Konsert 'Sheila Majid 40 Years in Music' akan berlangsung di Axiata Bukit Jalil pada 8 November ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PASTI peminat Datuk Sheila Majid tidak sabar untuk hadir ke konsert ‘Sheila Majid 40 Years in Music’ di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 November nanti untuk menikmati lagu-lagu popularnya secara langsung.

Konsert yang menampilkan tema keraian penuh warna-warni sebagai tanda manis perjalanan empat dekad penyanyi genit legenda itu dengan penampilan elegan bersama vokal nan satu miliknya tanpa tara.

Bagi peminat-peminat Sheila sudah tentu hafal lagu “Sinaran”, “Pengemis Muda”, “Warna”, “Antara Anyer dan Jakarta”, “Gerimis Semalam” dan “Di Dalam Emosi Ini”.

Kini ada satu lagi lagu baharu yang perlu peminat-peminatnya hafal dan hayati iaitu “Moving On” bersempena dengan sambutan 40 tahun perjalanan seninya yang luar biasa itu.

“Moving On” bukan sekadar lagu baharu, ia adalah cerminan perjalanan peribadi seorang legenda. Lagu itu membawa mesej penyembuhan, kekuatan dan kebebasan, dengan adunan muzik era disko yang segar serta sentuhan nu-disco kontemporari.

“Saya tidak kejar trend, saya mengejar rasa dan jiwa. Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan dunia kini telah berubah. Begitu juga saya. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya,” kata penyanyi yang digelar Ratu Jazz Malaysia itu.

Sheila Majid tampil dengan single baharu, “Moving On” sempena sambutan 40 tahun perjalanan seninya.

Ujar Sheila, selepas era pandemik, beliau menyedari bahawa karya lamanya, khususnya “Sinaran” mula mendapat perhatian generasi muda. Ini memberi inspirasi buatnya untuk terus berkarya dan menyatukan dua dunia melalui muzik.

“Moving On” mengisahkan tentang jiwa, terutamanya buat generasi muda yang masih mencari identiti dan siapa mereka di tengah kesibukan dunia digital. Ia mengajak pendengar untuk meninggalkan kekecewaan dan terus mara ke hadapan, menyeru kepada semangat percaya diri dan kebebasan emosi, terutamanya dalam dunia digital yang penuh tekanan hari ini.

Untuk menjayakan visi muziknya, Sheila bergabung dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang dikenali dengan kerja-kerja produksi bertaraf antarabangsa.

Mood board lagu ini sarat dengan inspirasi era kegemilangan Donna Summer dan Diana Ross, sejajar dengan kecintaan Sheila terhadap groove tahun 80-an. Irama city pop yang kini kembali popular dalam kalangan generasi muda bukanlah asing buat Sheila kerana di situlah akar muziknya bermula.

“Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah. Dan “Moving On” membuktikan bahawa seni sebenar akan sentiasa ada tempat di hati pendengar,” kata Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.

Jika ingin mendengar lagu “Moving On” secara langsung pastikan anda tidak ketinggalan untuk hadir ke konsert Sheila, November ini kerana penyanyi itu juga tidak sabar untuk menghibur peminat-peminatnya.

“Empat dekad atau 40 tahun satu fasa perjalanan karier yang cukup panjang. Saya juga tidak pernah menyangka memiliki keberuntungan dicintai peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak 40 tahun lepas.

“Ini adalah anugerah buat saya. Keberadaan empat dekad saya dalam industri seni Nusantara juga bukan hasil individu tetapi saya telah bertuah kerana mendapat khidmat ramai ‘arkitek’ dan ‘tangan magis’ yang membantu karier saya sehingga kini.

“Jadi Sheila Majid 40 Years in Music adalah tribute terhadap banyaknya pembabitan individu-individu hebat di belakang saya dan menjadi tanda manis kepada karier saya yang masih diterima baik oleh generasi kini,” ujar Sheila mengenai konsert yang dianjurkan oleh Altus Prohouse itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here