Paling utama...Kita perlu ada kesabaran untuk berjaya !

Setiap orang mahukan sesuatu yang mudah. Siapa yang tidak mahu hidup senang- lenang tanpa sebarang usaha? Kita lihat di laman media sosial semua orang yang berniaga kaya-raya, hidup mewah, berjalan ke sana kemari. Berlumba-lumba ‘founder’ mempamerkan kekayaan dan kehidupan bahagia mereka. Kereta mewah berbagai bentuk, rupa dan warna, berderet di garaj terpamer gagah memukau mata yang memandang. Beg mahal bertukar pakai seperti menukar baju. Jam idaman harga puluhan dan ratusan ribu dipakai basahan seperti memakai gelang getah di lengan. Pasangan pula romantis dan sentiasa memuji-muji.

Semua yang memerhati hanya memberi perhatian apabila ‘founder’ ini meraih kesenangan. Tiada siapa yang memandang semasa kita susah.

Waktu susah, comot dan tidak berduit, tiada siapa tahu. Siapa yang nak menoleh kereta Kancil putih sopak sana-sini bila bergerak satu kampung berbunyi kerana nak servis kereta pun korek duit tabung. Siapa yang nak menoleh anak muda yang kurus kering berjalan kaki dengan beg pek di belakang.

Bersama ayah,bonda dan adik-adikku yang memberi kekuatan untuk saya berjaya!

Perjalanan yang perit menahan lapar kerana kurang kewangan, bekerja 18 jam sehari untuk meraih pendapatan lebih. Semua ini memerlukan kesabaran. Semua ini memerlukan hati yang kental dan kulit yang tebal. Apabila dihina, di keji kerana terpaksa meminjam di kala kecemasan.

Namun begitu untuk berjaya, perjalanan harus diteruskan. Berusaha sedaya-upaya tanpa merasai bahawa hidup ini tidak adil. Jangan sesekali dengki dengan rezeki orang lain. Setiap orang mempunyai ujian dan dugaan yang tersendiri.

Sejak remaja Saya sudah memasak membantu Ibu di rumah.

Bersyukur dengan segala nikmat dan kekurangan yang ada. Untuk berjaya kita harus pandai memujuk hati sendiri. Untuk berjaya kita wajib mempunyai minda yang positif. Apabila kita sentiasa bersangka baik dengan Allah dan orang di sekeliling kita, Allah dekatkan kita dengan hamba-Nya yang sentiasa membantu dan bahagia dengan kejayaan kita. Pintu-pintu rezeki dibuka seluas-luasnya.

Dengan kesabaran, wujud kekentalan hati. Dengan kesabaran, hadir jati diri. Sabar itu separuh dari iman, ianya membentuk peribadi yang unik disenangi dan disayangi orang di sekeliling kita. Bersinar diri dengan sabarnya hati. Dengan kesabaran kita mampu menerima kritikan dan kita akan belajar dari kesilapan. Maka, sabar itu adalah salah satu dari penentuan untuk ketenangan dan kejayaan.

Sabar dalam membuat pilihan yang betul. Sabar dalam menempuh ujian yang hebat. Sabar untuk tidak terikut-ikut dengan kehidupan orang lain yang mewah. Sabar tatkala keluarga meminta bantuan kewangan, sedangkan kita juga ‘sesak.’ Sabar membayar hutang yang tertunggak sebelum berbelanja dengan segala kemahuan. Sabar dengan penghinaan. Sabar dengan fitnah. Sabar untuk tidak mengikut rasa hati.

Suami tercinta,Datuk Omar Mustapha Ong banyak beri tunjuk ajar untuk berjaya dalam perniagaan…Kenangan kami mengerjakan haji di tanah suci.

Betapa indah sabar. Betapa pentingnya kesabaran dalam kehidupan.

Sifat sabar itu sangat sukar. Selalu kita memilih jalan pintas kerana tiada kesabaran. Untuk berjaya dalam perniagaan, kesabaran sangat penting untuk mengendalikan hari-hari yang sangat mencabar. Tidak ada usahawan berjaya yang tidak mengalami kejatuhan atau membuat kesilapan dan kerugian dalam berniaga. Akan tetapi, semua usahawan berjaya mempunyai sifat yang sama, iaitu sabar.

Dengan kesabaran tercetuslah kejayaan.

Kenangan terakhir bersama Arwah Ayah dan Ibu tiri, menyambut hari jadi saya dan adik yang bungsu pada Disember 2022. Keluarga harta yang sangat berharga.
Previous articleNZ Antik Malaya terkenal seluruh Malaysia
Next articleRahsia Wahid Satay di sebalik gelaran ‘Jerry Lewis of Malaya’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here