Siti Nurhaliza (dua dari kiri) bersama orang penting AIM24.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PADA 13 September ini, bertempat di di Arena of Stars, Genting Highlands akan terjawablah persoalan, siapakah pemenang untuk 24 kategori utama Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24).

AIM24 mempertandingkan sejumlah 30 kategori secara keseluruhan termasuk empat kategori terbaharu iaitu ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik’ serta ‘Kugiran Terbaik’. Sebanyak enam kategori akan diumumkan melalui Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025.

Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, pasangan serasi Sherry Al-Hadad dan Alif Satar sekali lagi terpilih menjadi hos bagi mengemudikan acara berprestij itu.

Kumpulan Exists akan mengadakan persembahan di AIM24 pada 13 September ini.

Rosmin berkata, pemilihan hos, para penghibur dan penyampai trofi itu dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam industri muzik tanah air selain ada kaitan dengan kandungan AIM24 itu sendiri yang bertemakan ‘Kemuncak Segala-Galanya’.

“Untuk persembahan, Dolla bakal bergabung dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii di malam AIM24 menggambarkan pelebaran pengaruh Dolla yang semakin melangkah ke peringkat global.

“Begitu juga dengan Ernie Zakri yang telah mencipta fenomena baharu di Indonesia apabila bergabung bakat dengan komposer serta penyanyi masing-masing, Ade Govinda dan Anggi Marito. Mereka juga finalis bagi kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik’ AIM24.

“AIM24 bertambah berprestij dengan adanya Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dalam satu segmen persembahan istimewa. Manakala, penampilan Exists juga cukup relevan kerana mereka antara kugiran pop legenda yang masih aktif membuat konsert di seluruh Malaysia serta negara serantau,” jelasnya.

Tambah Rosmin, AIM24 juga tidak meminggirkan bakat artis-artis baharu dan kali ini semua finalis kategori ‘Artis Baru Terbaik’ iaitu Eric Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone akan turut beraksi hebat di pentas malam kemuncak AIM24.

Barisan artis yang akan menjayakan persembahan dan menyampaikan trofi di AIM24 nanti.

Apa yang menarik, pemenang 11 kategori AIM24 cukup bertuah kerana ganjaran lumayan berjumlah RM700,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) menanti mereka kelak.

Pemenang kategori ‘Album Terbaik’ akan menerima dana sebanyak RM200,000 manakala kategori ‘Artis Baru Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ’Lagu India Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu.

Sebelum ini, RIM menerima sejumlah 682 pencalonan berdasarkan karya-karya muzik yang diterbitkan mengikut tempoh kelayakan iaitu antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Ia telah diadili pengamal industri muzik tempatan yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam industri muzik tanah air merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah video, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik dan perunding imej. Penjurian itu dikemudikan Pengarah Muzik tersohor, Datuk Haji Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.

Antara selebriti yang bakal tampil di pentas sebagai penyampai anugerah adalah Dato’ Awie, Dato’ Nora, Ajai, Masdo, Tomok, siti Nordiana, Roy, Khai Bahar, Dayah, Dr Fitri Haris dan ramai lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here