Oleh Nury Kadir
Cuba pandang sekeliling, agaknya berapa kali kita memberi salam hari ini? Rasanya dalam sepuluh orang yang berselisih jalan dan terlanggar bahu tidak ada seorang pun yang diucapkan salam. Baru kita perasan bahawa hari ini salam yang kita ucapkan hanya untuk orang yang dikenali, anak-anak dan keluarga sahaja.
Nabi SAW pernah sebut dalam sebuah hadis bahawa salah satu tanda-tanda kiamat apabila seorang Islam hanya memberi salam kepada orang yang dikenali sahaja.
Dalam hadis yang lain pula disebutkan, daripada Ibn Mas’ud RA berkata, aku mendengar bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Di antara tanda-tanda Kiamat adalah apabila seseorang itu melalui satu masjid tetapi dia tidak solat padanya walaupun dua rakaat dan tidak memberi salam ke atas seseorang yang lain melainkan kepada orang yang dikenalinya sahaja.” (Ibn Khuzaimah)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Nabi SAW menyuruh kita memberikan salam bukan sahaja kepada orang yang dikenali, bahkan kepada orang yang kita tidak kenal. Pensyariatan memberi salam kepada orang yang tidak dikenali bertujuan membuka perbualan dalam bersosial untuk menjadikan semua orang beriman itu bersaudara dan bukannya menjauhkan diri di antara satu sama lain.
Apa lafaz salam yang afdal digunakan?
Sejak manusia pertama diciptakan (Nabi Adam), Allah telah mengajarkan ucapan salam yang betul.
Hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Telah Allah SWT cipta Adam dengan ciri-cirinya iaitu dengan tingginya 60 hasta. Setelah Allah SWT menciptanya, Allah SWT berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk itu dan dengarkan baik-baik bacaan salam mereka kepadamu kerana itu adalah sebagai salam penghormatan dan juga anak cucu keturunanmu. Adam mengucapkan “السَّلامُ عَلَـيْكُمْ”, lalu para malaikat berkata: “السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”. Para malaikat telah menambah (وَرَحْمَةُ اللَّهِ).” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadis itu memberi gambaran bahawa salam adalah ucapan yang Allah ajarkan kepada umat manusia melalui Nabi Adam sebagai tanda penghormatan sesama manusia. Lafaz salam itu boleh diucapkan mengikut yang telah dicontohkan dari al-Quran dan hadis. Antaranya:
السلام عليكم (Assalamualaikum)
السلام عليكم ورحمة الله (Assalamualaikum Warahmatullah)
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته (Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh)
Adapun memendekkan lafaz salam kepada lafaz (السَّلَامُ) sahaja para ulama berbeza pendapat mengenainya. Sebahagian mengharuskannya, berhujah dengan jawapan salam yang diberikan Nabi Ibrahim A.S kepada kepada para malaikat; iaitu lafaz (سلام) atau salam dengan makna “Waalaikumussalam”.
Antara lafaz “Salam” yang terdapat di dalam al-Quran:
Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (al-Nisa’:86)
Seperti yang tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my, ayat ini adalah merupakan khitab (cara komunikasi) Allah SWT kepada hamba-hambanya yang mukallaf bahawa mereka diminta untuk mengucapkan atau membalas ucapan tersebut dengan lebih baik atau sama seperti yang diucapkan apabila terdapat manusia yang mendoakan kita dengan panjang umur atau dengan kesejahteraan.
Kemudian di dalam surah al- Ra’d ayat 24, para Malaikat mengucapkan salam sejahtera kepada ahli syurga kerana kesabaran menempuhi kehidupan di dunia maka syurga adalah sebaik-baik tempat buat mereka. Berdasarkan ayat ini, salam merupakan ucapan penghormatan yang mulia kerana ia digunakan kepada ahli syurga.
سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ
Maksudnya: “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”
Selain itu, firman Allah SWT:
إِلَّا قِيلًا سَلَامًا سَلَامًا
Maksudnya: “Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).” (al-Waqi’ah:26)
#Ikuti sambungan akan datang cara memberi salam yang disarankan mengikut agama Islam#

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









