Oleh Syed Wafa/Foto Syed Wafa

WALAUPUN hanya sempat berlakon tiga filem sepanjang penglibatannya dalam dunia seni namun ia memberi kenangan indah dan bermakna bagi beliau kerana berpeluang berlakon di bawah arahan tiga pengarah hebat.

Betapa tidak kerana tiga pengarah ini dengan yang pertama Allahyarham S. Kadarisman dengan filem “Darma Kesuma” (1971), Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (“Laksamana Do Re Mi – 1972) dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin (Menanti Hari Esok – 1977) beliau masih dikenali sehingga hari ini walau ke mana dia pergi kerana setiap filem ada cerita tersendiri buat dirinya.

Dayang Sulu antara seniwati yang begitu diminati era 60an

“Sudah lima dekad ia berlalu tetapi kadangkala saya terasa bagaikan semalam saya ditemukan dengan Allahyarham Pak Kadar, Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham Jins Shamsuddin dalam set penggambaran filem arahan mereka.

“Tetapi diantara mereka bertiga Pak Kadar (S. Kadarisman) yang telah membuatkan nama saya lekat di bibir para peminat filem Melayu sehingga hari ini,” kata Dayang Sulu ketika ditemui baru-baru ini.

Wajah terkini Seniwati Dayang Sulu-masih jelita.

Menurut Dayang Sulu, Pak Kadar bukan sahaja orang yang bertanggungjawab membawanya ke dunia filem tetapi beliau jugalah yang telah memberi ‘sesuatu’ yang begitu bermakna dalam hidupnya sehingga hari ini.

“Saya masih ingat hari itu…apabila Allahyarham Ed Osmera bawa saya berjumpa Pak Kadar. Pertama kali tengok muka Pak Kadar…saya rasa ‘takut’ sebab nampak ‘garang’ macam watak-watak yang dibawanya dalam filem tetapi apabila ayat pertama yang keluar dari mulutnya hati saya rasa tenang.

“Pak Kadar bertanya apakah betul saya nak jadi pelakon dan saya mengiyakan. Tetapi apabila saya beritahu nama saya, matanya tajam tanpa berkelip memandang saya dengan wajah serius.

“Tiba-tiba Pak Kadar kata tak boleh. Saya terus tunduk dan mulai sedar bahawa impian saya nak jadi pelakon hanya angan-angan sahaja.

“Tetapi apabila Pak Kadar kata tak boleh ‘pakai’ nama itu dan kemudian bertanya saya berasal dari mana dan akhirnya beliau memberi saya nama baru.

Allahyarham Seniman Legenda S. Kadarisman yang bertanggungjawab memberi nama Dayang Sulu.

“Masih segar dalam ingatan saya, Pak Kadar dengan tersenyum berkata mulai hari ini… lupakan Siti Nadia binti Yusof dan ingat nama ini…Dayang Sulu,” cerita Dayang Sulu mengenai asal nama glamornya itu.

Menurut Dayang Sulu, Pak Kadar mendapat ilham memberi nama glamor itu kepadanya apabila diberitahu tempat asal beliau dari Kepulauan Sulu, Filipina.

“Pak Kadar mendapat ilham nama glamor saya itu apabila teringat nama Datuk Sri Maria Menado yang berasal dari Manado, Sulawesi Utara, Indonesia,” kata Dayang Sulu.

Menurut Dayang Sulu, apabila hari pertama melangkah masuk ke set penggambaran filem “Darma Kesuma” arahan S. Kadarisman beliau ‘melupakan’ nama Siti Nadia Yusof.

Menceritakan pengalaman bekerja dibawah arahan S. Kadarisman, Dayang Sulu berkata;

“Pak Kadar serius dan garang apabila duduk di kerusi pengarah kerana beliau mahukan kepuasan dan yang terbaik daripada para pelakonnya.

“Bagaimanapun apabila perkataan ‘cut’ keluar dari mulutnya beliau adalah seorang pengarah berwajah serius tetapi baik orangnya. Sampai saat ini saya tidak mampu membalas jasanya yang telah memperkenalkan saya kepada para peminat dan industri filem Melayu.”

DAYANG Sulu bersama S. Rosley dan Taman Idris dalam satu babak filem “Darma Kesuma.”

Selain Dayang Sulu filem “Darma Kesuma” terbitan Merdeka Studio pada tahun 1971 turut dibintangi Allahyarham S. Rosley, Allahyarham Hussein Abu Hassan, Allahyarham Tamam Idris dan Allahyarham Latiff Borgiba.

Selepas filem itu, Dayang Sulu ‘dipinang’ P. Ramlee untuk membintangi filem arahannya “Laksamana Do Re Mi” dan ketika itu beliau telah mempunyai dua orang anak, Mohd. Bumidin (Boy) berusia dua tahun dan Suzanne Roaes baru berusia setahun.

Dalam filem itu, Dayang Sulu melakonkan dua watak iaitu Puteri Buloh Betong dan Puteri Puncak Mahligai. Selain beliau turut membintangi filem ini antaranya Allahyarham P. Ramlee, Allahyarham AR Tompel, Allahyarham Ibrahim Din dan Allahyarham Hussein Abu Hassan.

SATU babak dari filem “Laksamana Do Re Mi.” Dari kiri: Ibrahim Din, Dayang Sulu, AR Tompel dan P. Ramlee.

Menurut Dayang Sulu, sampai hari ini beliau tidak akan lupa pengalaman ketika di set penggambaran filem “Laksamana Do Re Mi” walaupun terpaksa kejar bas seawal 7.00 pagi dari Kampung Baharu agar sampai di Studio Merdeka, Hulu Kelang sebelum 8.00 pagi.

“Setiap kali Arwah kata ‘cut’ itulah saat yang paling kami tunggu kerana Arwah apabila bekerja memang serius tetapi bila waktu rehat kami terhibur dengan cerita-ceritanya yang lucu dan menghiburkan. Sikapnya itu membuat kami semua rasa happy bagaikan sebuah keluarga.

“Disebabkan sikapnya itu kami tidak kisah shooting mengambil masa sampai tiga bulan tetapi kami sentiasa berhati-hati apabila tiba hari Jumaat.

“Saya mendapat tahu daripada kru hari Jumaat adalah hari yang boleh membuatkan Arwah ‘bad mood’ andai kata siapa pun dalam set buat silap.

“Seingat saya sepanjang penggambaran filem itu, kami semua sentiasa berhati-hati kerana tidak mahu menempuh ‘saat yang menakutkan’ itu tetapi entah di mana silapnya sepanjang tiga bulan shooting ‘satu hari Jumaat’ itu tiba-tiba kami dikejutkan dengan ‘suara keras’ Arwah marah Mak Enon yang melakonkan watak Dayang Istana.

TIGA pelakon utama “Laksmana Do Re Mi.”

“Saat itu, para pelakon dan semua kru diam kerana takut. Dalam suasana studio yang sunyi sepi tiba-tiba Mak Enon bersuara dan minta maaf kepada P. Ramlee.

“Alhamdulillah selepas itu suasana kembali seperti biasa dan kami kembali happy. Tetapi sampai selesai shooting kami tidak tahu dan tidak pernah bertanya apa silap Mak Enon (Arwah) dan kenapa P. Ramlee naik angin,” cerita Dayang Sulu pengalamannya ketika di set penggambaran filem berkenaan.

Menurut Dayang Sulu yang dipanggil ‘Darling’ oleh Allahyarham sampai hari ini beliau terkilan apabila tidak bertanya pengarah berkenaan mengenai filem “Airmata Di Kuala Lumpur.”

Kenangan manis bersama penyanyi legenda dunia Tom Jones

“Pada hari terakhir shooting selepas menyuruh kru ‘wrap’ Allahyarham panggil saya dan bertanya apakah saya sudi berlakon filem terbarunya “Airmata Di Kuala Lumpur.” Sudah pasti saya kata setuju.

“Allahyarham berjanji apabila skrip yang ditulis Allahyarham Aimi Jarr siap, saya akan dipanggil, sayangnya saya tidak bertanya watak dan jalan cerita berkenaan,” cerita Dayang Sulu yang tidak mungkin melupakan pengalaman berlakon di bawah arahan P. Ramlee walaupun mengambil masa lama tetapi menghormati jiwa seniman sejati yang suka berkerja dalam suasana happy dan tenang.

Filem ketiga dan terakhir lakonan Dayang Sulu adalah “Menanti Hari Esok” arahan Jins Samsuddin.

Penulis bergambar kenangan bersama Seniwati Dayang Sulu dan Seniwati Noor Azizah yang datang melawat beliau serta Kak Lin wartawan tersohor tanah air.

“Berlakon dibawah arahan Jins Shamsuddin, memberi saya suasana kerja yang baru dan berlainan kerana beliau seorang yang tegas dan serius demi mencapai kepuasan.

“Beliau tidak berganjak daripada apa yang dikatakan

dan saya masih ingat satu babak di hospital dan beliau mahu babak ‘watak saya’ melahirkan anak dalam lif. Saya tidak berani membantah dan ikut sahaja arahan beliau,” cerita Dayang Sulu yang pernah berlakon drama “Oh Kuala Lumpur” bersama Datuk Nancie Foo sebelum mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ kepada dunia filem.

Kini Dayang Sulu hidup bahagia di samping empat orang anaknya, Mohd. Bumidin,55, Datin Suzanne Roses,52, Mohd. Faizal,44, Mohd. Fairus, 42 tahun di samping lima orang cucu.

Beliau yang kini tinggal bersama anak keduanya, Suzanne Roses, sentiasa ditemani anak Suzanne, Tengku Muhammad Ameer jika beliau mahu menjamu selera di Cafe Makan Heritage usaha sama anaknya, Mohd. Fairus dan rakan kongsi yang juga kawan kolejnya, Dafh dan Najib.

DAYANG Sulu bersama cucunya, Tengku Muhammad Ameer yang selalu menemani ke Cafe Makan Heritage dan anaknya, Mohd. Fairus.

Apabila ditanya apakah beliau akan berlakon semula jika ada tawaran, Dayang Sulu berkata;

“Berlakon…mungkin tidak sebab pada usia begini saya lebih seronok menghabiskan masa melayan cucu. Bagaimanapun untuk menghilangkan kerinduan para peminat yang pernah menyokong kerjaya saya dahulu, tidak lama lagi saya akan muncul dalam satu episod program di RTM.

“Saya akan muncul dalam ‘Nostalgia Dayang Sulu’ yang akan disiarkan di RTM 1 tidak lama lagi. Dalam program itu nanti para peminat akan dibawa mengikuti hidup saya hari ini.

Penggambaran dilakukan sebelum bulan puasa di Pustaka Peringatan P. Ramlee, di Setapak dan Cafe Makan Heritage.

“Saya terima untuk muncul dalam satu episod program ini kerana penerbitnya, Kuza kerana saya kenal baik beliau dan emaknya.

Previous article
Next articleKonsert Malayneum 23 Butterfingers 7 Oktober ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here