebaliknya, keputihan patologis disebabkan oleh jangkitan kuman (bakteria dan/atau kulat) dan perlu dirawat.

Punca Keputihan

Disebabkan ramai yang menganggapnya normal, punca dan faktor penyebab keputihan juga sering tidak diendahkan. Boleh jadi faktor itu berpunca dari diri sendiri yang berkait rapat dengan cara penjagaan diri. Berikut disenaraikan punca berlakunya keputihan seperti yang dinyatakan menerusi laman rasmi info Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu myHealth.gov.my.

1. Faktor Kebersihan

Kebersihan di bahagian sulit wanita (faraj) perlu dijaga dengan baik agar jangkitan tidak berlaku. Wanita sentiasa digalakkan mencuci bahagian sulit dengan air bersih dan memastikan ia kering selepas membuang air kecil dan selepas aktiviti seksual. Kelembapan pada bahagian faraj akan menggalakkan pertumbuhan dan jangkitan mikroorganisma seperti kulat dan bakteria.

2. Faktor Hormon

Gangguan keseimbangan hormon dalam tubuh boleh juga boleh menyebabkan seseorang wanita menghadapi penyakit keputihan. Ketidakseimbangan hormon dalam darah disebabkan oleh beberapa perkara yang tersenarai di bawah:

– Rembesan hormon estrogen iaitu hormon pembiakan pada wanita hamil membolehkan kulat lebih mudah melekat pada dinding faraj.

– Pengambilan ubat, khasnya antibiotik yang berlebihan untuk jangka masa yang panjang menyebabkan bakteria semula jadi pada bahagian faraj mati dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan microorganisma patogen seperti bakteria atau kulat.

– Wanita yang mengalami tekanan akibat daripada masalah peribadi atau gangguan emosi yang lain akan mempengaruhi aktiviti normal otak dalam mengkordinasikan penghasilan hormon yang seimbang.

– Pengambilan pil perancang keluarga atau pil pencegah kehamilan turut menyumbang kepada ketidakseimbangan hormon dalam darah.

3. Faktor Gaya Hidup

Gaya hidup seseorang wanita sangat mempengaruhi status kesihatan seseorang itu. Wanita yang aktif dalam aktiviti seksual yang tidak sihat, misalnya melakukan aktiviti seks rambang dengan lebih daripada seorang pasangan lebih cenderung untuk mendapat pelbagai jangkitan pada bahagian faraj.

4. Faktor Kesihatan

Wanita yang menghadapi penyakit kencing manis, lebih mudah mendapat penyakit keputihan. Ini disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam rembesan faraj yang membolehkan pertumbuhan kulat yang banyak dan berkembang biak di bahagian faraj. Selain itu, wanita yang mempunyai system daya tahan badan yang rendah atau terjejas seperti pesakit AIDS, barah, atau leukimia juga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan faraj.

Untuk mengetahui cara pencegahan dan rawatan keputihan ini ikuti sambungan artikel ini di minggu hadapan. Sama-samalah kita menjaga kesihatan agar semua wanita diluar sana sihat sentiasa.

Previous articleTransaksi Emas Boleh Jadi Harus dan Haram (Bahagian 2)
Next articleKumpulan Jakel dan Ariani Sumbang RM3.5 Juta untuk Bantu Ringankan Beban Rakyat Gaza

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here