Oleh Asmat Fikri

BERPANTANG lepas bersalin. Isu yang selalu menjadi perdebatan di antara dua pihak iaitu yang masih mengamalkan amalan nenek moyang terdahulu dengan golongan professional dari kalangan pakar perubatan.

Penentangan ini kadang menjadi isu hangat walaupun topiknya sekadar berkisar tentang ‘laksa’ contohnya. Mengikut amalan tradisional, laksa tidak boleh dimakan kerana ‘bisanya’ boleh menyebabkan sakit badan, urat bengkak dan banyak lagi kesan negatif lain akibat dari semangkuk laksa.

Namun, bagi segelintir pakar perubatan, hujah mereka, laksa tidak salah. Laksa hanyalah makanan yang boleh dimakan oleh sesiapa saja tanpa ada batas.

Kesan dan akibat dari laksa itu semua hanyalah mitos yang bukan disebabkan oleh makanan tradisi dari Utara tanah air itu.

Itu baru bab laksa, belum lagi masuk bab lain yang ada dalam amalan berpantang. Ada pihak-pihak yang bertegang urat, akhirnya yang pening adalah kaum wanita yang baru melahirkan anak.

GAMBAR: JKKN/Warisan.

Nak ikut mazhab yang mana satu? Di kanan ada ibu yang menyarankan untuk berpantang, di kiri pula ada input dari pakar-pakar perubatan moden yang katanya tak perlu berpantang sebagaimana wanita di seluruh dunia. Malah, hujah mereka berpantang lepas bersalin ini hanyalah tradisi orang Melayu, tiada kaitan dengan mana-mana fakta kesihatan.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetriks dan Ginekologi, Datuk Dr. Mohd Rushdan Md Noor seperti yang pernah diterbitkan menerusi akhbar tempatan Harian Metro, katanya amalan berpantang tidak terhad kepada makanan, tetapi juga gaya hidup dan tingkah laku.

Menurutnya lagi, ia tidak mempunyai asas saintifik yang kukuh, tetapi ada di antaranya tidak memudaratkan kesihatan apabila diamalkan.

“Terdapat juga amalan pantang yang mempunyai tujuan tersirat bagi mengelak keburukan lain. Ia lebih tertumpu kepada gaya hidup dan tingkah laku.

“Oleh kerana kebanyakan amalan berpantang berasal daripada pengalaman orang dahulu, pengamal perubatan moden berpandangan bahawa pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan bukti kukuh untuk mengaitkan satu sebab dan akibat,” katanya.

Kata Dr Mohd Rushdan juga, banyak keadaan masyarakat silap dalam mengaitkan sesuatu punca dengan akibat, tambahan pula setiap orang mempunyai keunikan tersendiri. Maka tidak hairanlah, mengapa terdapat banyak jenis pantang dan senarai makanan yang tidak boleh dimakan kerana ia dikumpulkan sejak sekian lama.

“Sains mempunyai kaedah tersendiri untuk menentukan kekuatan hubungan di antara punca dan akibat. Hubungan ini juga perlu selari dengan kefahaman yang betul mengenai bagaimana badan manusia berfungsi (fisiologi),” katanya.

Beliau berkata, amalan berpantang atau tidak mengambil sesuatu jenis makanan, sebenarnya juga wujud di dalam perubatan moden, tetapi dengan alasan berbeza.

Justeru mari kita sama-sama lihat, adakah relevan lagi berpantang secara tradisional seperti yang diamalkan nenek moyang terdahulu? Berikut kami kongsikan beberapa petua amalan berpantang selepas bersalin dan juga kenapa perlu kita lakukan. Kemudian ibu selepas bersalin boleh menilai sendiri samada perkara demikian perlu atau tidak diikut.

Seperti yang pernah diterbitkan menerusi jurnal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi jabatan Penerbitan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari bertajuk ‘Amalan Perubatan Tradisional Melayu Bagi Penjagaan Ibu-Ibu Selepas Bersalin Di Negeri Kelantan’ menunjukkan setiap amalan tradisi itu mempunyai kebaikan tersendiri.

1. Bertungku
Lazimnya, amalan bertungku dilakukan hari ketiga selepas bersalin menggunakan batu sungai yang dipanaskan. Antara kelebihan bertungku adalah untuk mengecutkan peranakan, melancarkan pengaliran darah kotor atau lendir, melancarkan pengeluaran darah nifas, mengelakkan perut buncit, mengeluarkan angin serta merapatkan peranakan.

PUBLIC domain, via Wikimedia Commons

2. Urut
Seperti bertungku, mengurut juga dilakukan pada hari ketiga selepas bersalin oleh bidan atau tukang urut yang bertauliah. Tidak boleh sebarangan orang mengurut kerana ia dikhuatiri lebih memudaratkan. Antara kelebihan berurut seperti yang dinyatakan oleh pengamal perubatan tradisional adalah melembutkan urat, mengangkat peranakan, menghilangkan rengat (rahim sedang mengecut) serta melancarkan pengaliran darah. Selain itu urutan juga dapat membantu menghilangkan lenguh badan dan meringankan tubuh.

Selain dua amalan tradisional yang disebutkan, masih ada beberapa lagi yang juga penting dan mempunyai kebaikan tersendiri. Antaranya amalan berbarut, pantang larang makan dan hubungan suami isteri semasa dalam pantang bersalin. Isu itu akan disentuh lebih lanjut pada artikel yang lain.

-Bersambung pada artikel akan datang.

Previous articleDiana Danielle kuat demi anak-anak
Next articleBoleh Makan Sampai Kenyang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here