Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA
“Kalau dah suka Mak Minah tu mintak duit aduan dulu.”
“Aduan? Nak adu kat sapa tu Mak Minah”
“Bukan…itu cakap orang Puteh. Cakap orang Melayu…pendahuluan.”
“Oh…advance.”
“Aha…duit gedeban.”
BAGI anda yang pernah menonton filem “Masam-Masam Manis” yang telah banyak kali ditayangkan di stesen televisyen tentu masih ingat dialog lucu dalam babak antara Mak Minah dengan ‘Cikgu’ Norkiah yang mahu menyewa bilik di Lodging (Penginapan) Mak Minah.
Meskipun sebagai pemilik penginapan, Mak Minah, hanya muncul beberapa babak sahaja dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1965. Namun dialog beliau bukan sahaja membuat penonton ketawa malah sejak itu nama Mak Minah semakin popular dan sentiasa lekat dan bermain di bibir para peminat filem Melayu.
Bukan setakat ‘duit gedeban’ malah dialog ‘Mak Minah yang janda drebar teksi tak masuk mintak’(meminang) dalam babak Cikgu Shaari (P. Ramlee) memecah dinding kerana akan berkahwin dengan ‘Cikgu’ Norkiah (Sharifah Hanim) juga membuatkan penonton tidak kering gusi.
Begitulah berkesannya watak Mak Minah atau nama sebenarnya Aminah Hashim yang dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1927.
Sebelum berlakon filem, Allahyarham Mak Minah memulakan kerjayanya sebagai pelakon di pentas bangsawan ketika berusia 11 tahun pada tahun 1938. Grup bangsawan yang disertai Mak Minah ialah Bangsawan Aman Belon.
Setelah mengikuti grup bangsawan, Mak Minah mula berlakon filem pada usianya 36 tahun setelah mengikat kontrak dengan Studio Merdeka, di Kuala Lumpur pada tahun 1963.
Pada tahun berkenaan Mak Minah berlakon empat filem dengan tiga daripadanya arahan Salleh Ghani iaitu “Tangkap Basah,” Ibu Ayam” dan “Anak Manja.
Sejak itu, satu demi satu filem terbitan Merdeka Studio beliau lakonkan dan sepanjang penglibatannya beliau telah membintangi 23 filem.
Sepuluh daripada 23 filem yang dilakonkan Mak Minah adalah arahan P. Ramlee antaranya “Si Tora Harimau Jadian” dan “Ragam P.Ramlee” (1964), “Do Re Mi”(1966), “Keluarga 69,”(1967), “Ahmad Albab, Anak Bapak”(1968) dan “Kanchan Tirana”(1969).
Tetapi tidak pernah Mak Minah menduga “Masam-Masam Manis” filem ke-10 lakonannya dan ketiga di bawah arahan P. Ramlee yang mana sebelum itu filem “Si Tora Harimau Jadian” dan “Ragam P. Ramlee” (1964) telah meletakkan nama Mak Minah sebagai Seniwati popular dan diminati ramai.
Sebenarnya bukan mudah untuk popular tetapi kalau sudah rezeki Mak Minah tidak siapa yang boleh menafikan.
Bagaimanapun di sebalik populariti Mak Minah yang hanya diberi peranan kecil namun sesuatu yang harus ‘diterima’ apabila tiba-tiba Mak Minah dikatakan mati dibunuh pada peristiwa 13 Mei 1969!
Kisah bermula kononnya ‘Mak Minah’ mati dibunuh kerana perutnya terburai apabila dirodok dengan parang ketika keluar dari Panggung Federal, di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Rumours itu cepat tersebar bersandarkan popularitinya!
Bagaimanapun realitinya yang mati dibunuh bukan Mak Minah tuanpunya ‘Lodging Mak Minah’ dalam filem P. Ramlee!
Namun adalah difahamkan Mak Minah yang mati dibunuh bukanlah seniwati popular sebaliknya orang yang mempunyai nama sama dengan beliau!
Sebabnya berdasarkan perjalanan seni Mak Minah, beliau masih lagi berlakon dengan dua filem terakhir lakonannya dibawah arahan P. Ramlee.
Pada Program Pengkisahan Allahyarham Seniman Hussein Abu Hassan sempena Program Ekspresi@Finas pada 23 Oktober 2022, saya berpeluang bertemu dan menemuramah Allahyarham Seniman Arman Yadi yang berlakon sebagai ‘’Rizman’ dalam filem “Gelora” dan hadir di majlis berkenaan.
Beliau yang ditanya mengenai cerita yang kononnya Mak Minah mati dibunuh pada 13 Mei 1969 menafikan cerita berkenaan sambil berkata;
“Kalau benar Mak Minah telah ‘tiada’ mana mungkin beliau terlibat dalam dua filem arahan P. Ramlee selepas peristiwa 13 Mei 1969.
“Mak Minah turut berlakon dalam filem “Gelora” (1970) sebagai Mak Engku. Bukan itu sahaja, malah beliau juga berlakon dalam filem “Putus Sudah Kasih Sayang” sebagai pekerja Kelab Malam terbitan tahun 1971.
“Semua itu hanya rumours dan berita palsu. Saya berpeluang berjumpa ketika kami sama-sama dalam set penggambaran filem “Gelora.”
Mak Minah, isteri kepada Hashim Shukor dan ibu kepada tiga orang anak meninggal dunia kerana kencing manis pada usia 46 tahun pada tahun 1973.
Jenazah Allahyarham Aminah Hashim atau Mak Minah telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bakti, Batu 6, Muar, Johor.
Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.