Oleh: Khadijah Ibrahim
LAGU “Cekap” dendangan Balan Kash yang dikeluarkan sempena sambutan bulan kemerdekaan baru-baru ini, bukan sekadar karya tempelan bagi melancarkan perjalanan seninya.
Sebaliknya, “Cekap” bukan sahaja memperlihatkan sisi baharu Balan Kash sebagai seorang artis serba boleh, malah menyatukan kisah kebanggaan dan identiti Malaysia dalam sebuah video muzik (MV) yang sarat dengan maksud tersirat.
Lagu “Cekap” yang menjadi judul album penuh pertama Balan Kash dalam bahasa Melayu, merupakan lagu yang menampilkan gabungan unik antara hip-hop moden, muzik klasik India dan nuansa tradisional Malaysia.
Balan Kash yang sudah tembusi pasaran Kollywood dan dunia hiburan Tamil itu berkata, dia menggunakan perkataan cekap kerana dalam slang tempatan ia membawa maksud “tajam” atau “on-point” adalah gambaran keberanian dan keyakinan dalam menyuarakan sesuatu yang dekat di hati rakyat negara ini.
“Karya ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia merupakan peringatan bahawa negara kita sudah 68 tahun mengecapi kemerdekaan, dan di sebalik perbezaan warna kulit, bahasa dan budaya, rakyat Malaysia tetap berkongsi satu semangat yang sama, semangat perpaduan.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya kita semua mempunyai cerita berbeza tetapi berkongsi satu semangat yang sama. “Cekap” adalah cara saya meraikan kebebasan, kepelbagaian dan juga kekuatan yang kita ada bila bersatu.
“Video muzik ini adalah dedikasi saya kepada tanah air tercinta, supaya kita sentiasa ingat bahawa walau apa pun cabaran, kita tetap satu,” katanya yang menganggap “Cekap” adalah karyanya yang paling peribadi.

Tambah Balan Kash, video muzik “Cekap” arahan Kinggolddigga, bukan sekadar hiburan tapi membawa penonton menyelami kisah visual penuh simbolik tentang makna identiti dan perpaduan rakyat Malaysia.
Awalan video muzik tersebut menunjukkan adegan tradisional dikir barat, di mana Balan Kash berdiri di tengah-tengah bulatan pemuzik, melambangkan gabungan warisan budaya dengan gaya kontemporarinya.
“Saya mahu bermula dengan sesuatu yang melambangkan Malaysia. Dikir barat dekat dengan hati kita semua, dan saya percaya muzik moden boleh hidup bersama tradisi dengan harmoni.
“Kenapa pusat derma darah pun menjadi pilihan untuk dipaparkan dalam video muzik ini? Pusat derma darah, metafora kuat bahawa biarpun berbeza rupa, setiap rakyat Malaysia tetap berkongsi darah yang sama.
“Apa pun bangsa atau agama kita, darah kita tetap sama, merah. Itu asas perpaduan yang saya mahu orang rasa bila tengok MV ini,” tambahnya.
Kemuncak video muzik ini terlihat ketika babak “Circle of Unity”, apabila sekumpulan individu berbilang kaum mencelup tangan mereka ke dalam cat merah lalu membentuk lingkaran identiti bersama.
Adegan dramatik antara Balan Kash dan pihak polis pula diakhiri dengan perjabatan tangan, simbol perdamaian dan persefahaman. Visual ini diperkukuh dengan babak penuh gaya dengan latar merah menyala yang menegaskan semangat, keberanian dan cinta kepada tanah air.
“Bagi saya, “Cekap” bukan hanya sebuah lagu, tetapi cerminan semangat Malaysia yang saya bawa sejak kecil. Saya dibesarkan di Klang, di tengah masyarakat majmuk yang penuh warna-warni.
“Dari situ saya belajar bahawa kekuatan kita datang apabila kita semua bersatu, dan bukan bila kita berpecah. Dan itulah roh sebenar yang saya mahu zahirkan dalam MV ini,” ujar Balan Kash dengan penuh semangat.
Malah lagu “Cekap” terbitan Balan Kash Entertainment yang dihasilkan di bawah MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) itu turut tercalon di Anugerah Industri Muzik ke-24 untuk kategori “Lagu Hip-Hop Terbaik”.
“Kami daripada Balan Kash Entertainment mengucapkan ribuan terima kasih kepada KKMM melalui MyCreative Ventures di atas sokongan kerajaan yang berterusan kepada Pembangunan industri kreatif melalui program Dana Kandungan Kreatif yang diperkenalkan,” ungkapnya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









