Oleh: Khadijah Ibrahim
SEKARANG ini ramai sangat yang nak jadi pempengaruh atau influencer sebab boleh menjadi popular dan sekali gus menjana pendapatan.
Namun ada juga pempengaruh yang main tangkap muat konten kerana kekeringan idea. Sikap begini boleh menjerumuskan diri sendiri dan kemungkinan pengikut juga akan beralih arah.
Bagi yang betul-betul ingin menjadi pempengaruh berkualiti dan sekali gus mengembangkan bakat anda ke bidang seni, inilah masanya untuk anda mencuba platform SocialCeleb.
SocialCeleb adalah platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia yang diperkenalkan oleh Lifetelco yang boleh diakses orang ramai di seluruh dunia bermula 9 September 2025.
Platform ini dibangunkan khusus untuk menghubungkan bakat-bakat baharu di seluruh negara dengan nama-nama besar dan berpengalaman dalam industri hiburan.
Pengarah Rangkaian Lifetelco, Saraleana Nattaya Azmi, berkata SocialCeleb memberi peluang kepada semua orang, tanpa mengira lokasi untuk mengetengahkan bakat mereka sebagai pelapis dalam industri hiburan.

“Menerusi gabungan capaian digital, bimbingan industri dan peluang lakonan sebenar, kami membina laluan masa depan kepada anak tempatan untuk mengetengahkan bakat. SocialCeleb menghimpunkan nama besar dan bakat baharu untuk mencipta pencarian bakat paling menarik di negara ini.
“Inisiatif ini adalah komitmen kami terhadap pemerkasaan sosial. Dengan menyediakan SIM percuma, data, insurans dan peluang uji bakat, SocialCeleb memastikan faktor kewangan atau lokasi tidak menghalang bakat untuk mengejar impian,” katanya.
Platform ini menggabungkan capaian digital dengan peluang hiburan sebenar, dikuasakan oleh perkhidmatan OTT, pelan data dan ganjaran daripada Lifetelco. Dengan yuran sekali bayar RM110, peserta menerima Kad SIM Lifetelco 110GB data, insurans kemalangan diri RM50,000, akses OTT drama dan filem serta peluang menyertai uji bakat eksklusif.
Menariknya, sesiapa yang mendaftar dengan platform SocialCeleb, anda berpeluang untuk mendapat tunjuk ajar daripada selebriti ternama yang mahir dalam bidang masing-masing. Selebriti yang bakal berkongsi ilmu mereka dan bertindak sebagai Star Mentors adalah Dato’ Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Dato’ Aaron Aziz.
Manakala, Star Celebs yang terpilih untuk memeriahkan platform ini adalah pempengaruh yang ternama seperti Bella Astillah, Harszan, Satthiya Kandi dan Hubert Lee.
Melalui bengkel eksklusif, persembahan langsung dan perkongsian peribadi, Star Mentors akan membimbing peserta melalui proses uji bakat bagi filem, drama bersiri dan projek OTT akan datang.
SocialCeleb secara tidak langsung membuka peluang kepada peserta untuk melangkah dari skrin telefon terus ke layar perak.
“Inilah masa untuk kami memberi kembali kepada industri yang membesarkan kami. Bukan sekadar mengadili, kami juga membimbing, memberi peluang dan membuka pintu untuk generasi seterusnya mencurahkan keringat mereka kepada industri hiburan,” kata Aaron merupakan Star Mentors kepada Bella Astillah.
Sementara itu, Afdlin Shauki pula berkata, SocialCeleb bukan sekadar ruang pencarian bakat biasa, sebaliknya adalah sebuah platform serius yang memberi peluang kepada semua orang untuk melangkah ke dalam industri hiburan.
“Apa yang paling saya suka, platform ini menghubungkan bakat-bakat baharu dengan bengkel berstruktur, bimbingan mentor dan projek industri sebenar. Saya teruja menjadi sebahagian daripada sistem yang membantu membina kerjaya yang mampan dan bukan sekadar populariti sementara,” katanya yang diberi tanggungjawab untuk membimbing Harszan.

Manakala, Nabila Huda yang merupakan Star Mentors kepada Hubert Lee menyifatkan, SocialCeleb sebagai platform yang membuka jalan kepada semua bakat baharu untuk mengetengahkan potensi diri mereka dalam industri hiburan dengan lebih terbuka.
“Mungkin sebelum ini, individu berbakat besar tersisih disebabkan tiada akses, tiada rangkaian atau tidak tahu bagaimana untuk bermula. SocialCeleb datang tepat pada waktunya, sebagai platform inklusif yang membuka pintu kepada semua.
“Tidak kira siapa anda, dari mana anda berasal atau sejauh mana pengalaman anda, peluang ini terbuka untuk semua. Saya di sini bukan hanya ‘menilai’, sebaliknya saya mahu membimbing. Saya mahu bantu peserta ini mengenali kekuatan mereka, menggilap potensi dan membina keyakinan diri.
“Kita bukan hanya mahu mencari pelakon untuk satu produksi. Sebaliknya, kita mahu membina individu yang mampu bertahan dalam industri, tahu menjaga integriti seni mereka dan boleh memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya penuh semangat.
Sebagai pelakon yang telah menempuh pelbagai fasa dalam industri hiburan, Nabila Huda melihat inisiatif SocialCeleb bukan hanya mengangkat bakat baharu, tetapi turut memberi makna sebenar kepada tanggungjawab sosial dalam dunia seni.
“Saya sangat bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Kita bukan sekadar menilai, malah kita juga membimbing. Paling penting, kita turut membantu membuka pintu kepada mereka yang berpotensi untuk mengetengahkan bakat dengan lebih berani dan yakin,” kata Nabila yang juga aktif dalam latihan dan pemilihan peserta.
Dalam pada itu, Nabil menyifatkan SocialCeleb bukan sekadar pertandingan bakat, sebaliknya turut menjadi training ground atau ruang latihan dan pembangunan sebenar yang dirancang untuk melahirkan bakat baharu yang lebih bersedia menembusi industri hiburan.
“Bakat sahaja tidak mencukupi. Apa yang ramai orang perlukan ialah pendedahan, latihan dan bimbingan yang betul serta akses kepada peluang yang sebelum ini mungkin hanya terbuka kepada kelompok tertentu.
“Saya berasal dari kampung, jadi saya faham betapa sukarnya untuk menembusi industri hiburan tanpa bantuan atau sokongan. Ramai yang berbakat, tetapi tidak tahu ke mana mahu pergi, siapa yang perlu kita jumpa atau bagaimana hendak bermula. SocialCeleb datang sebagai platform yang inklusif dan adil, malah sesiapa sahaja boleh mencuba, tidak kira latar belakang.
“Peserta juga diberi akses kepada pelbagai kemudahan seperti data internet, insurans, bengkel eksklusif dan peluang uji bakat untuk produksi sebenar. Ini bukan ‘one-off show’, ini adalah pelaburan dalam kerjaya.
“Saya bangga menjadi sebahagian daripada gerakan ini. Melalui SocialCeleb, kami membantu peserta untuk membina asas yang kukuh supaya berdiri lama dalam dunia hiburan,” katanya yang membimbing Satthiya Kandi.
Bagi yang berminat, bolehlah membuat pendaftaran menerusi www.social-celeb.com mulai 9 September 2025.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









