Oleh: Khadijah Ibrahim
KEBELAKANGAN ini ramai artis atau selebriti dari luar yang sering singgah ke Malaysia untuk mempromosi karya mereka atau menjayakan konsert.
Situasi itu berlaku hanya sebelah pihak sahaja kerana anak-anak seni tempatan tidak pula berpeluang untuk memperluaskan karya mereka di luar. Ini kerana Malaysia sangat ‘open minded’ dan bersedia menerima sesiapa sahaja.
Dari artis setahun jagung hinggalah kepada artis legenda, kehadiran penggiat seni terutama dari negara jiran, Indonesia sering bertandang ke Malaysia.
Terkini yang bakal hadir ke sini ialah Nadhif Basalamah, anak seni kelahiran Jakarta, Indonesia yang popular dengan lagu “Penjaga Hati” yang dikeluarkan pada 2023.
Nadhif, 25, bakal singgah di Kuala Lumpur pada 11 September 2025 bersempena dengan Nadhif Basalamah – Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur di The Exchange Hall, Petaling Jaya.

Penyanyi yang gemar menyanyi sejak usia 12 tahun dan tampil dengan album mini sulung berjudul “Wonder in Time” pada 13 Julai 2022, juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai untuk persembahan Tulus sempena tour Manusia di Makassar.
Namanya terus meledak dan mendapat tempat di hati peminat menerusi single seperti “To Be With Me” dan “Without Me” (Sera) sebelum “Penjaga Hati” menakluk hati peminat pada 2023.
Nadhif terus membuat peminatnya ‘gila bayang’ dengan karya balada dan vokal enaknya menerusi lagu-lagu baharu termasuk “Jatuh Cinta Lag”i dan “Bergema Sampai Selamanya”.
Menurut penganjur bersama After School dan Banyak Bagus Entertainment, Kuala Lumpur adalah antara destinasi paling dinantikan oleh penyanyi yang juga komposer itu untuk bertemu peminatnya di Malaysia.
“Tanpa merendahkan lokasi lain dalam Nadhif Basalamah – Menjaga Hati Asia Tour 2025, After School dan Banyak Bagus Entertainment dengan bangga membawa penyanyi yang namanya sedang hangat ini singgah sekali di Kuala Lumpur.
“Selain Singapura dan Kota Kinabalu, Sabah, Nadhif juga tidak sabar bertemu peminatnya di Kuala Lumpur pada 11 September ini. Jangan sampai terlepas peluang mendengarkan vokal emas Nadhif Basalamah menerusi lagu-lagu hitnya di Nadhif Basalamah – Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur,” ujar Liaw Sun dari Banyak Bagus Entertainment.
Penjualan tiket Nadhif Basalamah – Menjaga Hati Asia Tour 2025 sudah mula dijual di ticketmelon dan tiket adalah terhad.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









