Oleh: Khadijah Ibrahim
DALAM kekalutan menghadapi kemelut dengan ibu tercinta, Anna Jobling tetap meneruskan kerjayanya sebagai anak seni. Anna yang baru tujuh tahun membabitkan diri sebagai pelakon itu mendapat rezeki terpijak apabila namanya tercalon dalam satu acara berprestij di luar negara.
Pelakon yang nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, diumumkan tercalon sebagai Outstanding Asian Star Malaysia di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025, yang bakal berlangsung pada 2 Oktober 2025 di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan.
Anna membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi lakonannya yang memukau dalam drama ‘Hai Cinta, Dengarkanlah’, siaran popular TV3 dalam slot Akasia.
SDA merupakan salah satu anugerah drama antarabangsa paling berprestij yang menghimpunkan bakat-bakat dari seluruh Asia. Tahun ini, Anna bakal bersaing dengan bintang-bintang ternama dari Jepun, China, Thailand, Filipina dan negara Asia lain.
Sistem pemilihan pemenang ditentukan melalui proses undian secara global yang dipilih berdasarkan undian peminat dari seluruh dunia melalui aplikasi IDOL CHAMP, menjadikan setiap pencalonan sangat kompetitif.
Tahun lalu, pencalonan Malaysia turut membuahkan kejayaan apabila Siti Saleha merangkul kategori yang sama, menandakan prestasi Malaysia semakin diiktiraf di peringkat serantau.

Anna merupakan antara pelakon muda paling berpengaruh di Malaysia, pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Drama Festival Malaysia (DFM) dan tersenarai dalam pelbagai produksi drama popular TV3.
Dengan pencalonan di SDA 2025, karier Anna melonjak ke peringkat serantau, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon bakat Malaysia di mata dunia.
“Saya benar-benar terkejut dan terharu dengan pencalonan ini. Ia merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk seluruh pasukan produksi ‘Hai Cinta, Dengarkanlah’.
“Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan sepasukan, dan para peminat sentiasa menjadi sumber inspirasi saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia!
“Saya sangat berterima kasih dan teruja dengan pencalonan ini. Ia bukan sahaja satu penghargaan untuk saya secara peribadi, tetapi juga satu kebanggaan buat Malaysia dan TV3 yang sentiasa menyokong karya seni tempatan. Saya akan lakukan yang terbaik untuk membawa nama Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa,” kata Anna.
Drama bersiri 28 episod arahan Eoon Shuhaini itu menyajikan kisah penuh liku kehidupan dan percintaan yang tidak dijangka. Anna membawa watak Cahaya, seorang wanita yang dikejutkan dengan berita kematian suaminya, Firdaus (Nazrief Nazri), pada hari ulang tahun perkahwinan mereka.
Ketika Cahaya sedang menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, kebahagiaan yang diharapkan menjadi kenyataan musnah dalam sekelip mata. Lakonan penuh emosi dan mendalam Anna berjaya mencuri perhatian penonton, sekali gus membuka ruang buatnya di pentas antarabangsa.
Sempena meraikan pencalonan berprestij ini, peminat juga boleh binge-watch ‘Hai Cinta, Dengarkanlah’ melalui koleksi khas “Koleksi Pujaan Hati” selain dari drama lakonan Anna yang lalu seperti ‘Kuih Muah’, ‘Dua Antara, I Love You, Stupid’ dan lain-lain lagi di Tonton. Mulai 25 September 2025, langgan menggunakan kod diskaun eksklusif “ANNAJOBLING” untuk menikmati tawaran ‘early bird’ selama 3 bulan pada harga RM20.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









