Image by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Buatlah apa cara sekali pun agar ada kesempatan dan kelapangan untuk menziarahi orang sakit. Jika sudah tidak ada jalan, mungkin boleh menggunakan kaedah video call.
“Maaf tidak mampu menziarah hanya mampu video call saja.” Walaupun hati sedikit terkilan tetapi tidak ada pilihan kerana keuzuran diri dan aral yang tidak dapat dielakkan.

Menurut catatan yang diterbitkan di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, membuat video call dengan sahabat atau kenalan yang sedang sakit dibolehkan dan dianggap sebagai orang yang telah menziarahinya. Dengan syarat mesti ada keuzuran atau sebab yang munasabah yang tidak memungkinkannya untuk pergi meziarahinya secara terus.

Dengan adanya kehadiran kita walaupun dengan video call ia sudah cukup untuk menggembirakan pesakit dan membuatnya lupa dengan musibah yang sedang dialaminya. Ini adalah kesan daripada ukhuwah yang meringankan sakit yang sedang dihadapi.

Menziarahi orang yang sakit adalah cara untuk mendatangkan kegembiraan kepadanya tatkala Allah mengujinya dengan musibah. Sebagaimana Ibnu Hajar Al-Haitami menyebut di dalam Tuhfah Al-Minhaj Bi Syarh Al-Minhaj: “Disunatkan untuk orang yang menziarahi adalah daripada kaum kerabat ataupun sahabat handai yang mana dia berasa tenang bila ada kenalannya menziarahinya dan merasa susah hati ketika ketiadaan mereka.”

Orang-orang yang menggembirakan orang lain punyai banyak kelebihan. Lihatlah apa yang Rasulullah SAW sampaikan betapa bahagianya bagi sesiapa yang menggembirakan orang lain. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang menggembirakan mana-mana orang Islam maka Allah tidak akan memberinya pahala tanpa diberikan juga syurga.” (HR Al-Tabarani).

Di dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang apakah amalan yang paling baik. Nabi SAW bersabda; Maksudnya: “(Amalan yang paling baik ialah) apabila engkau menggembirakan orang mukmin yang lain. Maka engkau dianggap telah menghilangkan kelaparannya, menutup auratnya dan engkau telah tunaikan hajatnya.” (HR Al-Tabarani)

Image by Freepik

Antara yang Allah janjikan bagi mereka yang menziarahi orang sakit:
1. Berada di dalam kebun syurga
Ini adalah ganjaran paling indah dari alam dan seluruh isinya iaitu syurga. Apa lagi yang kita harapkan dalam hidup ini kecuali syurga Allah dan hanya dengan meziarahi orang sakit. Ini adalah janji Allah bukan janji ketua negara yang boleh berubah tetapi janji Allah adalah benar.

Rasulullah SAW bersabda; maksudnya; “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudara seagama kerana Allah maka malaikat akan berkata kepadanya, “Beruntunglah kamu dan beruntunglah urusanmu dan ketahuilah bahawa kamu telah menempah syurga sebagai tempat tinggalmu.” (HR al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda; Maksudnya: “Sesiapa yang pergi melawat orang yang sakit maka akan ada suara langit yang menyerunya : Engkau akan menjadi orang yang untung (baik) dan setiap langkah engkau akan elok dan tersedia untuk engkau sebuah tempat tinggal di syurga.” (HR Ibnu Majah).

Daripada Abu Asma’ Ar Rahabi dari Tsauban Maula, Rasulullah SAW baginda bersabda: “Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya yang sakit, maka orang itu sentiasa berada dalam sebuah taman syurga. Baginda ditanya; Bagaimana taman syurga itu? Baginda menjawab: ‘Taman yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.’ (HR Muslim)

2. Sentiasa berada dalam rahmat Allah.
Daripada Jabir bin Abdillah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda; Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia akan terus berada dalam naungan rahmat sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk, dia bersama dalam rahmat-Nya.” (HR Ahmad).

3. Doa diaminkan malaikat
Daripada Ummu Salamah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda; Maksudnya: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” (HR Muslim).
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut, mengatakan bahawa padanya menunjukkan sunat mengucapkan perkara yang baik ketika menziarahi orang yang sakit seperti berdoa kepadanya (kepada orang sakit), beristighfar kepadanya, meminta kelembutan dan keringanan kepadanya serta yang seumpama dengannya. Selain itu juga, malaikat akan hadir pada waktu tersebut dan akan mengaminkan ucapan-ucapan mereka.

Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang menziarahi orang yang sakit iaitu didoakan kebaikan oleh Malaikat. Saidina Ali berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda”; Maksudnya: “Tidaklah seseorang muslim itu apabila beliau menziarahi sahabatnya pada waktu awal pagi kecuali 70000 para malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah petang dan jika beliau menziarahi saudaranya pada waktu petang maka 70000 para malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah keesokan pagi, dan dia akan memperolehi buah-buahan yang dipetik dari syurga.” (HR Tirmizi).

4. Mengingatkan akhirat
Sabda Nabi SAW; Maksudnya: Ziarahilah orang yang sakit dan iringilah mayat ke kubur, nescaya akan mengingatkan kamu kepada hari akhirat.” (HR Al-Tayyalisi).

Tiada seorang pun yang akan menjumpai gambaran yang lebih ketara dan nyata tentang kedudukan serta ganjaran menziarahi orang yang sakit, sehingga di sini Allah SWT menggambarkan bahawa menziarahi orang yang sakit itu sama seperti menziarahi-Nya.

Inilah doa yang seharusnya kita hafal agar ia boleh memberi manfaat kepada orang sakit ketika menziarahi mereka.
اللَّهُمَّ ربَّ النَّاسِ ، أَذْهِب الْبَأسَ ، واشْفِ ، أَنْتَ الشَّافي لا شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ ، شِفاءً لا يُغَادِرُ سقَماً
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan bagi manusia, hilanglah kesengsaraan, sembuhkan (yang sakit) Engkau adalah Zat yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit” (HR Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad, al-Tabarani dan al-Hakim).

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here