Photo by MART PRODUCTION: https://www.pexels.com/photo/women-having-conversation-8121755/

Oleh Nury Kadir

Ucapan salam yang afdal sudah diketahui, bagaimana pula untuk menjawabnya seperti yang dituntut oleh syariat? Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 86; maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

Jelas Mufti Wilayah Persekutuan, firman Allah itu menunjukkan bahawa kita dituntut untuk menjawab penghormatan atau salam yang diberikan dengan lebih baik atau membalasnya (jawab) sama seperti yang diucapkan itu. Ucapan salam menjadi budaya dan doa sesama orang Islam sama ada yang dikenali atau tidak.

Para ulama mengatakan hukum mengucapkan salam adalah sunat yang sangat digalakkan dan amat dituntut oleh Rasulullah SAW (سنة مستحبة). Walaupun terdapat perintah atau arahan daripada Nabi SAW untuk kita menyebarkan dan mengucapkan salam, namun perintah tersebut bukanlah bersifat wajib. Adapun hukum menjawab salam adalah wajib kerana Allah SWT memerintahkan kita untuk menjawabnya, berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 86.

Rasulullah SAW bukan sekadar mengajar kita memberi dan manjawab salam tetapi berserta dengan adabnya. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu memulakan ucapan salam kerana ia adalah sunnah yang amat disukai oleh Rasulullah SAW. Malah tidak menjadi masalah bagi orang yang berjalan atau orang yang duduk mendahului mengucapkan salam jika orang yang berkenderaan atau berjalan tidak mengucapkannya.

Pun begitu, ulama tidak membenarkan orang Islam memulakan ucapan salam kepada orang bukan Islam kerana Nabi SAW telah melarangnya. Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani.” (HR al-Tirmizi)

Manakala menjawab salam kepada orang yang bukan Islam, para ulama membolehkannya. Kita hanya dibenarkan untuk menjawab salam mereka dengan ringkas iaitu dengan lafaz “وعليكم” sahaja. Antara dalil yang digunakan adalah daripada riwayat Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Apabila ahli kitab mengucapkan salam ke atas kamu, maka katakanlah kepada mereka: (وعليكم).” (HR Ahmad)

Bagaimana pula menjawap salam yang disampaikan melalui mesej telefon yang diringkaskan ejaannya?

Seperti yang tercatat dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Para ulama telah berbeza pendapat mengenai memendekkan lafaz salam kepada lafaz (السَّلَامُ) sahaja. Sebahagian ulama tidak membenarkannya seperti Abu al-Hasan al-‘Adawi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa tidak boleh dengan hanya lafaz (السَّلَامُ) sahaja sama ada ketika memberi salam atau menjawabnya kerana ia adalah ibadah.

Manakala Syeikh al-Uthaimin telah menyatakan bahawa tidak mengapa memendekkan lafaz salam menjadi (السلام) kerana Nabi Ibrahim A.S, ketika menjawab salam para malaikat dia menjawabnya dengan lafaz (سلامٌ) iaitu dengan makna (عليكم سلام) : “Ke atas kamu semua kesejahteraan”. Begitu juga tidak mengapa, ketika memberi salam, jika seseorang memberi salam dengan lafaz (سلام) iaitu dengan makna (سلامٌ عليكم) : “Salam sejahtera ke atas kamu semua” atau dengan lafaz (السلام) iaitu bermaksud (السلام عليكم).

Image by Freepik

Hal ini kerana seseorang itu tidak akan menulis atau memendekkan lafaz salam melainkan dia berniat atau bermaksud mahu memberi salam. Misalnya, dia menulis di awal mesejnya ‘salam’ atau ‘aslmkm’ atau apa-apa singkatan yang boleh difahami daripadanya bahawa penulis maksudkan sebagai memberi salam. Namun, jika lafaz salam tersebut dapat ditulis dengan penuh seperti ‘assalamualaikum’, maka itu adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf.

Malah mengucapkan salam bukan terhad kepada orang sahaja, ketika hendak masuk ke rumah yang kosong pun digalakkan memberi salam

Firman Allah SWT: Maksudnya : “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.” (Surah al-Nur : 61)

Dalam al-Tafsir al-Muyassar menjelaskan, ayat di atas bermaksud apabila kamu memasuki sebuah rumah, sama ada rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak, maka sebahagian daripada kamu berilah salam ke atas sebahagian yang lain dengan lafaz (السلام عليكم ورحمة الله وبركاته) atau (السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين) sekiranya tiada seorang pun (di dalam rumah tersebut). Ucapan salam ini telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta. Lebih-lebih lagi disukai oleh orang yang mendengar.

Ibn Juzai al-Kalbi dalam al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, menyatakan di dalam kitab tafsirnya bahawa ada yang berpandangan ia tidak terhad hanya kepada rumah-rumah (kediaman) tetapi juga masjid-masjid. Dan kita diperintahkan memberi salam kepada sesiapa yang ada di dalamnya. Sekiranya tiada sesiapa di dalamnya, berilah salam kepada Nabi SAW, para malaikat dan hamba-hamba Allah yang soleh.

Kirim salam

“Nanti jangan lupa kirim salam pada emak.” Inilah budi bahasa orang Melayu jika tidak dapat bertemu atau pun memenuhi undangan, salam dikirim sebagai pengganti diri. Sebenarnya adab yang diamalkan oleh orang Melayu ada asasnya.

Amalan berkirim salam telah dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW. Dalam hadis disebutkan pernah suatu ketika seorang sahabat menyuruh anaknya berjumpa Nabi SAW dan mengirimkan salam untuk Baginda SAW. Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Baihaqi: Maksudnya: Aku pun datang menemui Baginda. Aku sampaikan: “Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu.” Lalu Nabi SAW menjawab: “Untukmu dan untuk bapamu balasan salam.”

Pengarang ‘Aun al-Ma’bud menukilkan dalam kitab Fath al-Wadud, katanya: “Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga menjawab kepada yang membawa pesanan salam itu.”

Perhatikan pula kisah malaikat Jibril AS menitipkan salam melalui Nabi SAW kepada Aisyah R.Anha kerana Aisyah tidak dapat melihat Jibril. Saidatina Aisyah R.Anha menceritakan: Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau menyampaikan salam untukmu.” Lalu saya menjawab: ‘وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ’. Nabi SAW melihat apa yang tidak saya lihat. (HR Bukhari dan Muslim)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis Aisyah dalam riwayat Muslim di atas, menyebut: “Menjawab salam seperti ini hukumnya wajib segera. Demikian juga jika dia menerima salam pada kertas (surat) daripada orang yang berada jauh, wajib dia menjawab secara lisan dengan segera ketika dia membacanya.”

Akhirnya, jika tidak mampu bersua muka, berkirim salamlah sebagai tanda ingatan dan kasih sayang sesama insan. Assalamualaikum!
(semua info dikutip daripada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here