MARIANI sanggup menolak cinta P. Ramlee demi adiknya, Saloma.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

KADANGKALA kerana cinta bukan sahaja sesama kawan malah adik beradik juga sanggup berbalah dan lebih menyedihkan boleh memutuskan silaturrahim.

Memang tidak boleh dinafikan setiap manusia mendambakan cinta dan pasangan hidup tetapi ada juga yang sanggup mengalah demi kasih sayang terhadap seorang insan ‘bernama’ adik.

P. RAMLEE sebagai Labi dan Mariani sebagai Manisah dalam satu babak filem “Labu dan Labi.”

Begitulah kisah yang terjadi antara Allahyarham Seniwati Mariani yang sanggup melupakan cintanya demi adik tersayang, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Melalui temuramah saya dengan anak sulung Mariani dan Allahyarham H.M Rohaizad, Sharifah Haslinda yang ditanya mengenai gosip kononnya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah jatuh cinta dengan emaknya, Haslinda tidak menafikan sambil berkata;

ALLAHYARHAM Haji Mahadi dan Mariani dalam satu babak filem “Tiga Abdul.”

“Betul. Mengikut cerita Arwah nenek, Umi Kalsom Mahbon. Memang P. Ramlee nak kahwin dengan Mak tetapi ada syaratnya.

“P. Ramlee kata dia akan kahwin dengan Mak tetapi Mak kena ikut syaratnya iaitu tidak boleh jadi pelakon.

BEKAS Ratu…Mariani bukan sahaja memilikki penampilan yang menarik malah berbakat besar dalam bidang lakonan.

“Apabila mendengar syarat P. Ramlee, mak teringat perasan cinta adik kesayangannya, Saloma terhadap P. Ramlee kerana pernah mendengar perbualan Mama (Saloma) dengan kawannya.

“Ketika itu umur Mama baru belasan tahun. Melalui perbualan Mama dengan kawan sekolahnya tanpa berselindung Mama meluahkan rahsia hatinya yang Mama yakin satu hari nanti Mama mesti kahwin dengan orang ini.

TONY Azman sebagai Muharram dan Mariani sebagai Safura dalam filem “Ahmad Albab.”

“Mama kata dia sangat-sangat ‘in love’ (menyintai) dengan dia (P. Ramlee). Mengingatkan itu, Mak mencari helah untuk putuskan hubungan dengan P. Ramlee.

“Entah macamana pada ketika itu Mak dapat idea dan terus menjadi pelakon Shaw Brothers. Bagi Mak kasih sayang terhadap seorang adik amat bermakna berbanding cinta seorang lelaki.”

MARIANI sanggup ‘berkorban’ demi adiknya, Saloma.

Selepas Mariani menjadi pelakon Shaw Brothers, hubungan beliau dengan P. Ramlee terus putus.

Khabarnya selepas itu, P. Ramlee telah berkahwin dengan isteri bekas Sultan Perak ke-32, DYMM Sultan Yussuff Izzuddin Shah iaitu Noorizan Mohd. Nor pada 6 Februari 1955.

“PUTUS Sudah Kasih Sayang”… filem terakhir lakonan Mariani dengan P. Ramlee.

“Walaupun telah menjadi pelakon Shaw Brothers, P. Ramlee tidak pernah ‘mengambil’ Mak berlakon dalam filem-filem arahannya kecuali selepas bapak saya, HM Rohaizad meninggal dunia,” kata Shasha lagi.

Mariani berkahwin dengan HM Rohaizad pada tahun 1954. Pasangan bahagia ini dikurniakan enam orang cahayamata iaitu Sharifah Haslinda (Shasha), Rozita Rohaizad, Syed Herwani, anak kembar – Syed Marhain dan Syed Nazran dan anak bungsu, Syed Hasnidan.

P. RAMLEE bersama Seniwati Saloma, Latifah Omar dan Mariani.

Bagaimanapun kebahagiaan mereka berakhir dengan ‘cerai mati’ apabila HM Rohaizad menghembuskan nafas terakhir kerana serangan jantung pada jam 3.00 pagi 17 Disember 1961.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Kassim, Singapura.

Setelah HM Rohaizad meninggal dunia, barulah P. Ramlee mengambil Mariani berlakon dalam filem-filem arahannya iaitu “Labu dan Labi” dan “Siti Muslihat” (1962), “Nasib Si Labu Labi” (1963), “Tiga Abdul” (1964), “Masam-Masam Manis” (1965), “Ahmad Albab” (1968) dan “Putus Sudah Kasih Sayang” (1971).

MARIANI sentiasa cantik bergaya.

Selepas hasrat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk mengahwini Mariani tidak kesampaian, beliau telah mengahwini bekas Permaisuri Sultan Perak ke-32, Sultan Yussuff Izzuddin Shah, Noorizan Mohd. Nor.

Bagaimanapun istana cinta antara P. Ramlee dengan Noorizan yang ‘dibina’ pada 6 Februari 1955 berakhir dengan perceraian pada 16 Oktober 1961.

SHASHA bersama ibu tersayang, Mariani.

Noorizan meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi pada 15 Mei 1992.

Selepas itu, P. Ramlee dan Saloma yang mula berkenalan pada 1948 ketika mula bertapak dalam industri seni berkahwin pada 21 November 1961. Pasangan ini hidup bahagia sehingga ke akhir hayat walaupun tidak dikurniakan anak.

SENIWATI hebat…Mariani dan Datuk Sarimah Ahmad.

Perkahwinan mereka bertahan 12 tahun sehingga ke akhir hayat P. Ramlee yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada usia 44 tahun pada 29 Mei 1973.

Sementara Saloma, selepas ‘pemergian’ suami tercinta, P. Ramlee, hidupnya diselubungi kesedihan dan kemurungan sehingga menjejaskan kesihatannya. Beliau dikatakan mengidap pelbagai penyakit dan dimasukkan ke Hospital Assunta, Petaling Jaya menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kuning pada usia 48 tahun pada 25 April 1983.

ALLAHYARHAM … Mariani, S. Shamsuddin, Tan Sri Ahmad Nawab.

Jenazah Allahyarham P. Ramlee, Allahyarham Saloma, Allahyarham Mariani dan Allahyarham Noorizan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

PENULIS, Syed Wafa bersama Seniwati Mariani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here