Oleh: Khadijah Ibrahim
BERAKHIRLAH sudah drama 28 episod, “Mandul Bukan Pilihan” yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, di saluran Astro Ria.
Drama lakonan Hun Haqeem sebagai Aldi Ibrahim dan Mira Filzah sebagai Nabila Intan atau Billa itu menjadi pilihan ramai sejak awal bersiaran kerana karya arahan Osman Ali itu mengangkat kisah pasangan suami isteri yang berusaha untuk memiliki zuriat.
Setiap minggu, penonton disajikan dengan plot yang sarat dengan permainan emosi kerana skrip olahan Oka Aurora seperti sengaja membuat penonton terbuai dengan jalan cerita tersebut. Drama terbitan produksi iFAME itu diakhiri dengan sebuah episod yang menyentuh jiwa.
Kebahagian yang dikecapi oleh Aldi dan Billa setelah melalui pelbagai dugaan, ternyata hanyalah sementara apabila Billa pergi meninggalkan Aldi buat selamanya.

Mira yang terharu dengan sokongan yang diberikan oleh penonton, turut melahirkan rasa terima kasih kepada mereka yang menonton drama tersebut hingga akhir.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan atas kerja keras, dedikasi dan semangat anda. Setiap seorang daripada anda membawa sesuatu yang unik dan merupakan satu keistimewaan untuk berkongsi perjalanan ini dengan kumpulan yang komited dan memberi inspirasi.
“Terima kasih atas masa yang panjang, tenaga kreatif, sokongan berterusan, dan cara anda menunjukkan antara satu sama lain setiap hari. Ia tidak selalu mudah, tetapi kami berjaya bersama-sama. Saya benar-benar berbangga dengan apa yang telah kami capai, dan lebih berbangga kerana melakukannya dengan anda semua,” katanya di laman sosial.
Mira yang merupakan ibu kepada Wan Khair Amir, mengakui untuk membawa watak Billa bukanlah mudah kerana dia tidak dapat bayangkan menjadi wanita yang tidak boleh mengandung. Justeru itulah sebelum turun ke set, Mira mendapatkan bimbingan profesional daripada Cikgu Fatimah.
Ternyata inisiatif yang diusahakan oleh Mira atau nama penuhnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, itu berbaloi dan buktinya, watak Billa menjadi sorotan ramai setiap kali drama tersebut bersiaran.

Reaksi penonton sudah tentunya menjadi tumpuan, di mana ramai yang berkongsi pengalaman menangis ketika menonton babak tersebut. Ditambah pula dengan runut bunyi yang menyentuh hati “Break” dendangan Misha Omar dan “Peluk”, kolaborasi Hael Husaini bersama Nadeera Zaini.
Antara komen netizen yang benar-benar penonton tegar drama “Mandul Bukan Pilihan” adalah daripada wargamaya yang menggunakan akuan, Servant of Allah.
“Saya tidak ingat bila kali terakhir saya menonton drama Melayu. “Mandul Bukan Pilihan” merupakan drama pertama setelah sekian lama. Bagi balik air mata. Tak baik bagi orang nangis”- Servant of Allah
“Kualiti drama Mandul Bukan Pilihan ni memang luar biasa. Dari pelakon, produksi sampai OST- semuanya another level. Lepas ni, drama lain pun kena set standard tinggi macam ni kalau nak compete”- Yayayayayaa
“Drama Malaysia pertama yang buat aku nangis setiap episode. Last episode air mata aku jatuh sejatuhnya.”- Bilaa
“Thank u untuk semua pelakon, director, writer, crew, staff Mandul Bukan pilihan semua yang dah susah payah dalam drama ni.First time saya layan drama melayu yang betul-betul buat saya nangis sepanjang episode. Plot, acting, feeling, music sampai pesan yang nak disampaikan semua best!”- EL

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









