Oleh : Nafsiah Jani
Walaupun pokok nipah hanya hidup ditepi laut dan muara sungai namun tahukah anda pokok ini mempunyai banyak khasiat dan manfaat kepada perubatan dan kegunaan seharian manusia. Hampir keseluruhan pokok nipah atau nama saintifiknya, Nypa Fruticans ini memberikan manfaat daripada pucuk hinggalah ke akarnya.
Mayang atau tandan nipah mengeluarkan air yang dikenali sebagai tuak ataupun nira yang juga akan menghasilkan cuka. Jika diperam lebih lama, nira ini juga dapat menghasilkan manisan nipah.
Pokok nipah memberikan manfaat kesihatan melalui produk seperti buahnya, air nira, dan cuka nipah, yang kaya dengan serat, antioksidan, vitamin C, serta mineral seperti kalium dan magnesium. Produk-produk ini dipercayai dapat membantu mengawal gula darah, menstabilkan tekanan darah, meningkatkan kesihatan jantung, melancarkan pencernaan, dan memulihkan tenaga. Cuka nipah juga dipercayai boleh memecah batu karang dan mengawal penyakit gout.
Buah nipah kaya dengan antioksidan dan boleh membantu mengawal kencing manis serta tekanan darah tinggi. Ia rendah lemak dan bebas kolesterol. Kandungan gulanya juga rendah menjadikan ia pilihan terbaik untuk mereka yang menjaga paras gula dalam darah.
Air nira nipah pula digunakan untuk menyejukkan badan dan melancarkan pencernaan, manakala cuka nipah berpotensi untuk merawat masalah seperti bisul, kencing manis, dan gout. Selain itu, daunnya digunakan sebagai bahan atap, dan batangnya dijadikan penyapu atau kraf tangan
Daun pokok nipah mengandungi bahan aktif seperti phenol dan flavonoid. Manakala tandan pokok nipah yang menghasilkan cuka mempunyai aktiviti farmakologi antaranya antihipersensitif, antibakterial dan antidiabetik. Ia juga mengandungi vitamin C dan mampu mengawal kandungan bahan radikal bebas yang terhasil di dalam badan.
Dibawah ini kami paparkan beberapa cara untuk mendapatkan khasiat daripada pokok nipah :-
- Buah nipah muda dicincang dan jemur kering. Bila nak guna rebus dan biarkan mendidih dan minum sebagai minuman harian. Insya-Allah gula dalam darah akan berkurangan.
- Meredakan kaki yang bengkak dan hilangkan kayap. Campurkan buah nipah yang telah diperam menjadi cuka dengan ½ cawan tepung ubi.. Kacau hingga kedua-duanya sebati. Sapukannya pada bahagian kaki yang bengkak atau kayap. Insya-Allah.
- Selain digunakan seperti cuka tiruan untuk memasak atau menambah rasa, cuka nipah boleh diminum terus dengan sukatan satu sudu atau lebih mengikut kesesuaian. Khasiatnya dapat menghilangkan batuk, kegatalan kerongkong, mencairkan kahak, mengurangkan berat badan, memulihkan sistem penghadaman, menstabilkan tekanan darah tinggi, menghancurkan lemak badan, mengurangkan kolestrol dalam badan dan banyak lagi.
- Air nira cukup popular menjelangnya bulan puasa kerana ia dipercayai mampu untuk membekalkan tenaga pada siang hari kerana ia ibarat tonik yang sempurna. Dengan tenaga yang lebih tinggi, maka seseorang dapat bekerja dengan lebih cergas, aktif dan tidak mudah lesu.
- Mereka yang menghadapi masalah sembelit bolehlah minum air nira kerana ia juga dikatakan mampu mengatasi masalah sembelit yang terjadi kerana kekurangan serat dalam badan. Air nira kaya dan tinggi dengan serat malah asid amino, protein, vitamin, mineral dan lain-lain.
- Untuk mendapatkan tulang yang kuat seseorang perlu mengambil kalsium, pelbagai vitamin dan mineral bagi memastikan sendi tulangnya tumpat serta kuat. Namun air nira juga mempunyai pelbagai jenis nutrien yang diperlukan oleh individu dalam usaha untuk mendapatkan dan mengekalkan kesihatan tulang yang lebih baik. Cuba jangan tak cuba.
- Malahan air nira juga dikatakan adalah penawar segala penyakit. Jadi sesiapa yang sakit cubalah mengambil air nira kerana ia dapat membantu mengatasi segala masalah penyakit yang ada.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









