Oleh Nafsiah Jani / Foto : Instagram Diana / Universal Music

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti inginkan mahligai yang dibina berkekalan hingga ke jannah. Tambah pula dengan kehadiran cahaya mata yang dianggap menjadi pelengkap kebahagiaan sesebuah keluarga.

Manusia hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segalanya. Begitu juga dengan rumah tangga pelakon Diana Danielle atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, yang dibina lebih 10 tahun bersama pelakon dan pengarah Farid Kamil kecundang juga akhirnya.

Walaupun memegang status ibu tunggal, Diana Danielle ibu kepada Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 8, akan terus kuat menghadapi hidup dan cabaran yang bakal mendatang.

“Sejak hidup sendirian ini D memang kekok sedikit. Dulu ada orang disebelah dan ada seseorang untuk berkongsi cerita, berbincang dan mendengar segala masalah. Tapi sekarang tak ada lagi.

“Tambah pula D ini seorang yang fragile…sangat sensitif. Tapi D kena kuat kerana ini pilihan sendiri. D pun tak kisah apa orang nak kata. D tahu apa yang D buat. D kuat sebab anak-anak ada bersama dan mereka berdualah sumber kekuatan sejak dulu hingga sekarang ini. D tak mahu menoleh ke belakang lagi…hanya fikir nak besarkan mereka agar menjadi insan yang berguna dan berjaya dalam hidup,’’ kata Diana Danielle yang lebih senang membahasakan dirinya dengan panggilan `D’.

Menurut Diana Danielle, buat masa sekarang dia menjalani hidup dengan memikirkan perkara-perkara positif.

“D kuat sebab D memang sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu fikirkan perkara yang negatif. Kalau terlalu fikirkan benda negatif ia akan tinggalkan kesan dalam kehidupan seharian D dan akan buat D stress. Kalau D stress pun bukannya orang tahu. Itu sebabnya dalam hidup ini, D semakin matang. D nak hidup yang tenang dan gembira tanpa sebarang masalah.

“D bertuah sebab dapat banyak sokongan dari keluarga, kawan-kawan dan peminat yang banyak memberi semangat. Apa yang D lalui tak seteruk wanita lain diluar sana. Wanita lain mungkin tak ada pekerjaan dan tak ada tempat bergantung. Macam D ada kerjaya, ramai rakan-rakan dan segala kesusahan D boleh atasi sendiri.

“Sekarang hubungan kami tak perlulah D kongsi dengan masyarakat … biarlah rahsia. Takut kalau banyak sangat bercerita, benda itu akan mendatangkan cerita yang tidak baik di masa akan datang. D juga sudah memaafkan segala perbuatan Farid, itu buat D boleh maju kedepan…senang nak move on dan jadi orang yang lebih baik dan tidak terbeban dengan segala masalah.”

Ditanya mengenai pengganti, kata Diana buat masa ini dia belum terfikir untuk bercinta lagi.

“Habis iddah ini, D tak ada rancangan nak cari pengganti lagi…belum terfikir, Tapi ada juga yang cuba mengacau dan cuba nak berkawan dengan D. D tak layan…kalau layan akan jadi lain pula. Ibarat orang itu bertepuk sebelah tangan tak akan menjadi.

Menyanyi karier baru Diana Danielle

Walaupun bintangnya telah bersinar sebagai pelakon, namun Diana Danielle tetap memilih untuk melebarkan sayapnya dalam dunia nyanyian pula.
“Selain berlakon D nak lebarkan sayap jadi penyanyi pula. Malah ia juga salah satu cara untuk kembangkan kreativiti. Antara berlakon dengan menyanyi…berlakon tidak live …silap boleh ulang adegan itu. Ia bukan macam teater atau live singing.

“Menyanyi adalah cabang lain dan boleh dekatkan D dengan peminat. Kalau perasan, sekarang D berlakon setahun sekali saja. Dalam proses nak jadi penyanyi, D takut jadual berlakon akan ganggu perancangan yang telah disusun sebagai penyanyi. Ialah nak mula benda baru kenalah fokus terhadapnya.

“Lagu Bersama Dengan Rindu ini tentang patah hati, kehilangan, rasa rindu, tapi tak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. D suka lagu ini kerana melodi dan liriknya,’’ kata Diana yang memilih untuk muncul dengan konsep ‘patah hati’ selepas lapan tahun tidak melancarkan lagu baharu.

Menurut Diana, Untuk berjaya dalam bidang baru ini, dia tidak percaya pada jalan pintas.

“Dalam hidup ini jika kita nak berjaya dengan karier baru pasti banyak rintangan. D tak kisah bagi mengubah persepsi orang dan meyakinkan kemampuan D sebagai penyanyi. D tak pernah perasan bagus, untuk jadi yang terbaik D juga kena build keyakinan orang terhadap bakat D dengan mengikuti kelas vokal dan belajar dengan beberapa guru termasuk Cikgu Sarah Ismail.

Ketika ditanya tentang minatnya menjadi penyanyi disebabkan sekadar hobi, mengejar award ataupun ingin melangkah jauh ke peringkat antarabangsa. Dengan pantasnya Diana Danielle mengiyakan semua soalan tersebut.

“Sejak kecil lagi D memang minat menyanyi. Bila nak menyanyi D akan paksa kawan-kawan untuk mendengarnya. Itu belum lagi kawan-kawan mak yang datang ke rumah akan dihiburkan dengan persembahan D. Boleh kata setiap hari D akan menyanyi dalam bilik sehingga jam 4 pagi.

“Dulu D tak ada ruang dan peluang seperti sekarang dimana syarikat Universal Music Malaysia berminat ambil D menjadi artis mereka. Itu yang buat D yakin dan teruja nak keluarkan single terbaru.

Tambah Diana lagi,“D tak kisah tentang kejayaan, yang penting D dapat kepuasan menyanyi dan orang suka muzik yang dibawanya dan itu sudah cukup membahagiakan D. Buat masa ini D juga tengah berusaha menghilangkan perasaan “ stage fight”

“Bila D takut nak naik pentas, harap ada orang yang dapat pujuk dengan kata-kata terlalu disayangi seperti ‘U jangan risau’…`it’s ok,”. Macam berlakon…orang tak nampak kesalahan yang D lakukan ketika berdialog. D ingat lagi, masa mula-mula nak berlakon, nak cakap dialog simple pun susah. Ada masa, satu dialog pun kadang terpaksa diulang sehingga 20 kali.

“Bila dah teruk sangat, biasalah kena marah dengan pengarah. Awak ni berlakon macam kayu…tak pandai berlakonlah…harap muka saja cantik dan macam-macam lagi. Semua kutukan D dah pernah rasa. Itu sebabnya sekarang D dah lali dan tak kisah,’’ ujarnya lagi yang menganggap proses sebegini bakal mematangkan dirinya.

Single Bersama Dengan Rindu hasil ciptaan Ezra Kong telah dirakamkan sebelum kemelut rumah tangganya berlaku. Selepas ini beberapa single terbarunya dalam Bahasa Melayu dan Inggeris juga akan dipasarkan sebelum Diana muncul dengan album solo pertamanya pada tahun hadapan.

Diana prihatin dalam menjaga kesihatan dan kecantikan.

Walaupun usianya sudah melewati 40-an dan bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata namun kecantikan mukanya yang ayu, putih bersih serta badan seperti anak dara mencerminkan keperibadian Diana Danielle yang cukup menjaga penampilan sebagai pelakon dan penyanyi.

Bercakap mengenai penjagaan kecantikannya, kata Diana,“D tak ada rahsia-rahsia nak kekal cantik macam sekarang. Nak cantik dan sihat senang saja, hargai diri sendiri, jaga pemakanan dan jaga tidur. Faktor lain tengok persekitaran kita agar tidak dikelilingi rakan-rakan toksid.

“Selain itu, setiap masalah yang timbul perlulah ditangani secara positif dan jangan ambil ianya secara serius. Untuk kekal jelita, kita juga perlu bersikap sentiasa memaafkan dan jangan ambil sesuatu masalah itu secara serius.”

Menurut Diana,“Sebenarnya D tak ada masalah dengan berat badan. Badan D senang nak naik dan senang juga nak turun. Apa yang mampu D lakukan adalah menjaga kuantiti makanan yang diambil serta rajin membuat senaman.

“Kalau nak slim macam D, makan bila lapar dan jangan makan terlalu banyak. D juga akan pilih makanan yang akan bekalkan tenaga. Nak cantik kita tidak semestinya perlu jadi macam orang lain. Kita kena yakin, bersyukur dan bangga dengan kecantikan diri sendiri.”

@ladybosz.officiial #ladybosz #rahsiakecantikan #personaliti #artis #artismalaysia #artistsoftiktok ♬ original sound – LadyBosz

Previous articlePes Ratu Tumis Rasa Rosz hangat di pasaran
Next articleAmalan berpantang, perlu atau tidak?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here