Oleh Nafsiah Jani
Esok Ahad, adalah hari terakhir pementasan Pintar Randai ‘Badang’ yang dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari 13 hingga 15 Oktober ini, khas buat kanak-kanak dan remaja.
Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Atan berkata, pementasan randai itu dianjurkan sebagai usaha mengangkat martabat seni persembahan tradisional kepada masyarakat terutamanya generasi muda.
“Alhamdulillah tiga hari berturut-turut `full house’ dewan kerana ramai yang berminat untuk menontonnya. Saya juga telah terbitkan teater Upin dan Ipin, Taman Baginda. Cerita seperti itu sudah sebati dengan jiwa saya dan apabila kita ada idea membawa satu unsur baru iaitu randai, ia sesuatu yang baru bagi diri saya.
“Pementasan kali ini lebih bersifat akademik berbanding diketengahkan secara komersial seperti sebelum ini. Teater ini kecil tapi berjiwa besar. Ia menampilkan bakat 11 kanak-kanak yang dibantu oleh pelakon dewasa bagi memberi semangat dan inspirasi untuk mereka kekal mencintai budaya tradisional.
“Saya lihat kini orang semakin sukakan teater komersial dan teater berkonsep moden ini kerana ia boleh mendatangkan keuntungan. Namun sekiranya kita hanya mementingkan keuntungan, saya takut yang menjadi asas kepada diri dan bangsa kita itu akan hilang begitu sahaja,” katanya lagi.
Pementasan ini merupakan inisiatif di bawah CTRA Production dengan kerjasama DBP dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2023 oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta Sanggar Pendeka.
Teater arahan Mohamad Yusmar Afeendi Yusof dengan skrip hasil nukilan Zaim Zainal ini adalah lanjutan daripada Program ASWARA Genius Kids yang dijalankan di Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) di bawah Dekan PuTRA ketika itu, Juhara Ayob. Ia bertujuan memberi pendedahan awal kepada anak-anak kakitangan dan alumni ASWARA yang berumur dari 7 – 16 tahun dalam mempelajari kesenian tradisional yang ada di Malaysia.
Pintar Randai `Badang’ mengisahkan sebuah kerajaan, Kerubung Lara yang dipimpin oleh Sultan Naim Shah yang ingin mengahwinkan anaknya, Puteri Seri Nilam Cahaya dengan Tengku Muda Alam Perkasa.
Sultan mahu mengadakan majlis yang gilang gemilang namun sebiji batu besar yang menghalang pemandangan istana. Dikerahnya sekalian rakyat menyertai satu pertandingan, sesiapa dapat mengalihkan batu besar itu, beliau akan dilantik menjadi Dato Laksamana”.
Berita itu didengari seorang pemuda bernama Badang. Lalu Badang berjumpa dengan Hantu Air dan menjadi kuat seperti sekawan gajah dengan memakan muntah Hantu Air itu.
Badang menang di dalam pertandingan itu dan dilantik menjadi Dato Laksamana. Namun Badang menjadi semakin tamak dan sombong akan kelebihannya. Dia mengimpikan Puteri Seri Nilam Cahaya sehingga berlaku pertelingkahan antara Badang dan Tengku Muda Alam Perkasa. Berjayakah Badang mendapatkan Puteri Seri Nilam Cahaya?
Teater ini dibintangi Zahid Baharuddin, Juhara Ayob, Eyman Hady Eyzendy, Aiman Syawal Merican Shaiful Izham, Ammar Asyraaf, Mohd Haizul, Aryan Afeef Mohd Haizul, dan lain-lain lagi.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.