Kehebatan Wahid Satay sebagai pelawak sehingga digelar 'Jerry Lewis Of Malaya'

Oleh Syed Wafa

SENIMAN Wahid Satay bukanlah satu nama asing bagi para peminat filem Melayu pada sekitar tahun 1957. Sebabnya bermula dengan filem “Pontianak” yang diterbitkan pada tahun berkenaan ia telah meletakkan populariti beliau di kelasnya yang tersendiri.

Filem tersebut bukan sahaja telah menenggelamkan nama asal beliau sebagai Abdul Wahid atau A. Wahid kepada Wahid Satay malah ia juga telah menyerlahkan sisi lain beliau sebagai pelakon.

Seniman legenda Wahid Satay awalnya sebagai pelukis dan buat set di Cathay Keris

Karier Wahid Satay sebagai pelakon bermula apabila pengarah L. Krishnan tertarik dengan bakat dan sifat humornya. Bersandarkan itu akhirnya Wahid Satay yang bermula sebagai tukang cat dan pelukis di Studio Cathay Keris, telah ditawarkan berlakon dalam filem “Pontianak” arahan BN Rao.

Selain berlakon beliau boleh meniru suara burung, ayam dan pelbagai lagi dan sering digunakan sebagai latar belakang untuk filem-filem tertentu terbitan syarikat berkenaan.

Pas kerja Wahid Satay sebagai kelasi kapal
Beliau mengelilingi dunia sebagai kelasi kapal
Kenangan bersama teman sebagai kelasi kapal

Bukan itu sahaja, malah beliau juga boleh meniru gaya Jerry Lewis pelakon komedi terkenal Hollywood.

Berbekalkan bakat dan minatnya kepada Jerry Lewis, setiap kali membuat persembahan pentas dengan gayanya tersendiri membuatkan beliau sering menjadi pilihan para penganjur persembahan pentas.

SATU babak dari filem “Pontianak Gua Musang” yang diterbitkan pada tahun 1964. Wahid Satay menyuapkan secucuk sate ke mulut Alias Congo.

“Pada waktu itu, bapak (pangilan mesra Wahid Satay) bukan sahaja mendapat undangan berlakon tetapi persembahan pentas pun banyak. Alhamdulillah bakat dan minat bapak kepada Jerry Lewis memberi banyak peluang bapak buat show.

“Tetapi bapak tak sangka pulak kebolehan dan bakat bapak ini telah menarik minat seorang produser dari Hollywood.

“Segalanya bermula apabila produser dari Hollywood berkenan dengan personaliti bapak yang suka meniru gaya Jerry Lewis.

“Sebenarnya bapak memang suka tengok gambar (filem) Jerry Lewis dan kemudian bapak membuat persembahan seperti beliau tetapi dengan gaya sendiri,” cerita Wahid Satay ketika saya temui beliau di kediaman anaknya di Eunos Cresent, Singapura pada 24 Julai tahun lalu.

MERAKAMKAN kenangan…Wahid Satay, Dr. Md. Nasir Ibrahim dan isteri, Azlina Jahaya, seniwati legenda Zaiton dan anak Allahyarham Aziz Sattar, Sandakiah. Berdiri dari kiri: Muzlina Abu Bakar(wartawan dari BebasNews), Syed Wafa, Rusedah Tawahid (Pengurus Sanisah Huri) dan wartawan Berita Harian Singapura, Ismawati Ismail.

Saya dan wartawan BebasNews, Muzlina Abu Bakar diundang mengikuti ‘rombongan’ Program Ziarah Prihatin FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) ke Singapura yang diketuai, mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim selama dua hari mulai 23 Julai 2022.

Pada pertemuan itu, Wahid Satay diundang menghadiri Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang berlangsung pada 2 Disember tahun lalu.

Sebagai menghormati undangan itu, beliau dan seniwati Zaiton hadir bagi memeriahkan FFM32 yang berlangsung di Encore, Melaka.

WAHID Satay (dua dari atas) bersama Seniwati Roseyatimah (tiga dari atas) dan Seniwati Latifah Omar.
Teman-teman artis merainkan kemenangan Wahid Satay sebagai ‘ Outstanding Performance’ di Festival Filem Asia Kuala Lumpur 1959

Disebabkan bakat dan kebolehan beliau meniru gaya Jerry Lewis ketika membuat persembahan ‘one man show’ Wahid Satay digelar ‘Jerry Lewis of Malaya.’

Bakat dan kebolehan Wahid Satay telah menarik minat seorang produser Hollywood yang mahu membawa Wahid Satay berlakon di sana dan akan menjadikan beliau seniman Melayu kedua dengan yang pertama Allahyarham Seniman Ibrahim Pendek dari Studio Malay Film Productions (MFP) yang berlakon dalam filem “The Spiral Road” bersama mendiang Rock Hudson dan Gena Rowlands pada tahun 1962.

Sayangnya, nasib tidak menyebelahi Wahid Satay dua minggu sebelum berangkat ke Hollywood, produser yang menawarkannya berlakon meninggal dunia.

“Sudah ditakdirkan bukan rezeki bapak. Tetapi bapak tidak menyesal kerana semua itu sudah ditentukan oleh-Nya,” cerita Wahid Satay sambil memberitahu sepatutnya pemergiannya ke Hollywood ditemani Produser Cathay Organisation, Loke Wan Tho.

Wahid Satay dan Maria Menado dalam filem ‘ Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ 1961
Wahid Satay dalam filem ‘Badang’ 1962

Menyingkap kembali kejayaan Wahid Satay sebagai pelakon yang membintangi lebih 30 filem bermula dengan “Pontianak” kerjayanya sebagai pelakon amat membanggakan kerana beliau menerima tawaran demi tawaran dengan memegang watak utama antaranya “Sumpah Pontianak” (1958), “Che Mamat Parang Tumpul” (1960), “Badang” (1962) dan “Naga Tasik Chini” (1966) dengan filem terakhirnya “Senario XX” (2005) berjaya mengekalkan popularitinya sebagai pelakon tetap dengan gaji bulanan sebanyak enam ratus sahaja ketika itu.

WAHID Satay bersama Seniwati Roseyatimah dalam filem ‘Badang’1962

“Bapak sendiri tak menduga daripada seorang kelasi kapal akhirnya bapak menjadi pelakon,” cerita Wahid Satay.

Wahid Satay mula berkerja sebagai kelasi kapal ketika berusia 16 tahun dan selama 10 tahun bertugas ‘di laut’ beliau sudah merantau ke seluruh dunia.

“Ketika itu tugas hakiki bapak menyelam dan membuka tali pukat yang terbelit pada kipas kapal ketika belayar. Disebabkan itu, sehingga hari ini telinga kiri bapak tidak boleh mendengar lagi. Jika tidak kerana ‘Pontianak’ bapak akan kekal sebagai kelasi kapal sehingga usia wajib bersara,” cerita Wahid Satay yang memulakan kariernya sebagai pelakon pada usia 27 tahun.

Wahid Satay bergambar kenangan bersama teman artis Mat Sentol dan Kasma Booty
Kenangan bersama teman-teman artis di Singapore

Wahid Satay, ayah kepada enam orang anak dan datuk kepada 16 cucu ketika menceritakan pengalaman pertama sebagai pelakon berkata;

“Berlakon bersama seniwati Datuk Seri Maria Menado dalam ‘Pontianak’ begitu bermakna dalam hidup bapak. Filem itulah yang telah memperkenalkan bapak kepada para peminat filem Melayu sejak dahulu sehingga hari ini. Bukan itu sahaja, malah bermula dari filem itulah nama bapak dari A. Wahid ‘ditukar’ kepada Wahid Satay atas nasihat Loke Wan Tho dan bapak ‘dihadiakan’ dua ribu.”

Keluarga besar Wahid Satay

Walaupun kini seniman legenda ini telah pergi meninggalkan kita namun filem-filem lakonannya menjadi khazanah yang amat berharga dalam industri filem Melayu.

Wahid Satay meninggal dunia dalam tidur pada 22 Mei 2023 di usia 93 tahun.

Al-fatihah dan salam takziah daripada kami di Ladybosz.

Pertemuan terakhir Syed Wafa (Penulis) bersama seniman legenda Wahid Satay di Singapore
Previous articleKesabaran dalam berniaga
Next articleKhasiat Bawang Putih

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here